suria

“Dah beritahu mak, jangan terkejut tengok dia” - Jururawat pilih suami Sudan, yang kutuk biar 'kutip dosa kering'

Arlinda dan pasangannya, Dr Sheikh berkahwin di Malaysia pada April lalu.

JARAK beribu batu antara Malaysia dan Sudan nun di benua Afrika bukan penghalang buat pasangan ini untuk disatukan sebagai suami isteri.

Lebih manis, mereka sudah empat tahun bertugas di sebuah hospital di Madinah sebelum disatukan pada 20 April lalu.

Menurut Nor Arlinda Md Anizam, 34, dia dan suaminya, Sheikheldein Bushra Hussien, 38, tidak mempunyai apa-apa hubungan sebelum perasaan cinta itu berputik tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati terpaut saat dipujuk ketika menangis, jejaka Guinea pilihan anak Kedah ini bukan biasa-biasa!
ARTIKEL BERKAITAN: 
Pasangan 'takut nak kahwin' akhirnya gembira, berjaya buat majlis walau kos murah!

"Suami beritahu dia suka saya tahun lepas. Kebetulan mak saya datang buat umrah. Saya kata kalau serius, pergilah jumpa emak.

"Bila jumpa, mak saya suka, keluarga pun suka. Saya terima sahaja. Kalau ikutkan tak bercinta pun dengan dia, tapi perasaan itu boleh dipupuk.

"Lagipun dia baik, yang penting tahu bab agama. Jadi tak susah nak sayang dia, dia pun sangat ambil berat dan bersungguh-sungguh orangnya," ujar Arlinda sewaktu dihubungi mStar pada Rabu.

Arlinda yang berasal dari Kelantan merupakan seorang jururawat, manakala suaminya bertugas sebagai doktor di National Guard Hospital, Madinah.

Banyak juga komen yang tak sedap dibaca, tapi saya abaikan. Tahu masing-masing tak ada kerja dan kutip dosa kering sahaja.

NOR ARLINDA MD ANIZAM

Lebih mesra disapa sebagai Dr Sheikh, pertemuan lelaki itu dengan ibu Arlinda juga berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan.

"Saya dah beritahu mak awal-awal, jangan terkejut kalau tengok dia. Saya ingatkan mak saya tak terima dia.

"Lain pula jadinya, mak dan makcik saya suka sangat kat dia. Katanya sebab suami ni nampak ikhlas dan baik.

"Jadi mereka nasihatkan supaya saya terima sebab bukan senang nak cari lelaki yang boleh bimbing kita bab agama," katanya lagi.

Dr Sheikh meluahkan hasrat untuk menyunting Arlinda sebagai isteri pada tahun lalu.

Mengulas persepsi masyarakat terhadap perkahwinan dengan lelaki berbangsa asing, Arlinda mengakui wujud komen negatif dan ia turut dijadikan bahan jenaka di media sosial.

Malah, segelintir individu turut membuat komen lucah termasuklah mengenai saiz alat sulit lelaki berkenaan.

"Sejak saya kenal dia, keluarga dan kawan semua positif. Saudara, orang kampung semua suka.

"Ada juga yang negatif dan jadikan sebagai jenaka. Kebanyakannya yang tak kenal kami. Kawan ada muat naik gambar kami di Instagram.

"Banyak juga komen yang tak sedap dibaca, tapi saya abaikan. Tahu masing-masing 'tak ada kerja' dan kutip dosa kering sahaja," katanya lagi.

Arlinda tampil jelita dalam majlis yang berlangsung di Luxury Garden, Kota Bharu, Kelantan pada April lalu.

Dalam pada itu, majlis perkahwinan mereka yang berlangsung meriah di Luxury Garden, Kota Bharu, Kelantan turut dihadiri 10 ahli keluarga Dr Sheikh.

Malah, beberapa rakan sekerja dari Madinah turut hadir ke majlis itu.

Bercerita mengenai pengalaman pertama menjalani ibadah puasa sebagai suami isteri, pasangan yang menetap di Madinah itu mengakui semuanya baik-baik sahaja.

Antara tetamu yang hadir dalam majlis meraikan mempelai itu baru-baru ini.

"Alhamdulillah hari pertama kami berpuasa di Sudan. Hari ni baru balik ke Madinah. Pengalaman berbeza, makanan pun agak berbeza.

"Kalau nak kira meriah tu, mestilah meriah kat tempat sendiri. Malaysia di hati. Kat sini, tak ada jumpa bazar Ramadan pun. Kebanyakannya masak sendiri.

"Tapi disebabkan saya dah biasa jauh dari keluarga dan biasa dengan makanan Arab, jadi tak adalah kekok sangat dengan keluarga baharu," ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain