KAWAN ketika senang memang tak sukar dicari, sebaliknya jika berdepan kesulitan memang sudah menjadi lumrah ada kalanya yang bergelar sahabat itu akan cabut lari. Hubungan sebagai kawan baik biasanya sinonim dengan kaum hawa, tetapi tidak dinafikan golongan lelaki juga mempunyai emosi tersendiri dalam kalangan rakan-rakan baik mereka. Jarang-jarang kita baca kisah sedih lelaki kehilangan kawan baik dan jika ia berlaku tentu ada sebabnya! ARTIKEL BERKAITAN: "Dia dengan lelaki lain do..." - Pemuda 'frust' ditinggal awek, BFF bukan saja pujuk tapi menyakat sekali! ARTIKEL BERKAITAN: Tahan takut tengok kawan lelaki mengilai, dibawa jumpa ustaz puncanya 'nasi putih lauk ayam' Namun perkongsian Saiful Shafiq Abdullah, 18, menarik perhatian warganet dengan kisah sedihnya apabila hubungan persahabatan dengan seorang rakan sekolahnya terputus. Perkongsian Fiq yang mendapat perhatian warga Twitter. Menurut Saiful Shafiq, 18, atau lebih mesra disapa Fiq, dia memuat naik kekecewaan yang dialaminya di laman sosial kerana terlalu sedih dan terkejut selepas dibuang rakannya. "Saya mengenali dia sejak di tingkatan 1 ketika bersekolah di Jeram, Selangor, tapi tempoh sekolah bersama tidak panjang sebab saya pindah ke Pelabuhan Klang ketika tingkatan 2. Bagaimanapun kami sentiasa berhubung dan keluar berjumpa lepak bersama kawan-kawan lain. "Setiap kali mahu keluar, dia akan datang ambil saya menaiki motosikal memandangkan saya tidak mempunyai kenderaan," ujar Fiq ketika berkongsi kisahnya kepada mStar. Menurutnya, dia menganggap apa yang berlaku antara mereka ibarat kata pepatah 'ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari' apabila tiba-tiba hubungan baik mereka berdua terputus tanpa sebarang alasan yang masuk akal. Malah dia juga mengutuk minat saya untuk jadi penyanyi. Sebelum ini kami pernah berkongsi minat masing-masing. SAIFUL SHAFIQ ABDULLAH "Khamis lalu dia tiba-tiba WhatsApp saya maki-maki dan hina saya macam-macam. Apabila ditanya apa salah saya, dia tak jelaskan dan terus menghina mengungkit selalu ambil saya di rumah. Baru saya tahu dia sebenarnya tak suka. "Malah dia juga mengutuk minat saya nak jadi penyanyi, malahan sebelum ini kami pernah berkongsi minat masing-masing. "Lepas terima WhatsApp itu, saya menangis kerana sedih dan terkejut. Saya berkongsi perasaan ini dengan mama. Dia cuba nasihatkan saya supaya bersabar. Katanya akan ada kawan yang lebih baik selepas ini," katanya sambil menambah kawan-kawan yang lain turut terkejut dengan apa yang berlaku antara kami berdua. Dedah Fiq, menerusi mesej yang diterimanya itu barulah dia tahu sebenarnya bekas sahabat baiknya itu bagaikan menyimpan sesuatu sepanjang perkenalan mereka. "Sebenarnya dia tidak suka saya ramai kawan. Saya memang suka menolong orang dan peramah, tetapi saya tidak pernah lupakan dia setiap kali berjumpa kawan baharu. Begitu juga dengan kawan-kawan lain, kalau lepak, kami layan sama rata. Nasihat dan sokongan warga Twitter kepada Fiq. "Rupa-rupanya dia berdendam sejak zaman sekolah lima tahun lalu sampai hari ini sebabnya saya lebih ramai kawan daripadanya. "Saya tidak pernah marah atau cemburu kalau dia keluar dengan geng sendiri," akui Fiq. Anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu, dia kini agak lega apabila dapat berkongsi perasaan sedih bersama keluarga dan kawan-kawan lain. "Kawan-kawan banyak beri sokongan dan saya sendiri tak sangka di Twitter ramai juga meluahkan kata-kata semangat. "Cuma saya berharap satu hari nanti dia akan sedar apa yang dia lakukan pada saya ini tidak baik. "Saya juga harap dia tidak memandang rendah dan menghina orang lain. Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini," katanya yang mendapat lebih 8,000 ulang kicau melalui perkongsian itu.