suria

Anak dedah hasrat pengasas Dnars dalam mesej terakhir sebelum dijemput Ilahi, “Saya mimpi mami datang pakai telekung tersenyum, wajahnya tenang...”

KENANGAN... Iqbar (kanan) bersama ibu tercinta, Allahyarham Fazani. Foto Iqbar Hakim Jasman

GENAP seminggu usahawan kosmetik, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad kembali ke rahmatullah selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada Sabtu minggu lalu.

Pemergian pengasas produk kecantikan Dnars berusia 40 tahun itu pada bulan Ramadan yang mulia, dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan ke rumah anak-anak tahfiz menyentuh perasaan.

Turut mengundang sayu apabila anak sulung Allahyarham iaitu Iqbar Hakim Jasman, 20, memuat naik video di laman sosial Instagram miliknya bagi menunaikan hasrat arwah ibunya dengan memberikan 500 set produk kecantikan secara percuma kepada wanita.

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa sekarang tak seperti dulu, suami Faziani terpaksa telan pil untuk tidur lena, “Rindu saya pada isteri tak berkesudahan”

ARTIKEL BERKAITAN: “Jaga kasih sayang, tiada siapa boleh pisahkan kami kecuali takdir Allah” - Pengasas Dnars sempat tinggalkan pesanan sebelum dijemput Ilahi

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Pengasas Dnars peroleh kekuatan “Mamiku dapat tersenyum, ketika aku cakap dia cantik, dia yang paling kuat”


Iqbar menunaikan hasrat arwah ibu untuk memberikan ratusan set produk kecantikan percuma kepada wanita.

Bercakap kepada mStar, Iqbar memberitahu, hasrat arwah ibunya itu disampaikan menerusi mesej di aplikasi WhatsApp pada Jumaat minggu lalu iaitu sehari sebelum nahas berlaku.

Katanya, ibu mahu memberi peluang kepada wanita mencuba set produk kecantikan yang baru dipasarkan awal tahun ini sebagai tanda penghargaan kerana menyokong Dnars.

"Arwah mami (panggilan ibu) menghantar mesej kepada saya pada petang Jumaat, menyuarakan hasratnya untuk memberikan 200 set produk kecantikan secara percuma untuk wanita kelihatan cantik pada Hari Raya.

"Tapi Allah lebih menyayangi mami dan tak sempat melakukannya, dan saya menunaikan mesej dengan menambah bilangan set untuk pemberian secara percuma sebab melihatkan pengorbanan mami dalam memajukan perniagaannya.

"Kami ada berbual lagi menerusi panggilan telefon selepas waktu berbuka puasa pada Jumaat. Masih juga bercakap pasal hal kerja tapi hasrat mami itu disampaikan dalam mesej terakhir yang saya terima daripadanya sebelum meninggal dunia," katanya kepada mStar.

Iqbar Hakim Jasman.

Iqbar yang kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Dnars berkata, sambutan yang diterima daripada netizen amat menggalakkan selepas video tersebut dimuat naik kurang 24 jam.

"Kami menerima lebih daripada 500 penyertaan. Syukur, hasrat arwah mami menerusi mesej terakhirnya kepada saya telah ditunaikan. Semoga roh Mami tenang di sana," ujarnya.

Senyuman arwah yang tenang itu mahu saya dan keluarga tidak lagi bersedih. Kalau mami di sana tenang, kenapa kami di sini perlu bersedih

IQBAR

Dalam pada itu, Iqbar sempat memuat naik tangkapan skrin perbualan bersama ibunya menerusi WhatsApp kira-kira seminggu sebelum tragedi berlaku, di IG Story pada Jumaat sebelum ia dipadamkan beberapa jam kemudian.

"Esok Sabtu, hari kelahiran mami. Orang kata kita akan mati hari kelahiran kita, badan ni tak sedap... rasa dua hari dah, penat," demikian antara kata-kata Allahyarham Faziani.

Hasrat Allahyarham Faziani yang disuarakan dalam mesej terakhir kepada Iqbar.

Mengulas mengenai perbualan itu, Iqbar tidak menyangka mesej tersebut sebagai petanda ibu tercintanya pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.

"Masa tu saya terlepas pandang, hanya menenangkan mami untuk tidak terlalu memikirkannya. Tapi benarlah atas ketentuan Allah, mami pergi seminggu selepas itu," katanya dengan nada sebak.

Allahyarham Faziani dijemput Ilahi pada bulan Ramadan yang mulia.

Iqbar bagaimanapun menjelaskan tindakannya memadam posting di IG Story kerana mengundang kekeliruan mengenai tarikh lahir ibunya.

"Sebenarnya mami dilahirkan pada 10 November, tapi posting tersebut membuatkan ramai keliru arwah meninggal dunia pada hari lahirnya. Sedangkan saya sudah nyatakan pada posting tersebut bahawa perbualan bersama arwah adalah seminggu sebelum kejadian.

"Tapi memang benar mami lahir pada hari Sabtu. Mungkin itu sebabnya Mami seolah-olah dapat merasakan dia akan pergi buat selama-lamanya pada hari berkenaan," katanya.

Iqbar (tiga, kanan) memperoleh kekuatan untuk terus menjalani kehidupan bersama bapa dan tujuh adik-beradik.

Menurut Iqbar, dia reda dengan pemergian ibunya dan semakin memperoleh kekuatan dalam meneruskan kehidupan bersama keluarga terutama tujuh adik-beradik.

Malah, dia turut mendedahkan mengalami mimpi didatangi arwah ibunya pada Rabu lalu.

"Rabu lepas, saya mimpikan mami. Dalam mimpi tu, arwah pakai telekung dan datang jumpa saya. Mami hanya tersenyum dan kelihatan begitu tenang.

"Saya mentafsirkan senyuman arwah yang tenang itu mahu saya dan keluarga tidak lagi bersedih. Kalau mami di sana tenang, kenapa kami di sini perlu bersedih," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain