suria

Beza agama takde hal! Geng 'pilot' sambut Ramadan di Thailand, “Kami berbuka, masak sahur sama-sama”

Dari kiri: Chen Wei Kiat, Kishen Nair, Farid Hanip, Daniel Dhevaraj dan Mah jin Hou.

KEPELBAGAIAN kaum dan bangsa yang hidup harmoni menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.

Selain bersama-sama membangunkan masa depan negara, setiap perayaan dan sambutan turut diraikan bersama.

Terbaharu, kisah lima sahabat yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India yang bersahur serta berbuka puasa bersama-sama tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia agih sampai habis semua" - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

Menerusi posting yang dimuat naik oleh Farid Hanip, 22, apa yang dikongsikannya itu ternyata membuktikan perpaduan kaum di negara ini masih lagi utuh.


Lima sahabat ini berangkat ke Thailand pada Ahad lalu.

Lebih menarik, kesemua jejaka berkenaan bertugas sebagai juruterbang dan mereka bersama-sama meraikan hari pertama bulan mulia itu di Pattaya, Thailand.

Bercakap kepada mStar, pemuda yang mesra disapa Farid itu berkata, mereka berangkat ke sana pada Ahad lalu, sehari sebelum umat Islam di negara ini mula berpuasa.

“Gambar tu masa hari pertama Ramadan, kami sedang bercuti di Pattaya. Tu sebenarnya dekat homestay.

“Pada sebelah malamnya, kami ke pasar untuk cari makanan halal seperti sosej, mi segera dan masak sama-sama untuk sahur.

“Berbuka puasa pun sama-sama. Kami sebenarnya dah lama kenal. Dulu pernah duduk sekali dari tahun 2015 hingga 2017,” ujar Farid sewaktu dihubungi.


Rakan-rakan Farid turut membantu menyediakan juadah sahur.

Selain Farid, percutian itu turut disertai Daniel Dhevaraj, 23, Kishen Nair, 22, Mah Jin Hou, 22, dan Chen Wei Kiat, 30.

Menurut Farid, ini merupakan percutian pertama mereka berlima dan sudah tentu mereka teruja apatah lagi untuk menyambut Ramadan di negara orang.

Farid dan empat rakannya itu mula berkenalan pada Oktober 2015 sewaktu menuntut di Akademi Penerbangan Malaysia di Batu Berendam, Melaka.

Masa hari tu, kawan-kawan saya tak puasa, tapi mereka tetap menghormati saya. Nak minum depan saya pun mereka tanya dulu.

FARID HANIP.

”Sebenarnya dah lama nak bercuti, tapi semua sibuk dengan jadual masing-masing, jadi baru berkesempatan pergi bersama-sama minggu lepas, kebetulan nak puasa.

“Masa hari tu, kawan-kawan saya tak puasa, tapi mereka tetap menghormati saya. Nak minum depan saya pun mereka tanya dulu," katanya lagi.

Lima jejaka yang masih bujang itu bagaimanapun sudah kembali pulang ke tanah air pada Rabu lalu.


Posting yang dimuat naik Farid tular di Twitter.

Mengulas reaksi positif orang ramai berhubung posting itu, Farid mengakui tidak menyangka ia akan menjadi tular.

“Saya post suka-suka sahaja. Bila orang komen positif, saya rasa gembira.

“Sekarang ni banyak ketegangan yang berlaku. Apa yang berlaku boleh buat rakyat Malaysia sedar yang kita perlu bersatu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, posting berkenaan sehingga kini menerima hampir 10,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, rata-rata komen yang ditinggalkan turut memuji keakraban lima jejaka berkenaan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
puasa, sahur, bercuti, bangsa, juruterbang

Artikel Lain