suria

“Memang orang Malaysia macam ni ke?” - Peminat tempatan malu portal luar lapor PU Syed gelar BTS 'syaitan'

PU Syed (kiri) menggelarkan anggota BTS sebagai syaitan menerusi posting di Instagram miliknya. -foto Lester Cohen/Getty Images

KENYATAAN Pencetus Ummah (PU) Syed yang menggelarkan kumpulan K-Pop BTS sebagai syaitan menjadi perdebatan hangat di media sosial.

Rata-rata peminat kumpulan itu yang menggelarkan diri sebagai Army tampil bagi menyatakan rasa kurang senang mereka terhadap kenyataan berkenaan.

Selain di Malaysia, portal berita berbahasa Inggeris dari Korea Selatan, Koreaboo turut melaporkan isu tersebut sehingga ia menjadi perbualan peminat-peminat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya nak Malaysia jadi nombor 1" - Syed Saddiq perjelas isu BTS

ARTIKEL BERKAITAN: Artis K-Pop BTS pakai Baju Melayu kiriman peminat Malaysia

Salah seorang peminat BTS, Siti Mashitah meluahkan rasa malu khususnya dengan rakan peminat dari negara luar setelah isu ini tular sejak Isnin lalu.

Paparan skrin perkongsian PU Syed di Instagram mengenai BTS.

"Saya ada kawan dari Australia yang turut meminati BTS. Apabila artikel mengenai kenyataan PU keluar dalam Koreaboo, terus dia mesej saya.

"Dia tanya, memang orang Malaysia macam ni ke? Jadi saya terpaksa terangkan balik.

"Saya kata apa yang penceramah tu cakap tak mewakili semua orang. Dia pun kecewa baca kenyataan itu," ujar Siti Mashitah sewaktu dihubungi mStar pada Rabu.

Bagi saya memang tak wajar. Memang betul BTS bukan Islam tapi tak boleh cakap macam tu. Sedangkan ahli BTS sendiri pun menyokong kempen pembebasan Palestin.

SITI MASHITAH

Peminat BTS

Mengulas lanjut perkara itu, pelajar dari Kuala Lumpur itu berpandangan gelaran itu adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dituturkan, lebih-lebih lagi dari mulut seorang pendakwah.

Malah, dia sendiri mengakui terkejut dan kecewa sewaktu kali pertama terbaca kenyataan tersebut.

"Bagi saya memang tak wajar. Memang betul BTS bukan Islam tapi tak boleh cakap macam tu.

"Sedangkan ahli BTS sendiri pun menyokong kempen pembebasan Palestin," ujarnya lagi.

Mula meminati BTS sejak 2016, dia juga berkata muzik-muzik nyanyian kumpulan itu banyak membantu dirinya.

Seorang lagi peminat BTS dari Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Maira turut senada dengan Siti Mashitah.

Paparan skrin laporan dari Koreaboo mengenai kenyataan PU Syed.

"Berkenaan gelaran syaitan, amatlah tidak wajar diberi kepada mereka. Saya bercakap di sini bukan sebagai peminat BTS tetapi sebagai seorang muslim.

"Ada antara kawan saya yang bukan Islam turut bertanya, adakah itu pandangan orang Islam terhadap mereka?

"Bagi saya tidak menjadi masalah sekiranya si penegur hendak menegur, tetapi perlu tahu sensitiviti sekeliling," ujar gadis berusia 25 tahun itu.

PU Syed baru-baru ini memuat naik paparan skrin berita mengenai pengharaman konsert filem BTS di Rusia menerusi laman Instagram miliknya.

"Negara Islam, boleh nak jemput setan-setan ni datang. Rusia Negara Kapir (Kafir) pun tahu nak jaga rakyat mereka.

"Maaf guna kalimah setan, sebab hanya setan yang mahu menyesatkan manusia. Kumpulan ini seperti itu juga. Nilai-nilai apa yang hendak mereka bawa kecuali kesesatan.

"Yang menjemput kena berfikir cara agama, bukan sekadar logik akal semata-mata. Didik pewaris negara ini dengan agama," tulis PU Syed menerusi kapsyen foto berkenaan.

Posting itu sehingga kini menerima lebih 5,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
PU Syed, BTS, Siti Mashitah, Army, syaitan

Artikel Lain