KESENGSARAAN yang dilalui silih berganti. Selepas suaminya berdepan musibah, ditakdirkan wanita ini pula menanggung derita akibat penyakit diabetes kronik. Namun berita bakal memperoleh kaki palsu bagaikan rahmat bagi Intan Shafinaz Sulaiman, kerana ia sekurang-kurangnya membolehkan dirinya menjaga suami yang terlantar sakit, selain dua anak kecil mereka dengan lebih baik. Kisah wanita berusia 38 tahun itu pernah tular apabila terpaksa menanggung keperitan hidup apabila kaki kanannya dipotong akibat penyakit itu. ARTIKEL BERKAITAN: "Keluarga lebih penting" - Anak akur permintaan ibu hidap strok, berhenti kerja kali kedua... jaga adik kanser tulang Tambah menyedihkan apabila situasi itu menimpa dirinya pada Ogos tahun lalu, kira-kira dua tahun selepas suaminya diserang strok dan lumpuh. Menurut anak kelahiran Kepala Batas, Seberang Prai Utara ini kepada mStar, dia sendiri tidak tahu kisahnya hidupnya menjadi tular selepas adik ipar memuat naik di Facebook untuk berkongsi kisahnya dengan kawan-kawan. "Selepas itu Alhamdullilah ramai yang beri sumbangan kepada kami sekeluarga. "Ia sedikit sebanyak telah membantu kehidupan harian serta perubatan saya dan suami. "Saya juga bersyukur kerana bakal menerima kaki palsu hasil bantuan Perkeso," ujarnya ketika dihubungi. Intan bersama dua orang anaknya. Hanya kira-kira dua minggu saja lagi, Intan sememangnya teruja menunggu untuk menyarung kaki palsu bagi melancarkan urusan hariannya. "Saya nak jaga suami dengan baik. Sekarang ni saya bernasib baik sebab abang banyak tolong kami sekeluarga. "Pagi dia hantar anak-anak pergi sekolah dan datang rumah tolong mandikan suami. Kalau harapkan saya seorang memang tidak mampu," demikian katanya yang menetap di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas. Bagi Intan, pemberian kaki palsu itu yang dijangka pada 7 Mei ini tentunya membolehkan dia lebih mudah mencari nafkah untuk keluarganya, terutama menjelang Ramadan dan sambutan 1 Syawal nanti. "Buat masa sekarang saya berniaga kecil-kecilan, menjual minyak wangi dan baju," ujarnya yang mempunyai lelaki berusia tujuh dan lima tahun. "Hanya terima kasih yang mampu saya luahkan. Doakan lagi supaya suami saya cepat sembuh juga," ujar. Bagaimanapun, di sebalik apa yang berlaku, Intan turut berkongsi rasa kecewa dan kesalnya dengan sikap sesetengah pihak yang menyalah guna situasi untuk kepentingan sendiri. "Ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan terhadap keadaan saya ini. Tetapi lambat atau cepat perkara itu akan sampai ke telinga saya juga. Cuma saya harap lepas ini tidak ada lagi yang berbuat demikian. "Jika tidak dapat membantu dengan wang ringit, cukuplah dengan doa," jelasnya.