GARA-gara terkejut dengan tindakan sebuah kereta yang tiba-tiba memotong selepas memberi signal pada saat akhir, seorang penunggang motosikal jatuh tergolek manakala topi keledarnya terpelanting di atas jalan. Insiden itu berjaya dirakam kamera dashcam yang dipasang pada sebuah kereta yang kebetulan melalui Jalan Langkasuka, Larkin semasa insiden pada 22 Mei lalu. Video berdurasi 19 saat itu kemudiannya dikongsi Intan Nuratiqah Azhar, sahabat kepada mangsa kemalangan itu, Muhammad Nabihan Azlin Suhaily di Twitternya. ARTIKEL BERKAITAN: Ayam punca kemalangan! Gadis terpaksa dibedah 3 kali, muka tertusuk cermin mata ketika edar taqwim bantu keluarga Perkongsian Intan mendapat perhatian netizen dengan diulang kilau sebanyak 5,300 kali dan rata-rata bersimpati dengan nasib rakannya itu. Muhammad Nabihan ketika dihubungi mStar berkata, dia terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan dan menerima lima jahitan di kepala akibat kemalangan itu. Nabihan terpaksa menerima lima jahitan di kepala akibat kemalangan itu. Foto ihsan Nabihan "Saya luka di bahagian tapak tangan, siku dan bahagian belakang badan serta mendapat lima jahitan di kepala. Cover set motosikal saya pula pecah, handle teralih. "Awalnya saya rasa pening tapi saya ingatkan cuma bengkak biasa sebab tak perasaan ada darah yang mengalir. "Bila dah sampai klinik tu baru tahu kepala saya dah koyak. Lepas tu klinik suruh saya refer ke hospital untuk buat X-Ray dan MRI sebab ada hentakan di kepala," katanya. Bercerita mengenai kemalangan itu, pemuda berusia 18 tahun itu berkata dia dalam perjalanan untuk pergi ke tempat kerjanya di Jalan Gagah, Larkin kira-kira pukul 1.50 petang. "Saya ada dekat lorong kiri dan ada sebuah kereta jenis Naza Ria kalau tak silap. Kereta tu ada dekat lorong kanan depan saya sikit. "Tiba-tiba kereta tu tekan signal kiri terus nak potong jalan jadi saya pun terperanjat. Kemudian saya brek mengejut terus terjatuh. "Helmet saya tercabut masa jatuh terhentak tu. Saya tergolek ke tepi dan kepala terhantuk dekat pembahagi jalan," katanya. Nabihan dibawa ke klinik sebelum diarahkan untuk pergi ke hospital untuk rawatan susulan. Foto ihsan Nabihan Muhammad Nabihan atau lebih dikenali sebagai Nabihan turut terkilan kerana pemandu kereta tersebut tidak berhenti untuk melihat keadaannya. "Saya terkilan... marah pun ada sebab dia sepatutnya bertanggungjawab. Cara pemanduan dia yang tidak selamat itu buat saya sampai terjatuh. "Tapi tak apalah, kita bersangka baik. Mungkin dia tak perasan yang saya terjatuh waktu tu. Lagipun ramai yang berhenti untuk bantu saya," katanya. Ditanya mengenai reaksi netizen yang mahu pemandu tersebut tampil bertemu dengannya, Nabihan berkata dia terharu dengan sokongan orang ramai. Ini bukan kali pertama saya berdepan situasi macam ni. Ada juga pemandu yang langsung tak nak bagi laluan kepada motosikal. Apapun sikap bertimbang rasa tu kena tanam pada diri masing-masing demi keselamatan semua. MUHAMMAD NABIHAN AZLIN SUHAILY Mangsa kemalangan Bagaimanapun anak sulung daripada tujuh beradik itu enggan terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut. "Jumpa atau tidak tu saya tak kisah sangat sebab saya pun dah memaafkan dia. Cuma kemalangan ini amat mengejutkan ibu bapa saya. "Saya tak pernah kemalangan sebelum ini. Lagipun saya jarang sangat sakit dan ini kali pertama saya masuk wad," kata Nabihan yang memberitahu kos rawatannya di sebuah hospital swasta ditanggung insurans bapanya. Dalam pada itu, Nabihan turut menasihati pengguna jalan raya terutamanya pemandu kenderaan supaya mengamalkan cara pemanduan selamat. Paparan skrin kamera dashcam yang merakam detik kemalangan itu. "Bila tekan signal bukannya bermakna boleh terus masuk simpang ataupun tukar lorong. Pastikan tak ada kereta ataupun motosikal lain di hadapan atau belakang anda. "Ini bukan kali pertama saya berdepan situasi macam ni. Ada juga pemandu yang langsung tak nak bagi laluan kepada motosikal. Apapun sikap bertimbang rasa tu kena tanam pada diri masing-masing demi keselamatan semua," katanya. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on May 27, 2019 at 6:35am PDT