“KERJA sebagai runner ni tak hina, cuma ada sesetengah je yang anggap kita macam 'kuli batak',” luah seorang pemuda yang baru tiga bulan menceburi bidang penghantaran ini. Pemuda berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Adam sedar ramai yang bosan dengan pekerjaan sedia ada dan ingin melakukan sesuatu yang baharu dengan menjadi 'rider' Grab, namun memberi peringatan bahawa tidak semuanya indah. Anak kelahiran Kedah yang bermastautin di Kuala Selangor ini berkongsi pengalamannya dalam usaha untuk mengubah dirinya menjadi ‘orang’, umumnya ia bermaksud seseorang yang berguna kepada diri, keluarga dan masyarakat! ARTIKEL BERKAITAN: Lebih setahun Adam Shahz jadi pemandu Grab... Apa nak malu? ARTIKEL BERKAITAN: “Biarlah penat janji dapat tolong mereka” - Sedar diri 'belajar tak pandai', anak buat 3 kerja dalam sehari mahu banggakan mak ayah Adam bersama isteri dan anaknya. Kata Adam, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang dan selepas berhenti kerja seterusnya tiga bulan menganggur, timbul hasrat untuk mencari wang lebih bagi menampung perbelanjaan keluarga. “Ada member perkenalkan kerja baharu ini, jadi penghantar di Grab Express. Mungkin ramai yang belum tahu lagi ada perkhidmatan ini, jadi saya cubalah. “Saya memang nak ubah corak hidup sendiri dan dari situ bermulalah episod baru dalam hidup saya,” ceritanya kepada mStar. Menurut pemuda berusia 27 tahun yang sudah berumah tangga ini dan bapa kepada seorang cahaya mata ini, pada mulanya dia menganggap semua kerja 'manis' belaka. “Mana tidaknya ikut masa sendiri, jadi orang nampak kerja ni ‘masyuk’. Sebenarnya kalau ada yang order, cergas la bergerak, kalau tak ada akan merayau la mencari atau setidak-tidaknya 'bertapa', 'membangau' la nampaknya," katanya serba ringkas mengenai tugas barunya itu. Sering memilih lokasi 'bertapa' yang selesa seperti di taman dan bawah pokok redup, kata Adam, waktu itu paling sering didatangi orang awam yang mahu bertanyakan mengenai perkhidmatan yang ditawarkannya itu. “Ketika berehat, ramai yang tanya macam-macam pasal Grab, "best ke kerja Grab ni", "susah ke buat Grab" dan paling takut bila ada yang nyatakan hasrat nak berhenti kerja sebab nak buat Grab sepenuh masa. "Aku jadi termenung nak jawab soalan-soalan ni," katanya yang masih menganggap waktu kerja yang fleksi antara tarikan utama kerjayanya itu. Sebahagian daripada luahan Adam mengenai kariernya sekarang. Akui Adam, sebagai seorang yang masih baharu dalam bidang ini, jadi tidak banyak yang boleh dikongsi dengan mereka yang bertanya dan paling tidak dia akan berikan link untuk mendaftar sebagai petugas Grab. “Kalau imbas life saya sepanjang buat kerja ini, sebenarnya perit terutama bila bawa motor jauh-jauh masa tengah hari terik di highway tapi yang best dan manis sebab boleh cuti sesuka hati. “Yang pasti kerja seperti ini memerlukan disiplin dan itulah kelemahan saya dan sekarang saya tengah cuba untuk perbaiki diri sendiri,” katanya tugasnya itu membuatkan dia terkenangkan dosa lampau termasuk ketika melawan gurunya semasa zaman sekolah dahulu. Malahan, Adam turut terpanggil untuk berkongsi momen manis pernah mendapat keep the change agak banyak daripada pengacara popular TV3, Fedtri Yahya. “Saya ada buat penghantaran pelanggan order kuih ke TV3. Saya memang tak berapa kenal dia, ketika bagi baki lebih kurang RM30, dia cakap keep the change. “Saya memang terkejut, banyak tu! Tapi dia tetap beri dengan ikhlas dan saat itu saya memang gembira dan bersyukur dengan rezeki ni. Mana tidaknya ketika itu baru mula bekerja sejam dah dapat RM100," katanya. Meletakkan insiden itu sesuatu yang memang manis untuk dikenang, Adam yang merasakan dirinya begitu dihargai turut menitipkan doa agar personaliti televisyen itu mendapat penghargaan majikannya. Semuanya hanya bermodalkan gambar anaknya pada lock screen telefon bimbitnya, malahan Adam akui ada menggunakan taktik sama untuk 'memancing' pelanggan lain tapi katanya ia "tak selalu menjadi". Sebahagian daripada komen-komen netizen mengenai luahan Adam di Facebook. Namun, kata Adam lagi, lebih banyak kisah pahit sepanjang bertugas sebagai penghantar Grab hinggakan kebosanan yang dirasakan membuatkan dia terpanggil untuk berkongsi mengenai pekerjaannya itu. "Keluar rumah bersiap macam runner Grab paling handsome, tapi lepas tiga trip muka macam lepat pisang, tenggelam bau minyak wang, kulit terbakar kerana terik matahari," sambil menambah pernah melalui insiden mendebarkan apabila loceng rumah ditekan tetapi yang menyahut "woff woff", malahan pernah beberapa kali dikejar anjing! Harap sangat la tidak berselisih dengan bekas kekasih atau perempuan yang pernah 'ayat' dulu, kalau tidak malu la. Mesti dalam hati mereka berkata nasib baik tak jadi dengan dia ni, kalau tak jadi bini Grab la," katanya yang bersyukur kerana mempunyai isteri yang juga jururawat yang memahami kerjanya. Kesimpulannya, kata Adam, memandangkan ramai yang merancang untuk berhenti kerja dan menceburi khidmat Grab sepenuh masa, maka dia menasihatkan mereka supaya tidak meneruskan hasrat itu. “Buat je kerja ni sebagai separuh masa. Konsepnya hanyalah rajin dan cekal sahaja. "Bukan nak larang tapi sekadar berpesan kerana perlu cermin diri sendiri. Kalau tak berdisiplin, pemalas, akhirnya jahanam," katanya yang tidak menyangka catatannya di Facebook menarik perhatian ramai hingga mendapat pelbagai komen dan perkongsian lebih 200 pelayar Facebook.