BAGI sesetengah indvidu, mereka menganggap tugas berada di dapur merupakan tanggungjawab hakiki seorang insan bergelar wanita. Namun, lain pula ceritanya dengan pasangan ini yang mana si suami suka 'beraksi' di dapur, menyediakan makanan buat isteri tercinta. Kisah pasangan Mohamat Hata Mohamat Jamil, 65, dan Siti Sarah Idris, 64, menjadi tular di laman Twitter setelah dikongsi oleh anak bongsu mereka, Nur Fazreen. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sedih sebab saya faham dia” - Pengantin baharu sebak, selepas kahwin bapa mesej setiap hari tanya masak apa ARTIKEL BERKAITAN: “Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia” - Bapa 'cool' menangis nikahkan anak, adik pengantin mula rasa tak nak kahwin Bercerita kepada mStar, gadis yang mesra disapa Faz itu mengakui bapanya memang rajin ke dapur. Selain suka memasak untuk ibu serta ahli keluarga yang lain, bapanya juga berkebolehan dalam bidang jahitan. Bapa Faz rajin masuk ke dapur dan menyediakan hidangan untuk keluarga. "Mengikut cerita kakak saya, ayah memang macam tu sejak awal dia kahwin dengan emak. Makcik saya pun cakap benda sama. "Ayah memang suka masak, dia pun dah bersara. Kalau mak lapar tengah malam, ayah akan sediakan makanan. "Balik surau selepas solat Subuh, ayah akan buat sarapan, lipat, sidai baju. Jahit baju kelawar mak sekali... langsir rumah kami pun ayah yang jahit," kata gadis berusia 25 tahun itu sewaktu dihubungi. Menurut Faz, dia juga berdoa agar dikurniakan suami yang baik dan rajin seperti bapanya, suatu hari nanti. Sementara tunggu ayah aku masak, mak aku main phone, dia layan Facebook takpun main game kat komputer. Mak ayah aku suka main game ni, biasalah orang tua yang dah pencen tak ada apa nak buat. NUR FAZREEN Dalam pada itu, tweet Faz mengenai kisah ibu bapanya menerima lebih 3,000 ulang kicau (Retweet) di laman Twitter. "Dialog mak aku selalu mcm ni, 'abang, lapar la, abang, perut ni macam nak makan something la, rasa macam nak makan roti, abang buatkan jus tembikai atau oren. Haus rasa tekak ni.' Biasa dah dengar ayat ni. "Sementara tunggu ayah aku masak, mak aku main phone, dia layan Facebook takpun main game kat komputer. Mak ayah aku suka main game ni, biasa lah orang tua yang dah pencen tak ada apa nak buat," tulisnya lagi di Twitter. Menurut Faz, usia perkahwinan ibu bapanya sudah mencecah 38 tahun dan mereka dikurniakan tiga anak dan enam cucu. Tambah Faz lagi, bapanya merupakan pesara pegawai pemasaran dan mereka menetap di Semenyih, Selangor. Mohamat Hata bersama sebahagian cucu-cucunya. Selain nasi lemak, Faz mendedahkan bapanya juga boleh memasak hidangan biasa seperti ayam sambal, sup ayam dan banyak lagi. Rata-rata netizen turut meninggalkan komen mereka di posting berkenaan. "Sama macam my dad suka masak, basuh baju, kemas rumah. Tapi bab lipat baju memang fail. So my mom lipat kain ,my dad masak," tulis @paei04. "Alhamdulillah bestnya dapat family macam gini. Ayah tu mesti lembut bertutur tapi ada tegas dalam berkata-kata. Untung mak awak. Memang susah nak jumpa lelaki macam ni. Moga jadi inspirasi pada semua," tulis Sall pula.