PERNAHKAH anda terfikir ada orang yang bekerja di Singapura, menetap di Johor tetapi menonton wayang di Ipoh? Itulah yang berlaku kepada seorang pemuda, Loga Sundaralingam apabila dia tersalah membeli tiket filem Avengers: Endgame yang mula ditayangkan hari ini. Peminat tegar filem Avengers ini sebenarnya mahu mendapatkan tiket dengan segera, kononnya mahu menjadi orang terawal menonton filem kegemarannya itu, namun tidak berjaya selepas dia tersalah memilih lokasi panggung wayang. "Saya beli tiga keping tiket 'online' untuk saya serta dua orang kawan dua minggu lepas... cadangnya nak tengok masa saya balik kampung saya di Melaka. "Mula-mula saya periksa tiket untuk 24 April, semua dah habis jadi saya pun periksa tarikh 27 April (Sabtu), nasib baik ada 'seat' lagi dan saya terus beli cepat-cepat," katanya menceritakan 'cabaran' awal pembelian tiketnya, ketika dihubungi mStar, Rabu. Sundaralingam bersama dua orang adiknya. Menurut Sundaralingam yang bekerja sebagai koordinator gudang di Singapura ini, dia telah memberitahu tentang tiket yang berjaya dibeli kepada rakannya disebabkan terlalu gembira dan teruja. "Sehinggalah ada satu hari tu, rakan hairan dengan tiket wayang saya... kenapa saya tengok di 'Aeon Klebang', jadi saya terus Google rupa-rupanya Aeon Klebang, di Ipoh dan bukan di Melaka seperti yang saya sangka," katanya sambil mengakui ketika membeli tiket, dia hanya membuat andaian sendiri bahawa pasaraya Aeon telah dibuka di Klebang, Melaka. Sundaralingam, 33, memberitahu sebaik sahaja mendapat tahu kesilapannya itu, dia cuba menjual semula tiket wayang tersebut di laman Facebook namun tiada respon daripada pengguna laman sosial itu. "Saya ada post di Facebook tetapi takut juga kalau ada orang kecam sebab saya tak tahu Klebang juga ada di Ipoh, bukan hanya di Melaka sahaja. "Nasib baik semalam ada seorang perempuan sudi beli tiket berkenaan selepas melihat satu tweet yang viral di Twitter. Posting yang tular di laman Twitter mendapat perhatian netizen. "Selepas tengok paparan skrin yang ditunjuk oleh pembeli tiket saya itu, terkejut saya bila lihat tweet tentang tiket saya itu viral sampai cecah ribuan retweet," katanya. Posting tersebut telah dimuat naik oleh salah seorang pengguna Twitter @azreeyakkob dan meraih lebih 6,041 ulang kicau dan 2,414 tanda suka. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana masih berjaya membuat pembelian tiket filem yang sama pada 27 April ini di Aeon, Seremban. Beberapa netizen juga turut terhibur selepas melihat posting berkenaan yang tular di laman Twitter baru-baru ini. "Hahaha. Aku orang Klebang, Melaka berharap Aeon buka di tempat kami. Kesian brader ni. Ini reason kuat untuk Aeon buka di tempat kami," tulis @PaanYNWA. "Adakah ini salah satu padahnya 'over excited'. Acah-acah nak jadi orang first tengoklah ni? Inilah salah satu contohnya eh? Gelojoh. Lastly tak dapat pergi. Hahaha," komen @SayaShamsul. "Mungkin sebab ada nama Klebang itu, dulu aku pun ingat Aeon Klebang tu kat Melaka," tulis @khairulashrafz.