suria

“Ayah jalan ke surau, Johnny teman” - 2 tahun depan pagar, anjing ratapi pemergian penjaganya... terima kasih tuan

Johnny (gambar atas, kiri) mula berlegar-legar di kawasan kediaman NurulMahbub sekitar dua tahun lalu.

PEMERGIAN insan paling penting dalam keluarga sememangnya memberi kesan yang mendalam.

Selain anak dan isteri, kematian Nurulmahbub Rahmat, 49, pada Selasa lalu akibat sakit jantung turut diratapi seekor anjing yang sudah sekian lama bersama dengan keluarga itu.

Arwah bukan membelanya, sebaliknya haiwan yang entah dari mana datangnya itu secara tiba-tiba ada di kawasan kediaman keluarganya, sekitar dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelik... semua kucing tiba-tiba murung, rupanya petanda 'tuan' meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: 
Kecoh wanita mandikan anjing di bilik salin lampin R&R, ditegur pun buat tak peduli!

Kisah keakraban anjing yang dipanggil Johnny dengan lelaki yang sudah meninggal dunia itu diceritakan oleh anak perempuannya sehingga ia tular di laman Twitter.

Bercerita kepada mStar, Nurul Ain, 20, mengakui bapanya cukup mengambil berat terhadap kebajikan haiwan itu.

Paparan skrin perkongsian Ain yang tular di Twitter.

"Johnny selalu ada depan rumah sejak dua tahun lepas, ada suatu hari tu dia sakit, ayah minta jiran yang berbangsa Cina hantar ke veterinar.

"Selepas sembuh, dia jadi makin rapat dengan ayah sebab ayah selalu bagi dia makan. Ayah juga selalu beli ayam untuk dia.

"Macam bagi anak makan. Saya rasa besar pengorbanan ayah, sanggup dia keluarkan duit untuk beli makanan.

"Sewaktu hari ayah meninggal, Johnny senyap je duduk tepi rumah, muka dia sedih. Dia tak bising-bising minta makanan pun," ujar Ain sewaktu dihubungi pada Khamis.

Dia suka ikut ayah jalan kaki ke surau. Ayah jalan, dia yang teman. Tapi setibanya di pintu surau, ayah akan halau dia balik sebab tak nak kacau jemaah lain.

NURUL AIN NURULMAHBUB

Jelas penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, dia sekadar menjadikan Twitter sebagai tempat untuk meluahkan perasaan tanpa menyangka perkongsian itu akan menjadi tular.

Tambah Ain lagi, Johny juga sering menjadi peneman setiap kali bapanya berjalan kaki untuk ke surau berdekatan kediaman mereka.

"Dia suka ikut ayah jalan kaki ke surau. Ayah jalan, dia yang teman.

"Tapi setibanya di pintu surau, ayah akan halau dia balik sebab tak nak kacau jemaah lain.

"Jadi dia akan balik rumah dan tunggu ayah pulang di depan pagar," katanya lagi.

Johnny pada kebiasaannya akan berada di depan pagar kediaman keluarga Ain.

Sepanjang membela Johnny, Ain berkata, dia serta ahli keluarga yang lain sebolehnya mengelak daripada bersentuhan dengan haiwan itu jika tiada sebab yang munasabah.

Namun, dia pernah menyentuh Johnny sewaktu haiwan itu jatuh sakit dan tidak lupa untuk menyertu dirinya dengan air tanah selepas itu.

Malah kata Ain, jiran-jirannya juga tidak pernah merungut mengenai kehadiran Johnny sebaliknya turut memberi makanan kepada haiwan itu.

"Setakat ni jiran-jiran OK, memahami. Mereka faham dan turut bagi makanan.

Bapa Ain tidak pernah leka memberi peringatan kepada keluarganya mengenai kebajikan dan makanan Johnny.

"Tapi sebelum ni ada orang pernah report pasal Johnny. Tak tahu siapa. Mungkin mereka tak senang dengan kehadirannya," kata Ain lagi.

Dalam pada itu, rata-rata netizen turut memberi komen berhubung posting Ain di Twitter yang sehingga kini menerima lebih 13,000 ulang kicau (Retweet).

"Semoga Allah mudahkan urusan arwah ayah awak kat sana dan sentiasa letak dia dalam golongan yang beriman. Salam takziah," tulis @Radevangers.

"Takziah atas kehilangan, terima kasih kerana menjaga Johnny. Kamu dan ayah kamu memiliki jiwa yang baik. Moga dia tenang di alam sana," tulis seorang lagi pelayar Twitter.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain