suria

'Tragedi' batal order 400 skirt, peniaga dalam pantang ditawar tapak bazar... “Saat ada yang menganiaya, ramai lagi sudi bantu”

Peniaga ini akui menyesal hanya mengambil deposit RM1,000 sedangkan kos keseluruhan untuk tempahan 400 skirt adalah lebih RM35,000.

KISAH tular seorang peniaga yang berhempas pulas memenuhi tempahan 400 skirt labuh daripada pemilik butik terkenal tetapi dibatalkan pada saat akhir menjadi perhatian.

Timbul pelbagai reaksi termasuk persoalan netizen mengapa hanya deposit sebanyak RM1,000 diambil dan peniaga malang itu mengakui menyesal berbuat demikian.

"Nama yang agak gah. Kalau sis sebut mesti semua kenal. Silap sis sebab yakin dengan benda tu. Sis sepatutnya berhati-hati.

"Tapi mungkin sebab terlampau teruja bila jenama besar nak bekerjasama dengan kita, sis sanggup ambil risiko dan setuju dengan segala tawaran yang diberi. Ini pengajaran yang berharga buat sis," ujarnya menerusi perkongsian terbaharu di laman sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Naya! Pemilik butik popular 'lari' selepas desak peniaga tengah sarat siapkan 400 skirt, “Dari nak bersalin, sampai berpantang dia terus hilang”

Perkongsian terbaharu oleh peniaga mengenai pembatalan tempahan dibuat seorang pemilik butik terkenal.

Bercakap kepada mStar, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Sya berkata, sejak kisahnya itu tular, ramai yang tampil memberikan kata-kata sokongan.

Bersyukur dengan tindakan tersebut, peniaga berusia 26 tahun itu turut dihujani mesej daripada orang ramai bertanyakan tentang stok skirtnya.

"Ramai yang mula DM (mesej secara terus) yang tanya pasal skirt tu. Kebanyakan mereka mahu membeli selepas mengetahui kisah saya tular di media sosial.

"Kebanyakan yang bertanya adalah wanita. Tetapi saya turut mendapat pertanyaan daripada lelaki yang mahu membelinya untuk isteri dan girlfriend," katanya sambil menambah kira-kira 30 helai skirt yang berharga RM199 itu telah ditempah pelanggan setakat Rabu malam.

Sya terpaksa menutup tempahan buat pelanggan lain kerana mahu memenuhi tempahan 400 skirt dari butik popular.

Mengakui 400 skirt yang terpaksa dijual akibat tempahan dibatalkan itu merupakan satu jumlah yang besar, namun dia akur dengan nasib malang yang menimpanya.

"Nak buat macam mana, perkara dah berlaku, silap saya kerana terlalu percayakan orang. Sekarang ni apa yang penting kesemua skirt tu dapat dijual nanti," katanya.

Terdahulu, mStar melaporkan peniaga terbabit kerugian kira-kira RM35,000 selepas tempahan 400 skirt yang telah disiapkan dibatalkan saat akhir.

Nak buat macam mana, perkara dah berlaku, silap saya kerana terlalu percayakan orang. Sekarang ni apa yang penting kesemua skirt tu dapat dijual nanti.

SYA

Disebabkan mahu memenuhi tempahan yang banyak itu, Sya terpaksa menutup tempahan raya buat pelangan-pelanggan lain.

Selain ramai yang tampil untuk membeli, Sya yang berniaga kain secara kecil-kecilan sejak dua tahun lalu memberitahu turut ditawarkan untuk berniaga di bazar sempena Hari Raya.

Selain menerima pembelian, Sya turut ditawarkan tapak bazar untuk menjual skirt berkenaan.

Dia yang baru melahirkan anak sulungnya pada akhir bulan lalu bagaimanapun kini sedang berpantang, sekali gus membataskan pergerakannya terutama di luar rumah.

"Ada individu yang menawarkan saya untuk berniaga di bazar. Saya difahamkan juga tiada bayaran dikenakan kepada saya untuk tapak gerai yang digunakan atau dikongsikan itu.

"Tawaran itu masih dalam pertimbangan kerana saya sedang berpantang. Jika ada kawan-kawan saya yang sudi membantu untuk menjaga gerai, kenapa tidak.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati kerana sudi membantu. Tak sangka di saat ada yang menganiaya saya, ramai lagi bermurah hati," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kain, skirt, peniaga, tempahan

Artikel Lain