MEMBESAR tanpa belaian seorang ibu dirasakan seperti ada ruang kosong dalam jiwanya walaupun Nur Rabiatul 'Adawiyah Shamsul Annuar mendapat sepenuh kasih sayang daripada insan bergelar opah. Selama 14 tahun Rabiatul 'Adawiyah atau lebih mesra disapa Rabie menumpang kasih opahnya, Suwaibah Kamaruddin, selepas ibu bapanya berpisah ketika usianya dua tahun. Sejak itu, Rabie yang kini berusia 20 tahun hidup tanpa ibu di sisi yang membawa diri entah ke mana. Namun meniti usia dewasa, jiwa Rabie semakin bergelora untuk mencari kembali ibunya Nor Asnidal Mohd Noor, 41. ARTIKEL BERKAITAN: "Buat anakku Halim, kalau terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa keluarga" ARTIKEL BERKAITAN: “Dia buat saya rasa macam masih ada emak” - Kakak enggan lepas adik, berlaku 'drama' di majlis kahwin "Ibu bapa saya bercerai ketika saya masih kecil. Ketika itu saya tidak tahu apa-apa dan saya dibesarkan oleh opah sebelah ayah. "Sejak usia meningkat saya cuba mencari ibu yang berasal dari Batu Kurau, Perak tetapi memang semua tidak tahu di mana dia tinggal. Kali terakhir saya bercakap dengannya 10 tahun lalu. Saya tak ingat apa yang kami bualkan. Ayah saya sendiri pun tidak tahu di mana ibu tinggal. "Tetapi tahun lalu saya mengambil keputusan memuat naik status untuk mencari ibu melalui platform sosial media, di laman Twitter. "Perasaan ingin cari ibu ini timbul sebab saya rasa sudah cukup besar untuk tahu di mana ibu berada sekarang. "Perasaan cemburu dengan kawan-kawan rapat yang mempunyai ibu membuatkan saya terus mencarinya. Gambar Rabie ketika masih bayi. "Sehingga itu, tidak ada apa-apa maklumat mengenainya. Hati saya memang terlalu rindukan ibu," kongsinya bersama mStar. Kerinduan Rabie kini bertukar sepi apabila opah kesayangan pergi mengadap Ilahi pada Ramadan tahun lalu. Memang terkejut dan teruja sangat. Yalah, sudah 14 tahun kami terpisah. Memang saat inilah yang saya tunggu-tunggu. RABIATUL 'ADAWIYAH SHAMSUL ANNUAR "Opah meninggal dunia kerana sakit tua. Hilang satu lagi tempat bergantung dan menumpang kasih. Memang sedih. Opahlah yang ada dengan saya selama ini. Tetapi itulah hakikat yang saya perlu terima. "Selepas opah dah tak ada, hati saya terdetik sekali naik untuk memuat naik status pencarian ibu di laman sosial pada 6 Julai lalu. Opah Rabie meninggal dunia tahun lalu. "Sejak tahun lalu ramai juga yang membantu mencari maklumat dan memberi pelbagai pandangan bagi misi mencari ibu saya ini. "Dengan bantuan semua, Alhamdulillah akhirnya saya dapat bercakap dengan ibu sendiri. "Dia menghubungi saya pagi Isnin lalu selepas ibu mendapatkan maklumat melalui adik ayah saya di Facebook. "Memang terkejut dan teruja sangat. Yalah, sudah 14 tahun kami terpisah. Memang saat inilah yang saya tunggu-tunggu. Perkongsian Rabie bermula tahun lalu dan status keduanya dikongsi pada 6 Julai baru-baru ini. "Kami hanya bercakap seketika dan dia berjanji akan datang bertemu saya secepat mungkin," ujarnya. Menurut Rabie, dia berharap dapat menghabiskan masa bersama ibunya yang sekian lama dirindui. "Saya memang nak jumpa dia untuk sambung kembali silaturrahim yang telah lama terpisah. "Sebelum itu saya ucapkan terima kasih juga kepada warganet yang turut membantu sepanjang pencarian ini," ujar Rabie yang tinggal kini tinggal di Ipoh.