suria

“Common sense tertukar dengan binatang mungkin”- Pelajar ‘U’ geram, kerepek habis, mana duitnya?

Muhammad Azim (gambar kecil) kesal dengan tindakan pihak yang mencuri kerepek yang dijualnya di asrama. Gambar ihsan Muhammad Azim Anuar

USAHA seorang pemuda untuk mendapatkan wang saku tambahan dengan menjual kerepek secara kecil-kecilan di asrama di universitinya bukan mudah seperti yang disangka.

Untuk tujuan itu sebuah kotak mengandungi pek-pek kerepek disediakan bersama tabung kosong untuk mengisi duit pembelian, tapi nampaknya ia disalah gunakan.

“Letak 20 pek dalam kotak, 15 terjual, kemudian periksa tabung. Allahu. Entahlah, geram dengan pelajar universiti yang masih tak rasa bersalah.

Common sense (akal fikiran) tertukar dengan binatang mungkin. Harap dengan apa yang kau makan tu, tambah berat kat Mizan (timbangan amal) aku nanti,” menurut satu perkongsian di Twitter yang tular, sehingga diulang kicau lebih 9,000 kali.

Perkongsian seorang pemuda yang menjual kerepek sehingga menjadi tular.

Pemuda berkenaan, Muhammad Azim Anuar, 19, memberitahu insiden berlaku pada Khamis lalu semasa mahu memeriksa hasil jualan kerepek ubi dan kerepek bawang yang diletakkan di ruang legar asrama yang dihuninya di universiti.

Pelajar di sebuah universiti di Negeri Sembilan itu kesal dengan pihak yang mengambil kesempatan terhadap jualan kerepeknya.

“Saya biasanya memang letak kotak kerepek di ruang legar kolej (asrama) sebab memudahkan untuk orang datang beli dan tinggalkan duit dalam tabung, sementara saya pula boleh buat urusan harian lain termasuk belajar.

“Hari tu, saya letak kotak pukul 10 pagi sebelum masuk kelas, dan periksa semula tengah hari. Memang terkejut bila tengok hanya beberapa pek yang tinggal, tapi duit yang ada dalam tabung cuma RM3,” katanya kepada mStar dengan nada kesal.

Muhammad Azim menjual kerepek secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaannya di universiti.

Muhammad Azim yang berasal dari Dengkil di Sepang, Selangor berkata, dia menjual kerepek kerana mahu menampung perbelanjaannya di universiti selain menggunakan kemudahan pembiayaan pendidikan.

Menggunakan modal sendiri, pelajar Diploma Pengurusan Halal itu sanggup mengharungi perjalanan kira-kira enam jam berulang-alik dari Dengkil ke Teluk Intan, Perak untuk mendapatkan bekalan kerepek, sebelum dijual di kolejnya.

Dahlah saya rugi sampai tak balik modal pun, nota peringatan dengan tulisan ‘Sungguh Allah melihat’ di dalam tabung, dan penutup yang dilekatkan kertas berbunyi ‘Tak bayar, kita settle kat akhirat’ turut hilang.

MUHAMMAD AZIM

Dia yang menjual kerepek sejak awal tahun ini berkata, kekurangan hasil jualan bukan pertama kali berlaku, tetapi insiden pada Khamis lalu merupakan yang terburuk setakat ini apabila banyak pek kerepek yang dijualnya ‘hilang’.

“Dahlah saya rugi sampai tak balik modal pun, nota peringatan dengan tulisan ‘Sungguh Allah melihat’ di dalam tabung, dan penutup yang dilekatkan kertas berbunyi ‘Tak bayar, kita settle kat akhirat’ turut hilang,” katanya yang mengakui hampir putus asa dengan insiden yang berlaku.

Muhammad Azim mula berniaga kerepek sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menyangka perkongsiannya tular sehingga mendapat perhatian dan sokongan netizen.

“Mereka yang mengenali saya mula datang sendiri beli kerepek kat saya. Ada juga beberapa netizen yang tampil mahu membantu memberi sumbangan.

“Bayangkanlah, saya rugi RM27, tapi ada individu yang tidak mengenali saya sanggup bantu sumbang RM30, lebih dari jumlah yang rugi,” katanya.

Kertas peringatan yang diletakkan di dalam tabung turut hilang.

Sokongan netizen membuatkan dia bangkit untuk terus berniaga kerepek tetapi mungkin selepas ini dengan pembelian secara terus dan mempromosikannya di laman sosial, bagi mengelakkan kejadian berulang.

“Tak sangka ada juga komuniti netizen yang baik dan bermurah hati. Saya cukup terharu dengan jasa kamu semua. Bila saya dapat untung jual kerepek nanti, insyaAllah saya akan bayar semula apa yang dibantu,” ujar Muhammad Azim.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
UiTM, kerepek

Artikel Lain