suria

Naya! Pemilik butik popular 'lari' selepas desak peniaga tengah sarat siapkan 400 skirt, “Dari nak bersalin, sampai berpantang dia terus hilang”

Peniaga kecil-kecilan, Sya (kiri) sedang sarat mengandung apabila dihubungi seorang pemilik butik terkenal untuk menempah 400 helai skirt yang perlu disiapkan dalam tempoh singkat.

KERANA percayakan seorang pemilik butik terkenal yang menghimpunkan pelbagai vendor tempatan, seorang peniaga kecil-kecilan terpaksa gigit jari apabila tempahan sebanyak 400 unit skirt labuh dibatalkan pada saat-saat akhir.

Lebih menyayat hati, kejadian berlaku sewaktu peniaga berkenaan sedang sarat mengandung anak pertama dan hanya menunggu masa untuk bersalin.

"Mungkin silap saya sebab terlalu bersangka baik dan setuju bila customer cuma nak bagi deposit sebanyak RM1,000. Tak sangka akhirnya memakan diri sendiri.

"400 unit skirt yang ditempah tiba-tiba customer batal saat-saat akhir. Masa tu cuma Allah tahu macam mana perasaan saya. Memikirkan macam mana nak bayar upah tukang jahit, dengan baby dah nak due masa tu," menurut perkongsian di laman sosial sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tragedi' batal order 400 skirt, peniaga dalam pantang ditawar tapak bazar... “Saat ada yang menganiaya, ramai lagi sudi bantu”

Perkongsian mengenai seorang peniaga dianiya di Twitter sehingga menjadi tular. Sumber Twitter @yusof933

Peniaga malang yang hanya mahu dikenali Sya itu memberitahu, dia menerima tempahan skirt daripada pemilik butik terkenal itu kira-kira dua bulan semasa sarat mengandung.

Dia berkata, pada mulanya agak keberatan untuk menerima deposit RM1,000 kerana kos keseluruhan untuk tempahan 400 skirt itu adalah kira-kira RM35,000.

"Saya sebenarnya berniaga secara kecil-kecilan saja, jahit kain sendiri. Bila dapat tempahan sebanyak itu daripada pemilik butik terkenal, jadi saya teruja kerana dia nak bantu peniaga kecil seperti saya.

"Tapi sebab tempahan banyak, saya perlu hantar ke kilang lain. Saya tengah sarat mengandung ketika itu mana mampu nak buat semua dalam tempoh singkat," katanya kepada mStar.

Tangkapan skrin pertama perbualan antara peniaga dan pemilik butik terkenal.

Sya yang menjalankan bisnes kain sejak dua tahun lalu berkata, kos untuk membeli kain saja RM20,000, tidak termasuk upah tukang jahit dan caj perkhidmatannya.

"Sebab tu saya ada minta deposit RM10,000 tapi dia cuma mahu beri dulu RM1,000. Sebab saya terlalu percayakan dia, jadi terima dulu deposit tu.

"Tapi dia kemudian membatalkan pada saat akhir dan tidak dapat dihubungi selepas itu," katanya yang kini berpantang selepas melahirkan cahaya mata pertama pada akhir April lalu.

Tangkapan skrin ketiga perbualan antara peniaga dan pemilik butik terkenal.

Perkongsian tangkapan skrin perbualan Sya bersama pemilik butik yang dikenali sebagai Puan Syu itu menerusi WhatsApp menunjukkan perbincangan mengenai tempahan 400 skirt.

Saya tak sangka butik yang kononnya nak bantu peniaga kecil boleh aniaya saya. Tapi silap saya kerana percayakan dia dan tiada perjanjian rasmi. Saya reda dengan ujian-Nya.

SYA

Pada awalnya, Puan Syu mahu kesemua skirt itu pada 17 April tetapi Sya memerlukan masa empat minggu untuk menyiapkannya dan tarikh 26 April dipersetujui.

Disebabkan mahu memenuhi tempahan yang banyak itu, Sya terpaksa menutup tempahan raya buat pelangan-pelanggan lain.

Tangkapan skrin pertama perbualan antara peniaga dan pemilik butik terkenal.

Menurut Sya, Puan Syu bagaimanapun mungkir 'janji' apabila mendesak mahu mendapatkan skirt berkenaan pada tarikh awal sehingga membatalkan tempahan pada saat akhir.

"Dia tak balas mesej saya, sebaliknya 'block' (sekat) saya di WhatsApp. Dari dah nak bersalin sampai saya melahirkan anak dan kini berpantang, dia terus hilang macam tu saja.

"Saya tanggung banyak kerugian, dengan nak Hari Raya dan baru bersalin, saya terpaksa menjual kesemua skirt di Instagram," katanya.

Antara 400 skirt yang ditempah.

Pengalaman pahit itu membuka mata Sya supaya tidak mudah mempercayai orang meskipun sehebat atau sebesar mana nama seseorang itu dalam dunia perniagaan.

"Saya tak sangka butik yang kononnya nak bantu peniaga kecil boleh aniaya saya. Tapi silap saya kerana percayakan dia dan tiada perjanjian rasmi. Saya reda dengan ujian-Nya.

"Apapun saya tak serik dan anggap ia sebagai pengajaran kepada saya untuk lebih tegas dalam berurusan dengan mana-mana pihak pada masa akan datang," katanya sambil berharap kesemua 400 skirtnya dapat dijual sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
butik, skirt, kain, mengandung

Artikel Lain