suria

Suami kelu isteri luah hasrat mahu 'raya bertiga' Syawal ini, “Setiap kali menangis, saya akan duduk, dengar dan peluk dia”

Farhad telah mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Nor Asmawati selama lima tahun tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata.

SETIAP pasangan suami isteri pasti mengharapkan kehadiran cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga, namun ada segelintir yang masih menantikan zuriat dengan penuh kesabaran.

Demikian yang dialami Farhad Hassan dan isterinya, Nor Asmawati Abdullah yang masih menunggu kehadiran cahaya mata selepas berkahwin pada 2014.

Posting 'Aidilfitri Tanpa Cahaya Mata' ternyata menyentuh hati ramai pengguna Facebook selepas ia dimuat naik oleh Farhad Hassan sehingga tular baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Video kejutan ibu hamil buat ramai sebak, nenek sapu air mata kegembiraan, persoalannya terjawab! 

ARTIKEL BERKAITAN: Imbas momen bersama 3 anak kecil, nukilan sayu Umi buat 'mata masuk habuk'

Beberapa hari sebelum pemuda berusia 29 tahun itu membuat posting di Facebooknya, isterinya untuk kesekian kalinya telah meluahkan hasrat untuk mempunyai cahaya mata menjelang Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi.

"Isteri saya luahkan isi hatinya, alangkah seronok jika tahun ini kami dapat raya bertiga dan dari situ, saya ambil keputusan buat posting khas untuk dia.

"Saya buat posting berkenaan untuk beri kata-kata semangat kepada isteri supaya dia kuat, jangan patah semangat walaupun masih tidak dikurniakan anak selepas lima tahun berkahwin.

Farhad dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 2014.

"Saya tak sangka posting tersebut viral dan niat saya juga memang ingin berkongsi kepada pasangan yang senasib seperti saya," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menerusi catatan 'Aidilfitri Tanpa Cahaya Mata' itu, Farhad berkongsi perasaan dan pengalaman yang dilalui bersama isterinya yang masih sabar menanti kehadiran insan bernama 'anak'. 

Malahan, dia juga tidak lupa menitipkan nasihat kepada pasangan lain yang masih belum dikurniakan zuriat supaya bersabar melayan kerenah isteri, juga cakap-cakap orang sekeliling terutama ketika Aidilfitri nanti sehingga ia tular di media sosial baru-baru ini.

Dia sangat terkesan setiap kali tengok gambar-gambar bayi yang kena buang dan secara automatik, dia akan terus menangis.

FARHAD HASSAN

Tarikh-tarikh penting seperti hari jadi dan ulangtahun perkahwinan Farhad dan isteri juga sering kali disambut dengan melancong bersama pada setiap tahun.

"Setiap kali ulang tahun perkahwinan, saya bawa dia melancong dan sebelum ini kami ke Korea, Krabi dan Jepun. Saya pun selalu bawa dia ke candle light dinner.

"Tetapi memandangkan tarikh ulang tahun perkahwinan kami tahun ini pada bulan Ramadan, saya dan isteri hanya merancang untuk pulang ke kampung di Tampin, Negeri Sembilan," katanya mengenai ulang tahun perkahwinan mereka pada 23 Mei ini.

Posting Farhad yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Farhad juga memberitahu kes penderaan kanak-kanak dan kejadian buang bayi sangat memberi kesan kepada isterinya.

"Pernah dia luahkan rasa sedih bila tengok kanak-kanak kena dera atau bayi-bayi yang tidak dijaga.

"Dia sangat terkesan setiap kali tengok gambar-gambar bayi yang kena buang dan secara automatik, dia akan terus menangis.

"Setiap kali dia menangis, saya akan duduk, dengar dan peluk dia. Saya akan tenangkan dia dan jelaskan semuanya berlaku adalah perancangan Allah," katanya.

Farhad dan isterinya dalam proses mengambil anak angkat.

Sementara itu, Farhad dan isteri juga telah membuat perancangan untuk mengambil anak angkat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan permohonan mereka awal tahun ini sedang diproses jabatan berkenaan.

"Isteri saya sangat teruja bila dapat maklum balas daripada pihak JKM.

"Dia pun ada beri pesanan pada saya untuk sama-sama menjaga anak," katanya yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Tunku Besar, Tampin.

Posting milik Farhad di Facebook telah menerima 6,178 perkongsian dan rata-rata pengguna Facebook mendoakan yang terbaik buat Farhad serta isteri menerusi ruangan komen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Cahaya mata, suami isteri, Syawal

Artikel Lain