suria

Lelaki ini bingung diheret ke balai kerana mahu bunuh diri, “Saya pusing bangunan tu sorang-sorang waktu malam”

Asyraf disangka mahu terjun dari bangunan gara-gara rakaman video yang dipercayai diambil dari bangunan berdekatan hotel tersebut.

"AWAK kena turun... semua polis, bomba dah sampai. Mereka tengah cari mayat di bawah."

Kata-kata itu membuatkan seorang pemuda yang sedang melakukan kerja pembaikan sistem gas air panas di bangunan hotel bertaraf lima bintang di Subang Jaya, terpaku, malah tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Semuanya gara-gara rakaman video penampakan seseorang seolah-olah mahu terjun dari sebuah bangunan hotel tersebar, sekali gus menyebabkan polis dan bomba digegaskan ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun 'suspek' dalam video itu sebenarnya telah disalah tafsir individu yang merakamkan insiden tersebut dan membuat laporan mengenainya, dalam kejadian pada 29 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakar psikiatri 'bedah' nota pelajar cuba bunuh diri sebab cinta

ARTIKEL BERKAITAN: Hospital JB kecoh, wanita bunuh diri kerana A Rahman Hassan

Susulan itu pemuda yang disangka mahu bunuh diri itu yang dikenali sebagai Asyraf Azlin berkongsi pengalaman cemas tapi kelakar yang dilaluinya menerusi satu bebenang di Twitternya.

Posting Asyraf menjadi tular di Twitter.

Posting tersebut yang dimuat naik bersama video berdurasi 17 saat mendapat 21,800 ulang kicau dan 11,100 tanda suka.

Menurut Asyraf, ketika sedang bekerja di atas bangunan, dia terkejut apabila didatangi dua individu dipercayai pengurus hotel berkenaan yang menunjukkan satu video 'bunuh diri' kepadanya.

"Mereka tanya siapa yang berdiri dekat luar platform selain saya. Saya beritahu ada lagi sekumpulan cleaner basuh platform luar sebelah sana. Jadi mereka pun pergi cari cleaner yang saya katakan itu, tapi datang semula kepada saya sebab cleaner tu dah tak ada.

"Mereka terus tanya, awak ke yang berdiri dekat hujung tembok nak terjun bunuh diri?  Saya terkejut. Saya beritahu memang tak ada niat nak terjun bunuh diri. Lagi pun saya berdiri di sebelah dalam... jarak platform tempat saya berdiri dengan tembok penghadang kira-kira tujuh meter.

"Mereka mula-mula tak percaya. Lepas tu salah seorang daripada mereka tunjuk video pada saya. Dia kata sekarang bomba dah datang... polis pun dah datang tengah cari mayat dekat bawah. Jadi saya pun terkedu," katanya kepada mStar.

Pemuda berusia 24 tahun itu mengakui kerana terlalu bingung, pada awalnya dia menjangka individu dalam video yang dirakam itu adalah dirinya.

"Saya pun dalam keadaan tak sedar masa tu. Mula-mula saya ingat itu diri saya sebab manager tu tunjuk video sekali pintas. Tengok bangunan tu, bangunan yang sama. Cuma beza hujung belah kanan dan kiri, perbezaan sikit sahaja.

Asyraf menunjukkan lokasi dia berdiri di atas platform bangunan hotel tersebut.

"Port tu saya perasan, sama ada saya berdiri dekat platform atau berdiri kejap ke saya pun tak ingat sebab saya tengah on call. Biasanya dekat platform tu saya duduk tapi tak tahulah kemungkinan saya tengah on call dalam 10 minit waktu tu.

"Lepas tu manager tu suruh saya berdiri dekat atas tembok. Dia ambil gambar, lepas tu dia tengok video dan cakap 'ya' samalah gambar ni. Rupa-rupanya awaklah. Dia minta saya turun dan beri penjelasan dekat bomba dan polis mengatakan tak ada orang bunuh diri," katanya.

Sebaik sahaja sampai di lobi hotel, Asyraf memberitahu suasana sedikit kecoh tetapi bomba dan polis sudah bersurai.

Lepas tu manager tu suruh saya berdiri dekat atas tembok. Dia ambil gambar, lepas tu dia tengok video dan cakap 'ya' samalah gambar ni. Rupa-rupanya awaklah. Dia minta saya turun dan beri penjelasan dekat bomba dan polis mengatakan tak ada orang bunuh diri.

ASYRAF AZLIN.

Bagaimanapun Asyraf berkata dia sudah memperoleh video insiden tersebut daripada bosnya kira-kira 15 minit selepas turun ke lobi hotel.

Tidak lama kemudian pemuda berasal dari Puchong, Selangor itu pun tiba di balai polis berdekatan untuk memberi keterangan mengenai insiden itu.

"Ada seorang chief polis tanya awak ke yang nak terjun bangunan tu? Nak kami bawa awak pergi ke hospital check mental awak ke katanya dalam nada marah-marah. Tapi ada seorang polis tegur 'kau ni bercakap dengan chief pun boleh gelak-gelak lagi'... kau ni susahkan bomba, susahkan polis.

"Tak lama lepas tu dia panggil masuk dalam bilik untuk soal siasat. Lepas tu saya dapat call daripada bos saya tanya keadaan. Polis pun tunjuk video dan mereka gelak lepas saya beritahu perkara sebenar sebab mereka ingat saya betul-betul nak bunuh diri sebab video tu pendek je.

Sistem gas air panas yang dibaiki Asyraf semasa insiden salah faham itu berlaku.

"Saya pun tak tahu dari mana datang video tu. Kalau ikutkan video tu dirakam dari bangunan sebelah hotel tu. Family saya pun waktu tu dah nak pergi balai tapi salah seorang engineer di tempat kerja saya beritahu saya ok dan hanya datang beri keterangan. Selepas ditahan sejak pukul 4 petang, saya pun dilepaskan pukul 9.50 malam," katanya.

Dek kerana tidak berpuas hati dengan video tersebut dan mahu mencari kebenaran di sebalik apa yang berlaku, Asyraf terus pergi semula ke hotel tersebut untuk meneliti sama ada benar dirinya adalah individu dalam video itu.

"Saya tengok-tengok sudut seperti dalam video tu tak sama. Kalau perasan ada satu awning kayu belah atas. Saya duduk berdekatan dengan awning kayu tapi dalam video tu terlalu jauh. Orang tu duduk dekat platform paling hujung.

"Saya pun duduk... saya tengok video, saya ambil gambar dan buat lukisan 'bulat-bulat'. Memang tak sama langsung. Saya pusing bangunan tu sorang-sorang waktu malam. Saya check dari tempat saya berdiri memang tak sama. Saya check sudut satu lagi tempat cleaner tadi berdiri memang sama macam dalam video.

"Dari situ saya dapat detect dalam video tu adalah cleaner tadi. Waktu tu mereka tengah buat pembersihan platform besar dalam tiga meter. Di atas tu ada banyak platform dan jarak antara hujung platform dengan tembok penghadang dalam tujuh meter," katanya.

Selepas meneliti video dan keadaan di sekeliling, Asyraf menyedari dia bukanlah individu dalam video terbabit.

Menyedari individu video itu bukan dirinya, Asyraf bertindak menjelaskan perkara itu di Twitter.

"Lepas saya tengok video tu barulah saya perasan dalam video tu bukan saya. Saya cerita di Twitter dan tak sangka jadi viral sebab saya selalu cerita apa-apa di Twitter. Semua gelakkan saya. Tapi ada juga yang salahkan saya sebab post video tu.

"Mereka tak tahu cerita sebenar dan tanya apa kerja saya. Saya sebenarnya buat sistem pembaikan gas air panas. Saya memang selalu buat service dekat hotel tu... sebulan tiga empat kali pergi. Tapi tak sangka pula tempoh hari jadi hari paling malang.

"Mula-mula rasa menyesal sebab pergi seorang. Biasanya saya pergi berdua tapi kebetulan seorang lagi kawan saya kena hantar barang sebab nak pakai urgent. Sebelum ni saya pun pernah berdiri di situ tapi tak pernah jadi apa-apa," katanya.

Ditanya sama ada insiden itu membuatkan dirinya trauma untuk meneruskan kerjanya itu, Asyraf berkata dia tetap bekerja seperti biasa.

"Tak trauma cuma rasa kelakar. Lepas kejadian tu bila saya ke sana, orang hotel usik jangan bunuh diri lagi tau. Saya pun gelak je lah sebab saya tahu mereka hanya bergurau," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain