RAMAI yang panas dengan gambar tular yang menunjukkan seorang pengantin perempuan ‘ditenggelamkan’ oleh kumpulan gadis pengiringnya atau bridesmaid, termasuk pelamin. Ia hangat dibahaskan netizen termasuk seorang jurugambar profesional untuk perkahwinan mengenai perbandingan antara pengantin perempuan dan bridesmaid. ARTIKEL BERKAITAN: Dua kali 'tragedi'! Selepas 5 bulan nikah, pengantin terkejut 'ditenggelamkan' pelamin, bridesmaid... Seminggu sebelum kahwin pun ada kisah tragis “Bridesmaid banyak bermasalah daripada yang elok, tapi masih ada yang OK. Kepada bakal pengantin, kalau rasa kawan-kawan lagi lawa daripada kau, baik jangan ada bridesmaid ya. Pengapit pun cari yang setaraf cuma tak pastilah kalau pengantin yang rasa sentiasa cantik,” menurut perkongsiannya, disusuli banyak bebenang daripada netizen. Jurugambar profesional tersebut, Mohamad Shazlan Aminuddin, 29, berkata, sepanjang mengambil gambar perkahwinan sejak 2013, hal membabitkan pengiring merupakan sesuatu yang mencabar baginya. “Bagi saya, walaupun pelanggan adalah pengantin atau keluarga pengantin, tetapi saya akui segelintir bridesmaid membuatkan kerja saya begitu mencabar. “Sebagai pengantin, sudah tentu mereka mahu kelihatan menyerlah pada majlis dan di dalam gambar untuk dijadikan sebagai kenangan, tapi ‘mencabar gila’ kalau bridesmaid yang lebih menyerlah berbanding pengantin,” katanya kepada mStar. Selain menjadi jurugambar, Mohamad Shazlan juga berpengalaman menjadi juruvideo untuk majlis perkahwinan. Menyifatkan rupa paras adalah subjektif, Mohamad Shazlan mahu memberi penekanan mengenai peranan pengantin dan pengiring dalam majlis perkahwinan. “Ada bridesmaid yang over... gigih upah jurusolek artis (MUA) dan jurudandan. Sudahnya, mereka nampak lebih menyerlah atau dah macam pengantin. “Ni majlis siapa sebenarnya? Sepatutnya bridesmaid meraikan hari istimewa pengantin bukan sebaliknya,” katanya yang berpengalaman menjadi jurugambar majlis perkahwinan dari kampung, hotel lima bintang hingga membabitkan pengantin kerabat diraja. Ada bridesmaid yang over ... gigih upah jurusolek artis (MUA) dan jurudandan. Sudahnya, mereka nampak lebih menyerlah atau dah macam pengantin. MOHAMAD SHAZLAN Jurugambar yang berasal dari Taiping, Perak itu berkata, menjadi dilema apabila pengantin perempuan mengadu gambar pengiringnya lebih cantik berbanding dirinya. “Banyak kes bridesmaid lagi cantik daripada pengantin perempuan, sama ada cantik semula jadi atau sebab mekap. Kalau pengantin muka ‘biasa-biasa’ tapi bridesmaid macam model, sudah tentu akan nampak perbezaan yang ketara. “Itu belum lagi bridesmaid yang cantik melaram mengalahkan pengantin. Ni lah jadinya bila pengantin fikir dia seorang je cantik dan bridesmaid pula syok sendiri,” tambah bapa dua anak itu. Perkongsian yang tular mengenai gambar bridesmaid lebih menonjol berbanding pengantin perempuan. Mohamad Shazlan yang kini menjadi jurufoto untuk gambar-gambar korporat bagaimanapun akur apabila berfikir bahawa pengiring atau juga dikenali sebagai dulang girls dipilih oleh pengantin perempuan atas hubungan persahabatan dan keakraban mereka. “Bila bakal pengantin perempuan nak berkahwin, sudah tentu dia memilih rakan-rakan karibnya untuk turut bersama-sama memeriahkan hari bahagia itu. “Cuma risikonya adalah rakan-rakan baik yang jadi bridesmaid tu mungkin lebih cantik daripada pengantin. Dalam hal ni kalau berlaku, pengantin perempuan kena terima hakikat dan paling penting kedua-dua kena ‘cermin diri’ siapa mereka di majlis itu,” katanya. Pandangan mengenai segelintir bridesmaid yang mahu kelihatan lebih menonjol. Walau bagaimanapun, katanya, terdapat cara untuk menyerlahkan pengantin perempuan berbanding pengiring pada majlis dan di dalam gambar perkahwinan dengan bijak memilih busana dari segi warna, material dan rekaan. “Macam gambar yang viral pasal pengantin ‘ditenggelamkan’ oleh bridesmaid dan pelamin, memang pengantin salah pilih baju. Tapi, pengantin beri penjelasan baju bridesmaid terpaksa ditukar saat akhir kerana ada masalah baju tak siap. Contoh gambar pengantin perempuan yang lebih menyerlah berbanding bridesmaid. Foto ihsan Eyka Syafika “Gambar tu pula diambil guna telefon bimbit oleh amatur. Sebagai jurugambar profesional, pengantin tu akan diminta berada di bahagian paling depan atau menukarkan posisi pengiring yang duduk paling bawah ke tepi. “Pengantin dan bridesmaid boleh bergambar secara rapat bagi menutup pandangan pelamin yang sama warna dengan baju pengantin. Tapi kalau tanya saya, sudah tentu warna baju bridesmaid tu yang seharusnya dipakai pengantin sebab lebih menyerlah dan sebaliknya,” katanya.