suria

“Biarlah penat janji dapat tolong mereka” - Sedar diri 'belajar tak pandai', anak buat 3 kerja dalam sehari mahu banggakan mak ayah

Zhariff yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan KFC.

TIGA kerja dalam sehari bukan satu perkara yang mudah namun dengan semangat yang tinggi ia mampu ditempuh oleh pemuda yang berasal dari Kulai, Johor ini.

Muhamad Zhariff Zikry Zainur, 21, sanggup berbuat demikian demi membantu meringankan beban ibu bapanya. Postingnya yang tular di laman Twitter baru-baru ini telah menyentuh perasaan netizen.

"Saya kerja sebagai despatch di syarikat kurier City-Link Express di Kulai, Johor. Apabila sudah selesai menghantar barang-barang City-Link, saya terus ambil barang di syarikat Ninja Van untuk servis penghantaran. Pada waktu malam pula, saya kerja sebagai penghantar makanan KFC.

Zhariff (kiri) bersama keluarga kesayangannya.

"Rutin harian kerja saya bermula jam 8.30 pagi dan saya selalunya akan habis kerja di restoran KFC pada pukul 12 malam.

"Anggaran gaji sebulan yang saya dapat hasil daripada tiga kerja ini dalam RM2,700 sebulan. Kebiasaannya saya akan bekerja dari Isnin hingga Sabtu. Ahad sajalah masa saya untuk berehat," ujarnya.

Menurut Zhariff yang merupakan anak kedua daripada lima orang adik-beradik ini, pengorbanan ibu bapanya membesarkan mereka lima beradik mendorong dirinya untuk terus berusaha membantu keluarga.

Emak saya pula tak bekerja dan hanya suri rumah sepenuh masa. Saya tahu saya belajar tak pandai dan tak dapat banggakan mak ayah saya, jadi mungkin ni peluang untuk saya balas jasa mereka sementara mereka masih ada.

MUHAMAD ZHARIFF ZIKRY ZAINUR

"Saya tahu saya bukan keluarga yang senang. Jadi saya cuba buat mana yang termampu untuk tolong keluarga saya.

"Ayah saya hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan hanya RM1400 sebulan untuk menyara kami sekeluarga.

"Emak saya pula tak bekerja dan hanya suri rumah sepenuh masa. Saya tahu saya belajar tak pandai dan tak dapat banggakan mak ayah saya, jadi mungkin ni peluang untuk saya balas jasa mereka sementara mereka masih ada," katanya.

Perkongsian yang dibuat oleh Zhariff di Twitter.

Kisah Zhariff yang dipaparkan di laman Twitter menjadi perhatian ramai apabila postingnya meraih kira-kira 8,204 ulang kicau dan 8,300 tanda suka.

"Saya terkejut selepas melihat tweet saya tersebar di Twitter sebab saya hanya post sekadar untuk suka-suka sahaja.

"Dan saya juga ingin ucapkan terima kasih buat semua yang bagi kata-kata semangat pada saya. Saya akan jadikan ia sebagai satu pembakar semangat," ujarnya.

Sementara itu, rata-rata netizen turut memberi komen dengan menyokong usaha murni Zhariff menolong keluarganya.

"Semoga urusan kau sentiasa dipermudahkan," komen salah seorang pengguna Twitter, @Najihah_Sufi_.

"Semoga sentiasa diberkati rezeki bro," tulis @n_shamirashafie.

"Mantap. Saya faham penat lelah kerja macam ni. Apa-apa pun semoga dimurahkan rezeki dan dimudahkan semua urusan. Amin Ya Rabbal Alamin," komen @SyhrlNzm_.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Kerja, keluarga, Johor

Artikel Lain