suria

Penumpang tersembur air liur tengok bomba di belakang kereta, “Ingatkan siren lagu Blackpink”

Gara-gara leka menyanyi lagu kumpulan Blackpink di dalam kereta, dua remaja ini tidak perasan kereta bomba menghampiri kenderaan mereka.

DEMAM K-pop terus melanda Malaysia! Tak kira di kampung atau di bandar, ada sahaja peminat muzik dari Korea Selatan itu terutamanya anak-anak muda.

Sehinggakan dalam satu kejadian, gara-gara terleka 'layan' single terbaharu kumpulan K-pop terkenal, Blackpink di dalam kereta yang sedang bergerak, dua remaja tidak sedar sebuah kereta bomba sedang menghampiri kenderaan yang dinaiki mereka.

“Sumpah ingatkan siren lagu Kill This Love, itu yang tak perasan. Hahaha bila kau ngan member sama-sama naik b*do,” menurut keterangan video yang dikongsi lebih 30,000 kali dan lebih 20,000 tanda suka (like).

Lagu berkenaan mempunyai latar muzik seakan-akan siren amaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Macam Blackpink! Viral pelajar comel buat 'show' eksklusif di sekolah, "Saya hanya berlatih 2 jam"

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! BLACKPINK catat rekod baharu menerusi lagu 'Kill This Love'

Video yang dikongsi di laman sosial menjadi tular.

Salah seorang pemuda berkenaan, Muhammad Firdaus Mohd Zahid, 18, berkata, insiden tersebut berlaku di Semenyih, Selangor pada Rabu minggu lalu.

Dia yang berada di tempat duduk penumpang hadapan memberitahu, mereka dalam perjalanan dari sekolah selepas mengambil portfolio tugasan untuk dibawa pulang ke rumah.

Kalau kami alert lebih awal, dah tentu kami cepat-cepat beri laluan kepada abang-abang bomba. Mungkin masa tu lagu Blackpink, tu yang terujanya lain macam.

FIRDAUS

Bercerita lebih lanjut, sudah jadi kebiasaan bagi kedua-dua mereka menyanyi lagu-lagu yang dimainkan dari telefon bimbit dan ada kalanya merekodkan nyanyian mereka.

“Masa tu kereta kami menghampiri simpang empat berdekatan dengan rumah saya. Nak kata pasang kuat, tak adalah kuat sangat. Kawan pandu pun dalam kelajuan yang sederhana.

“Saya hanya perasan kereta bomba betul-betul ada di belakang kereta kami bila terpandang cermin pandang belakang. Masa tu memang gelabah, rasa terkejut dan panik pun ada.

“Dalam hati kata kalau kereta lain yang tergesa-gesa macam tu, mesti kereta kami dah kena sondol, tapi kami tahu abang bomba tak buat macam tu,” katanya kepada mStar sambil menambah rakan baiknya, Danish Amin kemudian segera membelokkan kenderaan ke tepi lorong bagi memberi laluan kepada kereta bomba tersebut.

Kumpulan Blackpink. Foto YG Entertainment

Namun, apa yang lebih menarik perhatian netizen menerusi video tular berdurasi 30 saat itu apabila dia tersembur air liur dalam kekecohan itu.

Mengenai babak lucu itu, anak ketiga daripada lima beradik tersebut mengakui ia menjadi bahan sindiran netizen dan ia berpunca daripada pemakaian pendakap gigi.

“Baru minggu keempat saya pakai braces (pendakap gigi). Saya ni kadang-kadang memang suka cakap kuat dan laju, tu yang mungkin sampai tersembur air liur tu.

Braces punya pasal, saya kena ‘bahan’ dengan netizen. Kena biasakan diri pakai 'braces' ni. Lepas ni kena cakap perlahan-perlahanlah,” katanya secara berseloroh. 

Firdaus (kanan) dan rakan baiknya, Danish memohon maaf kepada pasukan bomba sekiranya menghalang perjalanan mereka. Foto ihsan Muhammad Firdaus Mohd Zahid

Dalam pada itu, Firdaus dan rakan baiknya memohon maaf sekiranya aksi mereka sedikit-sebanyak mengganggu perjalanan pasukan bomba ke lokasi kejadian.

“Kalau kami alert lebih awal, dah tentu kami cepat-cepat beri laluan kepada abang-abang bomba. Mungkin masa tu lagu Blackpink, tu yang terujanya lain macam. 

“Lagipun ada part dalam lagu Kill This Love tu memang ada bunyi seakan-akan siren. Kami minta maaf abang-abang bomba, kami betul-betul tak sengaja.

“Lepas ni kami akan lebih peka bila berada di dalam kereta dan keadaan sekeliling,” katanya yang berjanji insiden seperti itu tidak akan berulang lagi.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain