suria

Kurta terburuk 2019 dikesan... Perekanya kebal kecaman! “Saya sendiri dah uji, ia selesa dan sedap dipakai”

Fesyen kurta ini tular di media sosial dan dikecam netizen.

SETIAP tahun kita sering disajikan dengan pelbagai gaya dan trend fesyen yang dicipta khusus sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kurang dua bulan sebelum sambutan paling penting umat Islam itu, tular foto yang memaparkan fesyen kurta ala sut Superman yang mula dijual di laman sosial.

Kurta tersebut yang diperbuat daripada kain kapas memeri (cotton stretch) digayakan dua model berbadan sasa sehingga menampakkan bentuk badan mereka.

Rekaan itu bukan sahaja dikecam tetapi menjadi bahan gurauan netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Busana Hello Kitty dikecam, sesuai dijahit cadar, langsir

ARTIKEL BERKAITAN: "Baju Melayu tak ketat, model tu sado sangat!"

ARTIKEL BERKAITAN: Faiz Dickie reka baju Melayu kimono lagi?

Rata-rata netizen tidak melihat ia sebagai kurta tetapi lebih kepada baju renang muslimah, baju zumba, baju tidur dan 'long john'.

Fesyen kurta ini menjadi bualan hangat netizen di Twitter.

"Kalau nak beli juga kan sesuai jadi pyjamas nampak selesa bawa tidur," kata seorang pengguna laman sosial, Orked.

"Lepas solat boleh swimming," kata seorang lagi pelayar Twitter.

Tinjauan mStar di Instagram mendapati kurta yang diberi nama EidulogyAF itu direka pereka tempatan Anuar Faizal yang pernah dikecam tiga tahun lalu gara-gara baju raya 'shirtless'.

Anuar Faizal ketika dihubungi mStar tampil mempertahankan rekaannya itu yang dihasilkan menerusi beberapa siri kembaranya.

"Saya banyak travel dan meninjau apa yang praktikal dan menjadi pilihan pengguna fesyen di luar sana.

"Ilham timbul apabila masalah lebihan muatan bagasi menjadi beban kewangan lantas timbul idea untuk menggunakan fabrik cotton stretch yang ringan, mudah cuci (cepat kering) dan kurang berkedut," katanya.

Malah Anuar Faizal berkata rekaan tersebut telah diuji terlebih dahulu sebelum dipasarkan di negara ini.

Rekaan kurta ini turut disamakan seperti sut Superman.

"Saya sendiri telah menguji rekaan saya baru-baru ini di Oman yang bersuhu 35°C dan juga di Jerusalem yang bersuhu 8°C.

"Julat perbezaan iklim yang sungguh ketara ini tidak memberi masalah buat fabrik pilihan saya. Kurta dan jubah tetap selesa dan sedap dipakai. Malah menjadi perhatian dan kesukaan di timur tengah," katanya.

Meskipun dikecam hebat, Anuar Faizal berkata dia tetap berbangga dengan hasil rekaannya itu.

Selain disamakan dengan inner baju muslimah, ini satu feedback yang bagus kerana dengan saiz yang betul, kaum muslimah juga boleh memakainya. Ini menjadikan rekaan saya uniseks dengan suai padan yang sewajarnya.

ANUAR FAIZAL

Pereka fesyen

"Saya berbesar hati rekaan ini mendapat perhatian dari wargamaya. Ini bermakna rekaan saya kali ini memberi impak dan reaksi buat dunia fesyen tanah air.

"Selain disamakan dengan inner baju muslimah, ini satu 'feedback' yang bagus kerana dengan saiz yang betul, kaum muslimah juga boleh memakainya. Ini menjadikan rekaan saya uniseks dengan suai padan yang sewajarnya," katanya yang dilahirkan di Amerika Syarikat (AS).

Mengenai kurta tersebut yang disamakan seperti sut Superman, Anuar Faizal berkata dia tiada masalah rekaannya itu dikaitkan dengan imej superhero tersebut.

"Mungkin sebab salah seorang model yang didatangkan dari Iran itu merupakan jurulatih kecergasan dan kebetulan memakai warna biru maka disamakan dengan superman.

Annuar Faizal (tengah) selepas selesai majlis pertunjukan fesyen koleksi rekaannya minggu lalu.

"Ini bermakna kesedaran mengenai tata fizikal yang sihat atau fenomena sado semakin diterima pakai rakyat Malaysia.

"Saya ingin baju rekaan saya menjadi penyuntik semangat untuk lelaki di luar sana membina badan yang lebih sihat dan berketrampilan menarik," katanya.

Mengulas penularan foto tersebut, bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata dia berkarya bukan untuk mengintai peluang viral.

"Saya berkarya atas dasar 'function with form'. Baju yang mempunyai nilai-nilai praktikal dan tidak kalah gaya. Viral mungkin dari sudut penataan untuk pertunjukan fesyen pada minggu lepas.

"Ketika itu saya gayakan dalam bentuk K-Pop dan juga mendapat ilham dari peragaan fesyen dari Tokyo. Mungkin ini merupakan suatu yang baharu dan memberi kejutan buat wargamaya," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain