suria

Terpandangkan bapa, anak tak jadi sedih walau tiada iPhone XS Max, “Orang pernah panggil ayah Doraemon”

Qaisara bersama adik bongsunya, Ariq Haris (gambar kiri) yang berusia empat tahun. Walaupun mempunyai ibu bapa OKU, mereka empat beradik dilahirkan sempurna. Foto ihsan Qaisara Dalila Diyana

GAJET ibarat satu keperluan dalam kehidupan pada era moden hari ini.

Tidak hairanlah sesiapa sahaja pasti mengidam untuk memiliki iPhone XS Max yang menjadi kegilaan ramai ketika ini, termasuklah anak sulung kepada lima beradik ini.

Qaisara Dalila Abd Halim meluahkan rasa sedih setiap kali melihat seseorang memegang telefon pintar itu kerana dia mengimpikan untuk memilikinya.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 minit suap tosei! Pelanggan kongsi versi penuh kisah pekerja mamak layan OKU, “Mana ada orang sanggup suap macam tu”

ARTIKEL BERKAITAN: “Baliklah tengok, takut tak sempat” - Ibu OKU cari anaknya Firdaus, khabar terakhir 'sibuk dengan peperiksaan'

Namun perasaan sedih itu tiba-tiba hilang dan dia kini lebih menghargai setiap kurniaan Allah selepas melihat keistimewaan bapanya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) hingga berjaya menutupi kekurangan fizikal dirinya.

"Saya melihat seseorang memegang telefon iPhone XS Max dan rasa sedih kerana tidak memilikinya.

"Saya melihat seseorang memegang telefon jenis lama yang ada butang dan saya rasa lega kerana saya memiliki telefon pintar.

"Namun semuanya berubah apabila ayah masuk ke dalam kereta dan beri salam. Ketika itu, saya tidak perlukan telefon tersebut, apa yang saya perlukan adalah bersyukur," tulisnya di Twitter bersama dengan sebuah video bapanya memanjat kerusi tempat duduk pemandu tanpa dibantu sesiapa.

Posting Qaisara menjadi tular di Twitter.

Posting gadis berusia 18 tahun itu menarik perhatian netizen sehingga menerima 7,800 perkongsian di Twitter.

Menurut Qaisara Dalila atau lebih mesra disapa Qaisara, dia memuat naik video tersebut kerana mahu golongan remaja menghargai keluarga sendiri dan bersyukur dengan apa yang mereka miliki hari ini.

"Kita tengok zaman sekarang golongan remaja lebih mengutamakan gajet. Jadi saya rakam video ayah naik kereta selepas balik dari solat Jumaat kerana ada mesej di sebaliknya.

"Ayah saya OKU sejak lahir dan dia bekerja sebagai akauntan. Dia tidak mengeluh dengan kekurangan yang dia ada, sebaliknya dia buat apa yang dia suka.

"Keadaan ayah mengajar saya untuk lebih bersyukur dengan apa yang kita ada daripada fikirkan perkara yang kita tak ada.

"Apa gunanya kalau saya dapat apa yang saya mahukan (iPhone) tapi ia tak dapat tandingi kelebihan yang Allah berikan pada ayah saya," katanya kepada mStar.

Qaisara yang juga bekas pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Muar, Johor berkata dia sentiasa menjadikan bapanya, Abd Halim Ahmad, 49, sebagai idola untuk dia berjaya dalam kehidupannya.

Qaisara memegang gambar bapanya yang kini berjaya memiliki firma akauntan sendiri.

"Ayah merupakan idola saya dan adik-beradik yang lain. Walaupun dia dan ibu juga OKU (kudung dua tangan) mereka berjaya membesarkan kami adik-adik dengan baik. Saya dan tiga adik lain berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh.

"Walaupun ayah kudung dua belah tangan dan juga kaki, dia amat meminati kereta 4 x 4. Masa dalam video tu ayah sebenarnya terpaksa panjat skit untuk naik kereta. Ramai pelik bila nampak ayah buat semua tu tapi dia tak ambil peduli.

"Ayah juga suka travel. Dia boleh memandu ke Thailand dengan bapa saudara saya lepas tu balik ke rumah dalam masa tiga hari. Sebenarnya kereta ayah saya sudah diubah suai, pedal... break minyak ditinggikan untuk memudahkannya," katanya yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah bahasa Inggeris.

Pernah dulu waktu sekolah rendah orang panggil ayah saya 'Doraemon' sebab tangan ayah kan bulat. Tapi ayah saya kata tak apa, semua tu tak penting.

QAISARA DALILA DIYANA ABD HALIM.

Mengimbau kembali saat di bangku persekolahan, Qaisara berkata dia terkilan dengan sikap segelintir individu yang mengejek keadaan fizikal bapanya itu.

"Pernah dulu waktu sekolah rendah orang panggil ayah saya 'Doraemon' sebab tangan ayah kan bulat. Tapi ayah saya kata tak apa, semua tu tak penting.

"Ayah saya banyak beri motivasi bila dia nampak saya down or sedih. Kadang-kadang saya malu sebab ayah perlu harungi seluruh hidupnya dengan motivasi.

"Kalau tak ayah saya pun akhirnya takkan dapat kehidupan yang dia nak. Alhamdulillah saya boleh bersabar dan tidak ambil peduli apa orang kata terhadap dia," katanya.

Paparan skrin menerusi video yang dimuatnaik Qaisara di Twitternya menunjukkan bapanya mampu memandu sendiri kenderaan 4 x 4.

Dalam pada itu, Qaisara berkata dia turut kagum dengan cara bapanya bangkit menjadi seseorang yang berjaya walaupun dilahirkan dalam keadaan serba kekurangan.

"Saya amat kagum dan bertuah menjadi anaknya. Dulu ayah pernah cerita tentang kesusahan yang dilaluinya semasa mencari pekerjaan di Kuala Lumpur masa muda dulu-dulu.

"Dia tak ada duit nak beli kereta, jadi selalu naik teksi dan bas tapi semua tak nak berhenti kerana mereka ingat ayah saya tak ada duit nak bayar tambang.

"Dari situ ayah saya bangkit untuk bina kehidupan yang lebih baik. Dia bekerja dengan orang lain dahulu sebelum berjaya buka syarikat sendiri," katanya yang dilahirkan dalam keadaan sempurna bersama empat adiknya yang lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
idola, OKU, gajet, iPhone, akauntan, inspirasi

Artikel Lain