PENERBIT siri animasi tempatan Upin & Ipin, Les' Copaque menyindir kerajaan kerana menggunakan kartun animasi luar sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Sindiran itu dibuat sebagai satu reaksi kepada sebuah artikel berkaitan cadangan Balai Seni Lukis Negara mengadakan pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun, Doraemon bagi mempromosikan Malaysia di mata dunia. "Benda boleh pakai 'animation' luar untuk promote Malaysia, buat apa pakai animation Malaysia sendiri," tulis Les' Copaque di Twitternya pada malam Selasa. Tweet yang turut diulang kicau bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) itu mendapat perhatian ramai dengan kebanyakan netizen mempersoalkan mengapa kartun Doraemon yang menjadi pilihan. Posting berbaur sindiran Les Copaque menjadi tular di media sosial. "Upin Ipin, Ejen Ali, Boboiboy, Omar & Hana, Didi & Friends pun ada... Nak guna kartun luar dah kenapa?," soal salah seorang pengguna, Abdul Muiz. "Baik tukar sekali tema Malaysia Truly Asia ke "Malaysia Truly Doraemon"," kata seorang lagi pelayar Twitter. Berdasarkan artikel tersebut, Pengerusi Balai Seni Lukis Negara, Datuk Rashidi Hasbullah dipetik sebagai berkata Doraemon mempunyai ramai peminat di seluruh negara dan ia secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar datang ke negara ini. “Kita akan lihat bagaimana Malaysia dan Jepun dapat bekerjasama dalam hal ini, mungkin akan adakan pameran lukisan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. “Peminat Doraemon bukan saja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga pelbagai usia kerana kita tahu kartun berkenaan turut mempunyai nilai positif dalam setiap ceritanya,” katanya. Upin & Ipin merupakan animasi tempatan yang diminati ramai termasuklah di Indonesia. Rata-rata netizen membuat pautan pada Twitter Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, MyMOTAC bertanyakan mengenai perkara itu. Susulan itu, menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi memberi respons balas mengenai perkara tersebut di akaun Twitternya @MKetapi. Walaupun saya menghargai usaha bekas Ketua Setiausaha (KSU) untuk mempromosikan #VisitMalaysia2020, ingin saya tegaskan bahawa usaha ini tidak mendapat sokongan @MyMOTAC dan kelulusan dari saya. DATUK MOHAMADDIN KETAPI Bagaimanapun beliau berkata usaha tersebut tidak mendapat kelulusan daripada kementeriannya. "Terima Kasih kepada anda semua yang membawa isu ini kepada saya. "Walaupun saya menghargai usaha bekas Ketua Setiausaha (KSU) untuk mempromosikan #VisitMalaysia2020, ingin saya tegaskan bahawa usaha ini tidak mendapat sokongan @MyMOTAC dan kelulusan dari saya," katanya. Mohamaddin Ketapi. Pada masa sama, Mohamaddin berkata kenyataan Rashidi berkenaan perkara itu adalah bersifat peribadi.