PENEMUAN seketul tulang semasa operasi pencarian peserta Gopeng Ultra Trail 2019 (GUT19), Mohamad Ashraf Hasan menimbulkan persoalan mengenai nasib pemuda itu. Walaupun tulang itu didakwa menyerupai tulang betis manusia, Mohd Zahiruddin, abang sulung kepada Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap yakin tulang tersebut bukan milik adiknya yang hilang sejak 23 Mac lalu itu. “Ikut bentuk macam tulang betis tapi tak pasti lagi sebab kita pun tak boleh buat apa-apa andaian. Jadi kami serahkan kepada pakar untuk mengenal pasti tulang itu. “Tapi kalau anda tanya saya secara peribadi, saya tidak rasa itu tulang adik saya. Banyak faktor perlu diambil kira,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk kampung jumpa tulang sewaktu operasi mencari Acap ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 24 hari Acap hilang, abang kata "ikut cara orang kampung pula, tapi clear orang awam dulu" Menurut Mohd Zahiruddin, tulang itu ditemui semasa operasi pencarian di sekitar Gua Kandu pada petang Sabtu lalu. “Sebenarnya kumpulan saya dari Putrajaya bersama bapa saudara yang jumpa tulang itu lebih awal. Jadi kami maklumkan kepada orang kampung dan bomba. “Pencarian pernah dilakukan di situ sebelum ini tapi tak jumpa sebarang tulang. Mungkin penemuan itu sebab pencarian dilakukan ke lokasi jauh sedikit, kiranya kawasan off track sekitar Gua Kandu,” katanya. Mengenai keputusan ujian tulang itu, pemuda berusia 35 tahun itu berkata mereka ada dimaklumkan mengenai ujian DNA ke atas spesimen itu. “Pihak polis ada maklumkan kami mengenai ujian DNA tapi buat masa ini belum dilakukan lagi. “Jadi keputusan itu kita serahkan kepada pihak berwajib sebab mereka tengah jalankan beberapa ujian. Insya-Allah (keputusan) akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya. Dalam pada itu, seorang lagi abang kepada Acap, Mohammad Azlan memaklumkan akan pergi ke Balai Polis Gopeng untuk melakukan ujian DNA. “Sekejap lagi saya ke Balai Polis Gopeng untuk buat ujian DNA. Namun saya pasti tulang itu bukan (milik) adik saya walaupun banyak binatang berbisa di situ,” katanya ringkas. Menurut laporan pada Ahad, tulang tersebut belum dapat dipastikan sama ada ia milik haiwan atau manusia. Sumber berkata, ujian patalogi kimia sedang dilakukan bagi mendapatkan pengesahan terbabit. “Berdasarkan keadaan fizikal tulang itu, ia berkemungkinan tulang lama, apa pun kita perlu dapatkan keputusan analisis makmal dahulu untuk tentukan sama ada ia tulang haiwan, manusia atau Orang Asli dulu-dulu,” katanya. Operasi pencarian Acap yang dilakukan orang kampung masih belum membuahkan hasil sehingga hari ini.