suria

Sumbang dana tertinggi projek urus jenazah, kongsi 'posting' persiapan ke kubur... tak lama kemudian lelaki ini meninggal dunia

Ustaz Rafie (gambar kiri) menerima sumbangan daripada Rano Afrian dan foto makan tengah hari yang dikongsikan oleh Rano Afrian di halaman Facebook pada hari dia meninggal dunia.

SIAPA sangka gambar makan tengah hari nasi berlauk menjadi gambar terakhir seorang lelaki dermawan sebelum dia pergi dijemput Ilahi.

Dia meninggal dunia pada Khamis lalu, kurang sebulan selepas menyumbangkan dana untuk sebuah projek berkaitan pengurusan jenazah.

“Pada 17 Mac lalu, saudara Rano Afrian hadir memberi sumbangan RM11,000 kepada Skuad Pengurusan Jenazah - SPJ Malaysia untuk projek Wakaf Kontena Mandi Kafan. 

“11 April beliau telah kembali ke Rahmatullah. Difahamkan arwah terlibat dalam kemalangan di Bentong, Pahang dan telah selamat dikebumikan di Hulu Langat pada Jumaat lepas,” kata Pengerusi SPJ Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rashid di halaman Facebook skuad itu pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak, mak... sayup-sayup suara anak kecil dalam van jenazah”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Runner’ sanggup mandi, kafan, kebumi jenazah secara percuma sentuh hati netizen

ARTIKEL BERKAITAN: “Bayi sempurna, urusan cepat” - Dipermudah selepas 'ditolak' kerana duit urus jenazah tak cukup RM300

Rano Afrian (tengah) kelihatan ceria dalam pertemuan bersama Ustaz Rafie (kiri) pada bulan lalu.

Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau memberitahu arwah Rano Afrian mahu memberikan sumbangan yang diwakafkan khusus untuk bapa mertuanya yang meninggal dunia beberapa bulan sebelum itu.

Katanya, banyak sumbangan yang diterima sejak tiga tahun SJP Malaysia beroperasi, sambil menambah bahawa jumlah sumbangan arwah yang paling tinggi setakat ini.

“Masa saya jumpa arwah, dia datang bersama isteri dan ibu mertuanya. Dia dan keluarganya dari Hulu Langat, Selangor. Ketika itu, dia sihat dan kelihatan cukup tenang. 

“Alhamdulillah, dah lepas hasrat arwah bapa mertua dia untuk bagi sumbangan. Turut bersyukur kerana sumbangannya termasuk sumbangan-sumbangn lain telah menggerakkan projek tersebut yang sedang berjalan,” katanya kepada mStar.

Perkongsian di Facebook pada hari Rano Afrian meninggal dunia.

Menurut Ustaz Rafie, sumbangan tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membeli kelengkapan dan keperluan untuk projek pembangunan kontena mandi dan kafan SPJ Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur.

Dia mungkin dah boleh rasa atau mendapat tanda-tanda mengenai kematian dan dia berkongsi sesuatu yang baik sebagai peringatan bersama.

USTAZ RAFIE

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu berdasarkan perkongsian terakhir Rano Afrian di Facebooknya, arwah memuat naik gambar makanan tengah hari berserta peringatan mengenai persiapan ke alam kubur.

“Arwah membuat perkongsian itu hanya beberapa jam sebelum terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia pada Khamis lalu.

“Dia mungkin dah boleh rasa atau mendapat tanda-tanda mengenai kematian dan dia berkongsi sesuatu yang baik sebagai peringatan bersama,” katanya sambil menambah kos keseluruhan untuk projek Wakaf Kontena Mandi Kapan itu kira-kira RM30,000.

Sebahagian daripada projek Wakaf Kontena Mandi Kapan yang diusahakan oleh SPJ Malaysia. -foto Facebook SPJ Malaysia

Memetik perkongsian terakhir Rano Arfian di Facebooknya: "Kubur yang sama, tanah yang sama. Tetapi, dua keadaan yang berbeza. Kenapa dosa lebih? Anda boleh mencari kubur ideal anda dengan taubat nasuha. Taubat nasuha menghapuskan lebih daripada berjuta-juta jenis dosa. Anda boleh mencari kubur anda dengan amalan pahala terbaik. Kubur? Taubat nasuha."

Ustaz Rafie memetik sabda Rasulullah: “Sekiranya Allah inginkan kebaikan pada seseorang,  Dia akan melakukan kebaikan kepada orang tersebut.”

"Apabila Rasulullah ditanya bagaimana Allah memperlakukan kebaikan kepada seseorang itu, baginda menjawab Allah akan mula pandukan orang tersebut untuk melakukan amal soleh sebelum kematiannya. (Riwayat Anas RA). Di antara tanda Allah masih menyayangi kita  ialah dengan menarik seseorang dan mulai merasai diri mudah untuk melakukan amalan dan kebaikan."

Kerja-kerja menyiapkan projek dijalankan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Ustaz Rafie berpesan bahawa kematian itu adalah pasti dan begitu dekat dengan sesiapa sahaja.

“Bagaimana pengakhiran kita, tiada siapa yang tahu. Persiapkanlah bekalan kita untuk ke alam sana. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain