SEBUT sahaja poligami, perkataan ini akan buat kaum isteri tak senang duduk. Hakikatnya tak semua wanita sanggup hidup bermadu atau dalam erti kata lain berkongsi suami. Namun berbeza pula dengan ibu kepada empat orang anak ini apabila menyifatkan kehidupan berpoligami sebagai suatu yang indah. ARTIKEL BERKAITAN: “Perampas di sebalik niqab”, isteri PU Abu ‘diserang’, wujud gerakan boikot produk, ceramah ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz selebriti cerai isteri hamil tujuh bulan demi janda anak satu Nor Ilda Amiza Ismail, 41, berkata hubungan dia dan madunya, Yusna Yusof, 35, kekal harmoni sehingga hari ini. "Hubungan kami OK mungkin sebab kami dah kenal antara satu sama lain sebelum madu kahwin dengan suami pada 2014. Madu kerja satu pejabat dengan suami saya. "Tambahan suami dah beritahu awal-awal mengenai niat dia bukan bawa balik madu secara tiba-tiba. Dia pun tak paksa saya untuk terima malah bagi saya masa untuk fikir mengenainya," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad. Miza (kanan) sudah lima tahun hidup berpoligami dengan Yusna Yusof dalam keadaan harmoni. Akui wanita berasal dari Kuala Selangor itu, pada awalnya agak sukar untuk dia menerima kehendak suaminya, Mohd Faisal Sulaiman tetapi akhirnya reda selepas yakin dia mampu berlaku adil terhadap kedua-dua isterinya. "Awal-awal memang saya tak setuju... siapa yang nak hidup bermadu? Tapi saya cuba buka hati saya sebab suami saya baik orangnya dan bertanggungjawab. "Kenapa saya nak halang niat baik dia sedangkan dia pun nak tolong madu sebab madu anak yatim dan dia bukan dari keluarga yang senang. Jadi saya macam ok, ada keperluan di situ," katanya. Nor Ilda Amiza atau lebih mesra disapa Miza berkata dia mengambil masa selama dua tahun untuk menerima kehadiran Yusna dalam hidup mereka sekeluarga. "Dalam tempoh tu ada turun naiknya... sekejap suka sekejap tak suka. Iman kitalah kan berbolak balik tapi kita kena balik semula kepada niat asal kita. Saya serah segalanya kepada Allah. "Sebenarnya proses itu buat saya lebih dekat kepada Allah. Dari situ saya pupuk perasaan reda... reda tu kita takkan dapat semalaman tapi bertahun-tahun juga dari awal tahun 2013 sehinggalah mereka berkahwin pada 2014," katanya. Kisah mengandung dan bersalin bersama-sama madu mungkin satu dalam seribu. Mujur tak viral waktu tu. Saya amat gembira dengan kelahiran 'kembar' ini. Allah itu maha adil, bagi sama rata agar tiada pihak berjauh hati. NOR ILDA AMIZA ISMAIL Sejak hidup bermadu, usahawan wanita itu berkata sikap suaminya tidak pernah berubah malah menjadi seorang ketua keluarga yang lebih baik. "Selepas bermadu lagi nampak suami lebih bertanggungjawab dan kasih sayang dia lebih terserlah. Tak pernah berubah lagi bertambah kasih sayang tu adalah orang kata. "Suami juga berlaku adil. Sebagai contoh dia akan duduk dua hari di rumah saya dan dua hari di rumah madu manakala hujung minggu pula kami berselang seli," katanya yang tinggal berdekatan dengan madunya di Bandar Kinrara, Puchong. Pasangan ‘kembar’ Muhammad Danish Hakeem (kiri) dan Muhammad Rayyan Hadif yang lahir pada tarikh sama, 19 April 2015. Di sebalik kisah kehidupan bermadu itu, Miza berkongsi kisah manis apabila dia melahirkan anak keempatnya Muhammad Danish Hakeem Mohd Faisal pada tarikh yang sama madunya bersalin anak sulung, Muhammad Rayyan Hadif Mohd Faisal, empat tahun lalu. "Perasaan waktu tu amat gembira sebab mudahkan kerja suami sebenarnya. Kami tak sangka bersalin sama pada 19 April 2015. Saya (bersalin) sebelah pagi manakala madu pula malam. "Mungkin betul orang kata bila kita dah bersama selalu dia punya emosi lebih kurang sama, keserasiaan pun dah ada sebab itu kami bersalin pada tarikh yang sama. "Kisah mengandung dan bersalin bersama-sama madu mungkin satu dalam seribu. Mujur tak viral waktu tu. Saya amat gembira dengan kelahiran 'kembar' ini. Allah itu maha adil, bagi sama rata agar tiada pihak berjauh hati," katanya. Mengimbau kembali detik indah itu, Miza mengakui amat terharu melihat pengorbanan suaminya yang sibuk menguruskan dirinya dan juga madu di hospital. "Ketika suami sibuk menguruskan saya di wad, tiba-tiba madu pula pecah air ketuban di rumah. Mujur ada adik ipar dan mak madu. Adik ipar yang tolong hantar madu ke hospital dan mak madu pula tolong jaga anak-anak di rumah. "Servis sudah bertukar tangan. Giliran suami menemani madu pula di bilik bersalin. Kira-kira pukul 11 malam (19 April 2015) madu selamat bersalin. Pukul 3 pagi 20 April (2015) barulah suami dapat berehat selepas selesai semua urusan. "Saya amat terharu kerana suami berjaga 24 jam mengurus kami berdua. Tidak dapat rasakan apa perasaan suami ketika itu. Syukur kepada Allah, dia berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun berpoligami," katanya. Keluarga besar Miza bersama suami dan madunya, Yusna Yusof. Dalam pada itu, Miza turut menganggap kehidupan dia dan madu saling melengkapi antara satu sama lain. "Macam saya kalau ada meeting dan kadang-kadang kena datang seminar sebab saya buat bisnes, saya terpaksa tinggalkan anak-anak dekat rumah madu. Jadi tak ada masalah dekat situ. "Lagipun anak-anak dah biasa dengan ummi mereka (madu), malah ummi mereka pun suka kalau anak-anak datang rumah dia. Jadi saya boleh tinggalkan mereka sekejap. "Kadang-kadang kalau madu pun ada kerja, dia pun tinggalkan anak dia dengan saya. Anak madu pun rapat dengan saya. Jadi positifnya di situ, tak perlu risau kerana kami boleh bantu antara satu sama lain," katanya.