MEMILIKI berat badan ideal menjadi idaman setiap insan. Kata orang, kurus bukan sekadar mahu kelihatan cantik malah ia turut berkait rapat dengan kesihatan diri seseorang. Terbaharu, perkongsian seorang gadis mengenai perjalanan diet yang dilakukannya tular di laman Twitter. Berjaya menurunkan 10 kilogram (kg) dalam tempoh sebulan, posting Anastasia Asyikin sehingga kini menerima lebih 6,500 ulang kicau (Retweet) di platform media sosial itu. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu saiz XXL , kini saiz S... guru akui masyarakat pandang rendah individu gemuk ARTIKEL BERKAITAN: Gadis XXL tekad kurus selepas cinta ditolak, tak tahan diejek Selain mahu nampak cantik ketika hari konvokesyen, gadis yang mesra disapa Anne itu mendedahkan dia nekad untuk mengurangkan berat badan agar lebih senang untuk berfesyen. "Pertamanya, ia bermula sewaktu saya ke pusat beli-belah. Saya masuk sebuah butik dan cuba sepasang but. "Saya pakai tak muat, nampak kelakar dan tak elok sebab paha besar. Balik tu terus saya plan untuk diet. "Satu lagi sebab konvokesyen, masa awal Februari tu berat 80kg. Tak sampai sebulan, saya berjaya turunkan jadi 10kg untuk majlis itu," ujar gadis berusia 25 tahun ini ketika dihubungi mStar pada Jumaat. Foto sewaktu hari konvokesyen Anne baru-baru ini. Anne menamatkan pengajian dalam bidang Kimia Gunaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 28 Mac lalu. Bercerita mengenai proses diet yang dilakukannya, Anne mengakui dia langsung tidak menjamah nasi dan air manis dalam tempoh sebulan. Setelah berjaya mencapai berat 70kg, dia mengambil nasi dalam kadar sedikit pada hujung minggu sahaja. Tipulah kalau tak pernah nak putus asa. Masa awal-awal dulu, saya berlari sambil menangis. Rasa tak larat dan tak tahan. ANASTASIA ASYIKIN Menolak pengambilan sebarang pil kurus, Anne bagaimanapun mengamalkan senaman yoga dan larian dalam kehidupan sehariannya. "Pagi saya akan buat yoga 20 minit, malamnya pula saya akan berlari di sekitar rumah. "Semua saya buat sendiri sahaja, berpandukan aplikasi kesihatan yang dimuat turun. Sekarang saya target untuk turun berat badan kepada 65kg," ujarnya lagi. Menurut Anne, dia biasanya berlari sejauh lima kilometer (km) dan jarak itu digandakan kepada 10km, tiga hari sebelum berlangsungnya majlis konvokesyen pada bulan lalu. Malah, dia juga berjaya mencatat rekod larian sejauh 21.2km dalam tempoh 2 jam 36 minit. Anne mengakui gembira dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk ikut sama menjalani gaya hidup sihat. Dedahnya lagi, bukan mudah untuk mencapai berat badan idaman itu namun segala penat lelahnya ternyata berbaloi. "Tipulah kalau tak pernah nak putus asa. Masa awal-awal dulu, saya berlari sambil menangis. Rasa tak larat dan tak tahan. "Rasa badan berat sangat bila nak lari, tapi saya teruskan juga. Saya kata dalam hati, takkan tiga empat hari saya dah nak berhenti," kata Anne. Mengulas penularan kisahnya di Twitter, Anne ternyata gembira apabila ramai individu mendapat inspirasi daripadanya. Meminati but jenis ini, ia menjadi salah satu pendorong untuk Anne menguruskan badannya. Selain itu, dia juga enggan melayan segelintir individu yang cuba mengalih topik apabila mengaitkan perubahan berat badannya dengan isu aurat dan fesyen. "Saya gembira dapat beri motivasi kepada orang lain. Kalau mereka mesej tanya sekalipun, saya akan balas dan berkongsi tip. "Ada segelintir yang negatif, cakap pasal gaya tudung. Ada yang cakap masa berisi pakai longgar, masa kurus pakai ketat. "Saya tolak ke tepi yang negatif, itu pendapat masing-masing. Apa yang penting, niat saya berkongsi supaya orang lain dapat sihat dan capai berat badan ideal," katanya lagi.