suria

“Saya doktor, boleh saya tengok?” - Pelajar beranikan diri 'menipu' demi bantu aunty Cina pengsan, kagum sikap rakyat Malaysia

Dharshinee ketika berusaha menyelamatkan wanita warga emas yang pengsan di hadapan sebuah kedai di Ipoh.

SEMANGAT perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum sangat penting bagi memastikan hubungan baik sesama masyarakat berlainan bangsa dapat dikekalkan.

Sebagai tanda prihatin, seorang gadis berbangsa India memuat naik status di Twitter berharap agar kuasa viral mampu membantunya berjumpa semula dengan wanita warga emas berbangsa Cina yang pernah diselamatkan akibat pengsan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Ipoh, Perak.

Dharshinee Suresh Kumar atau mesra disapa Dharshinee ketika dihubungi mStar menceritakan peristiwa tersebut yang berlaku pada 2 Jun, beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

ARTIKEL BERKAITAN: “Susah nak dapat jiran baik macam ni” - Gadis Melayu terharu, semua tetamu dah balik, muncul jiran Cina tolong lepas kenduri

"Ketika kejadian, saya dan rakan-rakan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Ipoh. Kebetulan rakan saya singgah kedai runcit untuk beli air kemudian selepas dia masuk ke dalam kereta, dia beritahu ada mak cik pengsan di depan kedai.

Dharshinee kagum dengan kerjasama rakyat Malaysia yang sedia membantu tidak mengira bangsa dan agama.

"Saya yang berada dalam kereta terus keluar untuk tolong mak cik tu. Mula-mula saya tawarkan diri untuk tolong, tak ada yang hiraukan. Saya cuba juga beranikan diri dan keadaan memaksa saya menggunakan ayat 'saya seorang doktor, boleh saya tengok?'. Barulah orang-orang di situ bagi saya peluang buat basic emergency aid yang saya pernah belajar memandangkan saya sebenarnya masih lagi bergelar pelajar perubatan.

"Perlahan-lahan saya betulkan posisi badan mak cik itu dan saya periksa nadi dia. Saya kejutkan dia dalam lebih kurang tiga minit dan akhirnya dia sedar," ujarnya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor.

Saya tidak rasa rakyat Malaysia dalam keadaan yang bermasalah, rakyat Malaysia kebanyakannya suka menolong antara satu sama lain tidak mengira warna kulit.

DHARSHINEE SURESH KUMAR

Tambah gadis berumur 22 tahun ini, dia berterima kasih kepada beberapa individu yang sudi membantunya dengan memanggil ambulans dan menunggu mak cik tersebut sementara bantuan tiba memandangkan dia dan rakan-rakan terpaksa bergegas pulang ke Kuala Lumpur ketika itu.

Darshinee turut mengakui, peristiwa itu juga menunjukkan masih wujudnya perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia serta sikap saling membantu antara satu sama lain.

"Masa saya cuba nak selamatkan mak cik tu, sebelum saya sampai di tempat kejadian pun dah ramai orang berbilang kaum di situ.

Posting yang dimuat naik Dharshinee di laman Twitter.

"Walaupun nak dekat raya ketika itu, saya lihat masih ada pak cik Melayu yang sudi tolong dan ada seorang mak cik India yang berusaha buat panggilan ambulans.

"Saya tidak rasa rakyat Malaysia dalam keadaan yang bermasalah, rakyat Malaysia kebanyakannya suka menolong antara satu sama lain tidak mengira warna kulit," katanya.

Dalam pada itu, Dharshinee yang merupakan pelajar tahun kedua jurusan perubatan di Universitas Udayana, Bali, Indonesia bersama rakan-rakannya sedaya upaya usaha mencari semula wanita warga emas berkenaan untuk bertanya khabar serta ingin membantunya sekiranya dia memerlukan bantuan.

Posting yang dimuat naik Dharshinee di laman Twitter telah diulang kicau sebanyak 1,207 dan 529 tanda suka.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain