suria

“Ah sudah habislah aku” - Lulus diploma tapi 'gagal' sifir, pelajar gugup dua kali kira Pro Cancelor kata 'salah juga'!

Shahrin (kiri) bersama ibu bapa dan adiknya selepas 'peristiwa lupa sifir'.

APA sahaja boleh terjadi jika berada dalam keadaan gementar biarpun ia melibatkan perkara yang sudah menjadi rutin harian.

Apatah lagi jika ia berkaitan dengan nombor, jawapan sifir asas pun akan 'hilang' gara-gara perasaan gugup.

Begitulah yang berlaku kepada Muhammad Shahrin Nadzir Zulkifle yang mengaku gementar pertama kali berada di atas pentas bersama dengan pensyarah serta barisan tetamu kehormat.

Pelajar berusia 22 tahun kelahiran Kluang, Johor itu meraikan majlis konvokesyen pada Rabu selepas menamatkan pengajian dalam kursus Diploma Sains Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Segamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tak teruja hadir konvo, tapi “Saya hadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor”

ARTIKEL BERKAITAN: Pentas Konvo Kecoh Gara-Gara Vida?

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa

Menurut Shahrin, pengalaman gemuruh sehingga terlupa sifir asas di atas pentas ketika menerima skrol tidak akan dilupa sampai bila-bila.

"Majlis saya pada sesi kedua, sebelum itu saya sedar ada pelajar pada sidang pertama sudah 'bersoal jawab' ketika menerima skrol diploma mereka.

"Dalam fikiran, saya sudah bersedia jika tiba giliran saya nanti. Tetapi semakin hampir nama saya akan dipanggil, perasaan gugup semakin kuat. Berdiri di tangga rasanya lutut saya dah menggeletar.

"Tapi saya tetap senyum 'cover' gugup untuk pastikan rakaman gambar nampak cantik," kongsinya kepada mStar.

Shahrin (depan) dikenali seorang pelajar yang kelakar dalam kalangan rakan-rakannya.

Pemuda tinggi lampai itu memberitahu, sesuatu yang tidak disangka-sangka berlaku ketika berdepan dengan Pro Canselor UiTM Tan Sri Arsyad Ayub.

"Seperti dijangka beliau menguji saya dengan sifir 15x15. Ketika itu saya masih tersenyum. Tiba-tiba perasaan gugup semakin ketara.

"Saya jawab '275', tetapi beliau cakap 'salah'. Dalam hati saya kata 'ah sudah habislah aku'.

"Lepas itu saya tanya kepada Pro Canselor, 'nak kena jawab betul-betul ke'?. Beliau cakap 'ya kena'. Jadi saya kira sekali lagi dan bagi jawapan 255.

"Salah juga! Ketika itu saya seperti hendak menangis dan dalam masa sama terdengar suara orang ketawa melihat saya.

"Lepas itu, Pro Canselor cakap 'takpelah'. Dan saya pun minta maaf padanya dan bersalaman," jelas Shahrin yang sehingga kini masih terbayang-bayang wajah gugupnya.

Kata Shahrin, walaupun sifir itu sebenar mudah, namun gara-gara terlalu gugup dia langsung tidak dapat berfikir.

"Rakan-rakan 'bahankan' saya selepas itu. Saya tak kisah pun. Malah saya sendiri kalau tengok rakaman tu pun akan tergelak.

"Saya juga tak sangka video itu akan menjadi tular di Twitter," jelasnya yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Statistik.

Selepas memuat naik rakaman video itu, Shahrin menerima pelbagai komen dan mendapat ulang kicau (retweet) sebanyak 14,000 kali.

Sebahagian daripada komen yang diberikan kepada Shahrin selepas video gugupnya tular.

"Tak sangka juga ramai yang faham perasaan gugup ini ketika berada di pentas.

"Apa pun pengalaman ini memang berharga buat saya. InsyaAllah untuk konvokesyen ijazah nanti saya cuba lebih bertenang," tambah anak keempat daripada lima orang adik beradik ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Sahrin, lupa sifir

Artikel Lain