suria

Peniaga online 'lari'! Pelanggan resah baju raya satu keluarga tak kunjung tiba, ada yang tangguh balik kampung, “Kalau tempah semua boleh jadi gila”

Firah terkilan kerana baju raya untuk dua anak lelaki dan suami tidak sampai di tangannya seperti dijanjikan.

HAJAT lima beranak untuk beraya sedondon kali ini tidak kesampaian apabila baju yang ditempah bukan sahaja tidak sampai di tangan tapi tukang jahit pun cabut lari.

Situasi malang itu diceritakan Nur Musfirah Alias menerusi satu posting di Facebook miliknya awal pagi Jumaat dan mendapat simpati netizen.

Lebih mengejutkan posting ibu tiga anak itu turut didakwa membongkar penipuan peniaga dalam talian terbabit selepas beberapa individu turut mengadu mengalami nasib sama sepertinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Punah! Lubang sempit, kain sendat... 7 sekeluarga 'menangis' tengok baju raya dikerjakan tukang jahit, "Patutlah ketuk pintu tak mahu buka"

Nur Musfirah atau lebih mesra disapa Firah berkata dia dijanjikan peniaga berkenaan bahawa baju raya yang ditempahnya pada harga RM189 akan siap dalam tempoh tiga hingga empat minggu.

"Saya buat tempahan awal April lalu kiranya untuk baju raya suami dan dua anak lelaki saya. Sepasang baju kurta dan seluar seorang untuk Amir dan Anas manakala kurta sahaja untuk suami.

Jumlah bayaran yang dibuat Firah kepada peniaga terbabit.

"Bila kita dah proceed order dia beritahu boleh siap dalam tiga hingga empat minggu. Jadi nak sedapkan hati mungkin dalam bulan puasa sampailah sebab saya dah order awal.

"Tapi dah nak dekat dua bulan dah ni. Tunggu punya tunggu parcel sejak Selasa lalu sehinggalah hari ini tapi parcel tak sampai-sampai juga," katanya ketika dihubungi mStar.

Dek kerana tak sedap hati, Firah berkata dia ada memaklumkan kepada peniaga tersebut untuk mengambil sendiri tempahan itu di kediaman pasangan suami isteri itu di Puncak Alam, Ahad lalu.

"Masa nak pergi rumah dia Ahad lepas saya minta dia hantar location tapi dia minta maaf sebab ada dekat Seremban. Jadi dia kata akan post pada Isnin sebab dia beritahu baju semua dah siap.

"Saya risau kalau guna Pos Laju sebab sekarang musim perayaan takut parcel lambat sampai. Tapi dia janji guna J&T dan saya pun lega bila dia cakap macam tu sebab saya tahu J&T kalau post hari ni akan sampai esok.

"Tapi saya tak sedap hati. Saya cakap dekat husband saya kenapa baju tak sampai juga sebab saya dah offer dengan dia minggu lepas lagi nak datang ambil sendiri tapi dia kata tak pe akan pos Isnin," katanya.

Bagaimanapun Firah berkata dia cuba menghubungi peniaga tersebut tetapi mesej tidak berjaya dihantar dan telefon bimbitnya turut gagal dihubungi.

Paparan skrin mesej Firah dengan peniaga terbabit.

"Saya call memang dia dah off handphone. Lepas tu saya try cari Facebook isteri dia dan call nombor telefon yang tertera tapi tak dapat juga. Peniaga tu memang tak dapat dihubungi sejak Rabu lagi dan mesej pun tak ada bluetick.

"Saya juga cuba call tiga ejen mereka di Klang, Shah Alam dan Bangi. Semua nombor saya dah call tapi semua off. Semua pakat diam diri. Nombor telefon yang dekat IG dia pun gagal dihubungi," katanya.

Dalam pada itu, Firah berkata dia kecewa dan terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab peniaga tersebut.

"Saya terkilan sangat-sangat. Lagi geram sebab kali pertama kena. Memang seriklah nak beli online lepas ni.

Kalau ikutkan tema raya ni blue black. Tapi husband kata kali ini temanya pelangilah... layan jelah. Saya memang frust.

NUR MUSFIRAH ALIAS

Mangsa penipuan peniaga online

"Bila tengok IG review OK, Facebook OK... kiranya memang trusted seller. Design baju pun unik tapi tak sangkalah sampai sanggup tipu pelanggan macam ni," katanya.

Firah yang bekerja sebagai jururawat turut mendesak peniaga tersebut supaya mengembalikan wang yang sudah dibayarnya.

"Saya tahu memang takkan dapat baju tu sebab dia pun dah hilang. Kalau boleh orang Melayu... Islam bertanggungjawablah. Jangan lari macam tu. Minta maaf dekat semua pelanggan yang dia dah tipu.

"Pada masa sama pulangkan wang yang sudah dibayar. Tak adalah kita rasa marah... sedaplah sikit hati ini. Tak pun beritahu awal-awal tak dapat siapkan. Ini tak main cabut macam tu je," katanya.

Wanita berusia 34 tahun itu berkata tindakan peniaga tersebut turut menjejaskan persiapan raya mereka sekeluarga kali ini.

Instagram milik peniaga terbabit yang berjaya didedahkan netizen.

"Saya kena kerja waktu raya jadi suami akan balik kampung dulu dengan anak-anak. Baju yang lain-lain dah siap packing tinggal tunggu nak basuh dan iron baju raya yang ditempah tu.

"Tapi bila dah jadi macam ni, Ya Allah mana saya nak cari baju raya ni. Nak cari baju warna sedondon banyak saiz dah tak ada.

"Kalau ikutkan tema raya ni blue black. Tapi husband kata kali ini temanya pelangilah... layan jelah. Saya memang frust," katanya.

Namun Firah berkata dia agak bernasib baik apabila tidak membuat tempahan baju kurung untuk diri sendiri dan anak sulungnya dengan peniaga tersebut.

"Nasib baiklah saya dan anak perempuan saya tak tempah kurung Kedah di tempat sama. Sebabnya, anak saya macam kata cantik sebab poket dia ada design Poney dan Hello Kitty.

"Saya cakap tak pelah saya ada kain blue black. Jadi saya tempah baju kurung kami dekat orang lain. Kalau kami tempah kurung Kedah the whole set dekat situ boleh jadi gila... saya tak tahulah," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Nabila Zakariya turut berang dengan perbuatan peniaga terbabit.

Paparan skrin mesej Nabila dengan peniaga terbabit.

"Memang saya marah sebab baju yang warna kelabu memang untuk adik dan anak saya kira baju tema keluarga saya. Nasib baiklah kakak saya tak order sekali pada peniaga yang sama.

"Walaupun order saya hanya RM299 tapi bagi saya jumlah itu banyak memandangkan saya hanyalah suri rumah dan turut berniaga online sikit-sikit," katanya yang kali pertama menjadi mangsa penipuan peniaga dalam talian.

Malah Nabila berkata dia terpaksa menangguhkan perjalanan balik ke kampung suami di Johor semata-mata menunggu bungkusan berisi baju raya tiba di depan pintu.

"Saya sepatutnya balik semalam (Khamis) tapi sebab tunggu parcel punya pasal saya tak jadi balik kampung.

"Dia WhatsApp Sabtu kata nak pos Selasa. Selasa saya WhatsApp lagi tapi dah tak reply. Rabu saya diam kemudian Khamis saya WhatsApp lagi tapi mesej tak delivered," katanya yang akan ke rumah peniaga terbabit hari ini.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
baju raya, penipuan, peniaga online

Artikel Lain