suria

Remaja pelik pemandu Grab minta ‘test’ minyak wangi… “Kalau bau mungkin boleh pengsan”

Aneesah Khadijah Suhaidi. Foto ihsan Aneesah Khadijah.

BERINGAT sebelum kena. Itulah pendekatan yang dilakukan seorang gadis apabila menolak untuk menghidu sampel pewangi yang dijual seorang pemandu Grab semasa menggunakan perkhidmatan e-hailing baru-baru ini.

Menurut Aneesah Khadijah Suhaidi, semasa menaiki Grab sendirian pada 18 April lalu, dia pelik dengan tindakan pemandu tersebut yang turut menjual pewangi di dalam kenderaannya.

"Waktu tu saya pergi klinik gigi naik Grab sebab ummi dan ayah kerja. Sebaik masuk dalam Grab, abang pemandu tu tanya umur dan lain-lain tapi saya hanya jawab endah tak endah sangat.

"Dia pun bagi risalah tentang perfume, dia cakap ada jual. Dia ada bagi sampel dalam tiga botol macam tu. Lepas tu dia cakap kalau nak test pun boleh.

"Saya pun pelik sebab tiba-tiba dia jual pewangi sewaktu memandu Grab. Rasanya dia tak patut jual benda peribadi semasa bawa penumpang," katanya kepada mStar pada Jumaat.

Susulan itu, gadis dari Jitra, Kedah itu berkata dia terpaksa berpura-pura menghidu pewangi tersebut kerana enggan pemandu tersebut menyedari perbuatannya.

Aneesah turut berkongsi pengalaman itu di InstaStorynya.

"Bila dia bagi saya tengok je, takkan nak buat tak tahu sebab jarak rumah saya dengan klinik gigi agak jauh juga.

"Saya pun acah-acah bau tapi sebenarnya tak bau pun. Waktu tu saya tiba-tiba terfikir saya mungkin pengsan sebab selalunya dalam movie jadi macam tu," katanya.

Aneesah berkata, dia bukan mahu berprasangka buruk terhadap pemandu tersebut tetapi tindakan itu dilakukan sebagai langkah untuk menjaga keselamatan dirinya.

"Sudah tentu saya tidak mahu fitnah atau buruk sangka tapi agak pelik apabila ditawarkan pewangi di dalam Grab. Lagipun sekarang dekat Twitter banyak kes tak kita jangka berlaku.

"Rasa macam tak selesa pula dalam Grab tu. Tapi isu besarnya adalah keselamatan, kerana saya khuatir jika ia sejenis dadah yang digunakan penjenayah untuk membuat mangsa tidak sedarkan diri," katanya.

Ayah cakap kena lebih berhati-hati selepas ini sebab tak semua orang baik. Kalau ada orang offer minuman, bagi coklat atau air tin jangan cepat percaya terutamanya jika anda berseorangan.

ANEESAH KHADIJAH SUHAIDI

Sebaik pulang ke rumah, Aneesah menceritakan perkara itu kepada bapanya yang turut berasa lega apabila anak keempat daripada lima beradik itu mengambil pendekatan sebegitu.

"Ayah cakap kena lebih berhati-hati selepas ini sebab tak semua orang baik. Kalau ada orang offer minuman, bagi coklat atau air tin jangan cepat percaya terutama jika berseorangan.

"Ayah kata apa yang saya buat tu betul. Alhamdulillah. Walaupun tak ada berlaku apa-apa pada saya tapi saya harus berhati-hati setiap kali naik Grab berseorangan selepas ini," katanya.

Tweet Aneesah mendapat perhatian ramai.

Perkongsian Aneesa di Twitter mengenai perkara itu mendapat perhatian netizen dan diulang kicau sebanyak 21,400 kali.

Gadis berusia 18 tahun itu berkata dia tidak menyangka perkongsiannya itu menjadi tular kerana dia hanya ingin orang ramai lebih berhati-hati semasa menaiki Grab.

"Saya tak sangka tweet tu akan viral kerana saya terpanggil untuk berkongsi perkara itu agar orang ramai lebih berhati-hati.

"Saya pun rasa lega sebab kawan reply InstaStory saya dan beritahu mengenai date rape drugs yang dia pernah tonton dalam program di televisyen.

"Maksudnya saya bukan overthinking tapi sebenarnya perkara seperti ini berlaku. Ia dikenali sebagai date rape drugs iaitu sejenis dadah yang boleh buat mangsa tidak sedarkan diri sebelum diserang," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
pewangi, Grab, e-hailing, date rape drugs

Artikel Lain