suria

Bertuahnya! Pemuda tahfiz hadiahkan al-Quran tulisan sendiri buat hantaran kahwin, isteri macam tak percaya “betul ke nak bagi”

Nizamuddin Rahim, 23, selamat diijabkabulkan dengan Nurul Aida R.Azli, 22, pada 11 April lalu.

SOAL hantaran sering menjadi aspek utama yang dibincangkan oleh setiap pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

Selain tas tangan, kasut, wangian, kek dan buah-buahan, senaskhah al-Quran juga sering diletakkan sebagai hantaran.

Namun, lain pula ceritanya apabila pemuda ini memilih sesuatu yang lebih istimewa iaitu al-Quran tulisan tangan yang dihasilkan sendiri sebagai hadiah buat isteri tercinta.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sedih sebab saya faham dia” - Pengantin baharu sebak, selepas kahwin bapa mesej setiap hari tanya masak apa
ARTIKEL BERKAITAN: “Selagi ayah ada, saya boleh jaga dia” - Bapa 'cool' menangis nikahkan anak, adik pengantin mula rasa tak nak kahwin

Nizamuddin Rahim, 23, yang selamat diijabkabulkan dengan Nurul Aida R.Azli, 22, pada 11 April lalu mengakui mula menulis Al-Quran itu sejak dia berusia 13 tahun.

"Ia dihasilkan sewaktu saya tingkatan satu. Sebenarnya penulisan ini diwajibkan kepada semua pelajar maahad tempat saya belajar.

"Sekiranya tak ditulis, pelajar tidak dibenarkan membaca hafalan (tasmi') dengan ustaz.

"Alhamdulillah, ia berjaya disiapkan dalam masa tiga tahun," ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Sabtu.

Nizamuddin yang kini bertugas sebagai penyelia di Darul Asnaf Sri Sendayan, Negeri Sembilan merupakan bekas penuntut Maahad Tahfiz Alquran wal Qiraat Pulai Chondong (MTAQPC), Machang, Kelantan.

Isteri juga terharu dan kagum kerana saya menghadiahkan sesuatu yang berharga hasil usaha sendiri. Dia cakap, betul ke nak bagi? Sebab bukan senang nak hasilkannya. Saya anggap ia sebagai hadiah untuk isteri

NIZAMUDDIN RAHIM

Mengulas hantaran istimewa yang dianggap sebagai harta paling bernilai dalam hidupnya itu, Nizamuddin mendedahkan ia merupakan idea ibu bapanya.

"Ilham untuk bagi hantaran tu daripada emak dan ayah. Mereka pesan supaya simpan al-Quran tu baik-baik selepas tamat sekolah.

"Isteri juga terharu dan kagum kerana saya menghadiahkan sesuatu yang berharga hasil usaha sendiri.

"Dia cakap, betul ke nak bagi? Sebab bukan senang nak hasilkannya. Saya anggap ia sebagai hadiah untuk isteri," katanya lagi.

Al-Quran tulisan tangan ini mula dihasilkan sejak Nizamuddin berada di bangku sekolah.

Sepanjang penghasilan al-Quran tulisan tangan itu, Nazimuddin turut menghadapi beberapa cabaran memandangkan dia tidak mempunyai asas sebelum memasuki insitusi pengajian berkenaan.

"Antara cabarannya apabila saya perlu belajar menulis bahasa Arab walaupun tiada asas dan pengalaman sebelum masuk ke sana.

"Saya menghadapi kesukaran untuk menjadikan tulisan kemas dan teratur.

"Saya juga perlu menyamakan kedudukan perkataan pada penghujung baris seperti di dalam al-Quran.

Posting mengenai Nizamuddin yang tular di laman Twitter.

"Dari segi kos, lebih kurang RM150 sahaja termasuk buku yang dibeli di maahad serta pen," katanya lagi.

Kitab suci berkenaan merupakan yang pertama pernah ditulis oleh Nizamuddin.

Ujarnya, dia berhasrat untuk menghasilkannya lagi pada masa akan datang jika diberi kesempatan dan mempunyai kelapangan masa.

Dalam pada itu, posting mengenai hantaran istimewa Nizamuddin kepada isterinya menjadi tular setelah ia dimuat naik ke laman Twitter oleh seorang jurufoto.

Nizamuddin menganggap al-Quran berkenaan sebagai harta paling berharga yang dihadiahkan buat isterinya.

Posting yang menerima hampir 20,000 ulang kicau (Retweet) itu turut dihujani komen pelayar Twitter yang kagum dengan idea berkenaan.

"Sweetnya, setiap kali baca Quran isteri dia mesti ingat suami dia," tulis @ZarithZainuddin.

"Semoga rumahtangga dibina kekal dan segar hingga ke jannah hendak-NYA , sweet tahap kronik nie," tulis @22Nhs.

"Ya Allah untungnya wife dia. Moga jodoh aku pon tengah usaha menulis," ujar seorang lagi netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan