suria

Sultan Ahmad Shah berhentikan kereta, tanya khabar dan hulur RM100 buat bekas pekerja turap jalan terkedu

Seorang bekas penurap jalan, Muhammad Abdul Razak (gambar kecil) berkongsi kenangan bertemu dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah.

KEMANGKATAN Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al- Muadzam Shah merupakan satu kehilangan besar buat seluruh rakyat di Pahang.

Pemergian sultan berjiwa rakyat turut dirasai seorang lelaki yang berkongsi kenangannya bersama Almarhum semasa bekerja sebagai penurap jalan 15 tahun lalu.

Muhammad Abdul Razak, 42, berkata, ketika itu, dia baru berusia 27 tahun dan bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan jalan dan antara tugasnya adalah menurap jalan termasuk 'menampal jalan berlubang'.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Agong lambang kasih seorang anakanda

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami sayang Tok... Al-fatihah”

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Ahmad Shah mangkat


Perkongsian seorang rakyat Pahang mengenai Almarhum di laman sosial.

Semasa bertugas di Pekan, Pahang berikutan laporan jalan rosak, dia bersama rakan-rakan sekerja meletakkan kon, papan tanda termasuk ‘pengawal’ jalan raya sebagai prosedur operasi standar (SOP) sebelum kerja-kerja menurap di lorong kanan jalan.

Namun belum sempat memulakan kerja, katanya, mereka didatangi kereta dan motosikal peronda polis yang meminta mengalihkan kon, papan tanda dan kelengkapan lain untuk memberi laluan kepada Sultan Ahmad Shah ketika itu.

“Aku cakap mana boleh alih sebab kerja dah mula, jalan yang rosak tu pun kami dah tebuk untuk ganti dengan tar jalan yang baru. Polis cakap tak apa, kalau macam tu kami diminta untuk berhenti buat kerja dan pergi ke tepi jalan dan menyambung semula selepas baginda lalu.

“Masa baginda nak lalu tu rasa biasa saja. Tapi masa baginda berhenti kereta tu rasa berdebar, teruja, gembira sebab akhirnya dapat bersemuka buat pertama kali dengan baginda,” katanya kepada mStar.

Almarhum Sultan Ahmad Shah (kanan) semasa berjumpa rakyat di sebuah masjid di Pahang.

Lebih mesra dengan panggilan Cupot, dia terkejut kereta hitam dengan plat kuning itu dipandu sendiri Almarhum, ditemani seseorang dipercayai pengawal peribadi.

Lebih mengejutkan apabila Almarhum hanya memakai serba ringkas, mungkin ketika itu bukan untuk urusan rasmi.

“Almarhum Sultan pakai simple je. Pakai kemeja-T warna putih krim. Pengawal peribadi pula memakai kot dan cermin mata hitam.

“Bila Almarhum buka tingkap kereta, Almarhum senyum. Muka baginda memang nampak garang tapi hakikatnya seorang yang merendah diri,” katanya.

Almarhum (tengah) semasa memperkenankan sebuah masjlis pada 2013.

Cupot yang berasal dari Kuantan memberitahu, dengan hati yang berdebar dan teruja dia menghulurkan salam kepada Almarhum.

“Almarhum Sultan membalas salam dan sambut tangan aku dengan lembut. Aku cium tangan baginda,” katanya.

Bila Almarhum buka tingkap kereta, Almarhum senyum je. Muka baginda memang nampak garang tapi hakikatnya seorang yang merendah diri.

MUHAMMAD ABDUL RAZAK

Dia masih mengingati kata-kata Almarhum ketika itu yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila “Aok buat mende ramai-ramai tengoh jalan main panas ni?”

Mewakili rakan-rakan sekerja dia memberitahu mereka sedang membuat kerja-kerja penyelenggaraan jalan, sebelum dibalas dengan senyuman manis baginda.

“Almarhum senyum lagi kata “terima kasih kat aok seme buat keje tengoh jalan tengoh panas ni untuk keselesaan dan kegunaan orang ramai termasuklah kawan,” katanya yang terkedu dengan titah Almarhum itu. 

Muhammad Abdul Razak  menyifatkan pertemuan singkatnya dengan Almarhum sebagai satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Kerana layanan mesra kepada mereka, kata Cupot, maka tidak hairanlah Almarhum Sultan Ahmad Shah disenangi dan disayangi rakyat Pahang.

“Saya bertanya lagi ‘Tuanku nok gi mane?’ dan Almarhum Sultan jawab ‘kawan nak gi Kuantan, saje meronda. Aok seme buat keje molek-molek. Bahaya keje tengoh jalan ni’ dan kemudian menghulurkan wang RM100 ‘Aok ambek duit ni buat belanja makan minum dengan geng aok, kawan nok gi doh ni’.

“Masa tu saya rasa malu, segan dan sangat terkejut. Dah tentu saya dan kawan-kawan saya ucap terima kasih dan bersalaman cium tangan Almarhum,” kata bapa dua anak itu.

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun.

Cupot yang kini berkhidmat sebagai penjawat awam menyifatkan kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah begitu dirasainya dan pertemuan ringkas menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya.

“Pertemuan bersama Almarhum tak lama, kira-kira 3 minit macam tu je. Almarhum Sultan Ahmad Shah disifatkan sebagai seorang sultan yang baik hati dan tidak sombong apabila bersama rakyat tanpa mengira darjat dan pangkat.

“Salam takziah buat semua kerabat diraja dan rakyat Pahang Darul Makmur tanah bertuah. Semoga Almarhum tenang di sana dan ditempatkan bersama kekasih Allah,” katanya.

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji AhmadShah Al-Musta’in Billah ketika menabur bunga pada Istiadat Pemakaman Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji AhmadShah Al-Musta’in Billah di Makam Diraja Pekan pada Khamis. Turut sama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Foto Bernama

Almarhum Sultan Ahmad Shah, 88, yang juga Sultan Pahang Kelima dan pernah memegang tampuk pemerintahan negeri Pahang selama 45 tahun, mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada pukul 8.50 pagi Rabu.

Jenazah Almarhum selamat disemadikan di Makam Diraja Pekan,di Pekan pada petang Khamis, bersebelahan pusara isteri baginda Tengku Ampuan Pahang Tengku Afzan Tengku Muhammad, yang mangkat pada 29 Jun 1988.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Sultan Ahmad Shah

Artikel Lain