suria

Sila 'sign'! Dapat hadiah motosikal tapi 'tak boleh bawa anak dara orang'... Syarat ibu memang 'win'

Daniel Ashraff bersama ibunya, Norasiah Yahaya di hadapan kedai motosikal.

SESETENGAH orang begitu mudah mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan, mungkin juga kerana sipolan bernasib baik.

Namun lain pula ceritanya dengan pemuda ini apabila mendapat hadiah sebuah motosikal berharga kira-kira RM11,000 daripada ibunya tetapi ia hadir dengan satu pakej bersama kontrak.

Lebih menarik lagi, surat perjanjian yang disediakan ibunya turut menggariskan 10 syarat yang perlu dipatuhi sebaik sahaja motosikal tersebut diserahkan kepadanya hingga mencuit hati netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan berlakon rupanya betul-betul, bapa tak sangka anak beri kejutan kereta
ARTIKEL BERKAITAN: 
'Plan' tak menjadi! Suami tertinggal motosikal isteri selepas meragut, 'takut bini marah' tebal muka serah diri

Perkongsian kontrak tersebut oleh Daniel Ashraff Abdul Hakim di Twitternya menjadi tular dan diulang kicau sebanyak 5,105 kali serta mendapat 4,667 tanda suka.

Pemuda berusia 19 tahun itu ketika dihubungi mStar mengakui dia sendiri terkejut apabila menerima perjanjian yang ditaip rapi itu daripada ibunya, Norasiah Yahaya.

Antara 10 syarat terkandung dalam perjanjian kontrak yang tular di media sosial.

"Surat tu saya dapat masa nak pergi ambil motosikal yang mama belikan sebagai hadiah atas pencapaian saya semasa di matrik. Waktu tu mama saya baru balik kerja dan dia jemput saya di rumah.

"Saya buka pintu kereta tiba-tiba saya tengok ada kertas atas kerusi (kereta). Saya baca... agak terkejut dan pada masa sama saya tergelak juga. Tak sangka langsung nak dapat surat tu," katanya.

Bagaimanapun Daniel Ashraff berkata ibunya memang seorang yang bersikap teliti dalam perbelanjaan anaknya.

"Mama saya memang jenis teliti. Dulu saya pernah minta dia top-upkan (kad tambah nilai pra bayar) sewaktu di matrik pun dia suruh saya buat belanjawan pasal top-up dan belanja bulanan saya.

"Dia kalau boleh ada sesetengah perkara perlu bersurat macam ni terutamanya bila beli motosikal dan laptop. Dia tegas tapi sentiasa utamakan anak lebih daripada dirinya sendiri," katanya.

Tweet Daniel Ashraff menjadi tular di media sosial.

Pada masa sama, Daniel Ashraff turut terharu apabila menerima hadiah paling mahal daripada ibunya itu.

"Mulanya mama nak belikan masa saya habis sekolah asrama tapi saya tangguhkan sebab waktu tu dapat tawaran masuk matrik. Hanya bila keputusan di matrik saya cemerlang barulah mama sendiri beritahu nak hadiahkan saya sebuah motosikal.

"Saya amat terharu sebab dia hadiahkan saya motosikal baharu, saya tak minta dia belikan tapi dia tahu saya minat motosikal tersebut. Saya pun terkejut sebenarnya sebab dia belikan cash," katanya.

Ditanya mengenai 10 syarat dalam surat tersebut, pemuda berasal dari Rawang, Selangor itu mengakui dia tidak mampu memenuhi semua syarat tersebut.

Saya buka pintu kereta tiba-tiba saya tengok ada kertas atas kerusi (kereta). Saya baca... agak terkejut dan pada masa sama saya tergelak juga. Tak sangka langsung dapat surat tu.

DANIEL ASHRAFF ABDUL HAKIM

"Saya dah cakap dekat mama saya yang saya memang tak mampu buat semua tu tapi saya akan cuba jugalah.

"Dia pun ok... biasalah mama kan. Tapi dia dah pesan awal-awal jangan bawa anak dara orang naik motosikal tersebut," katanya.

Daniel Ashraff bersama ibunya.

Pada masa sama, anak tunggal itu berkata, dia tidak menduga hantarannya mengenai perkara itu di Twitter akan menjadi perhatian netizen.

"Saya tak expect pun boleh viral sebab saya hanya post untuk kongsi dengan kawan-kawan sahaja.

"Tengok-tengok dah viral hingga ke Facebook. Mama tahu dah viral sebab saya cerita dekat dia. Dia pun terkejut dan tak sangka surat heboh di media sosial," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kontrak, motosikal, hadiah

Artikel Lain