suria

Nampak jelas! Youtuber tak sengaja rakam kes ragut depan mata, "Mangsa tak terkata apa, orang lain nampak jaket dan helmet sama"

Video kejadian ragut yang dirakam oleh Imran Hakim Lamin.

NIAT seorang Youtuber membuat rakaman video mengenai aktiviti hariannya untuk dikongsikan di laman sosial tanpa disangka-sangka merakamkan kejadian ragut di yang berlaku depan matanya.

Video yang dimuat naik pemuda itu di laman sosial Facebooknya pada Jumaat itu menunjukkan seorang wanita berjalan melintasi lampu isyarat sebelum diragut penunggang motosikal di hadapan pusat beli-belah Sogo, di Kuala Lumpur.

Sehingga kini, video berdurasi 55 saat itu mendapat lebih 225,000 tontonan dan dikongsi lebih 10,000 kali.

ARTIKEL BERKAITAN: Ragut beg penjual tiket loteri... cuma ada tisu tandas, telefon bimbit lama

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa ragut gadai nyawa kejar peragut

Pemuda berusia 24 tahun itu, Imran Hakim Lamin berkata, video tersebut dirakam pada pukul 12.40 tengah hari, 4 Julai lalu ketika dia dan rakannya berjalan dari Kompleks Pertama menuju ke Sogo untuk makan tengah hari.

"Saya ketika itu sedang berjalan sambil berbual dengan rakan, dan tiba-tiba terdengar jeritan seorang wanita yang berjalan dari arah bertentangan.

"Saya toleh ke depan dan nampak wanita itu sentuh bahagian lehernya dan seorang lelaki menunggang motosikal dengan laju berlalu pergi.

"Jadi, saya boleh agak rantai leher wanita itu baru sahaja diragut. Insiden berlaku begitu pantas dan  video yang dimuat naik disunting secara gerak perlahan untuk menunjukkan kejadian dengan lebih jelas," katanya kepada mStar.

Saya hanya menyedari kamera masih membuat rakaman selepas kami selesai makan tengah hari. Saya dan rakan kembali ke lokasi kejadian dan kawasan sekitar untuk mencari mangsa bersama rakannya untuk mengajak mereka membuat laporan polis.

IMRAN HAKIM LAMIN


Imran yang berasal dari Kuala Lumpur pada mulanya tidak menyangka kamera GoPro yang dipasang pada badannya yang menghala arah hadapan masih berfungsi membuat rakaman.

"Saya hanya menyedari kamera masih membuat rakaman selepas kami selesai makan tengah hari.

"Saya dan rakan kembali ke lokasi kejadian dan kawasan sekitar untuk mencari mangsa bersama rakannya untuk mengajak mereka membuat laporan polis.

"Tapi kami tak jumpa mereka, dan saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berdekatan," katanya.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, kamera tersebut dapat merakamkan dengan jelas insiden yang berlaku termasuk wajah mangsa, pelaku dan nombor pendaftaran motosikalnya.


Paparan skrin video tersebut.

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa video tersebut tidak dimuat naik pada hari kejadian kerana akur dengan nasihat polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Lepas mangsa menjerit, kami datang dekati dia dan rakannya. Dia dalam keadaan trauma, mangsa tak terkata apa-apa dan hanya menangis.

"Saya percaya mangsa adalah warga asing berdasarkan bahasa pertuturannya yang tidak difahami kami. Nampak jelas muka dia yang terkejut semasa kami cuba untuk menenangkan dia," katanya yang bekerja sendiri.

Sehubungan itu, Imran berharap dengan perkongsian video yang tular itu dapat menjejaki suspek dan membantu siasatan polis.

"Sejak video tular semalam, saya turut menerima komen netizen yang mendakwa orang lain nampak kes ragut lain membabitkan jaket dan topi keledar yang sama dipakai oleh suspek.

"Betapa beraninya dia buat macam tu di tempat terbuka, kawasan yang sibuk pada waktu puncak. Harap suspek ditangkap segera.

"Kepada orang ramai khususnya wanita, berhati-hati lah dengan persekitaran anda dan barang peribadi tidak kira bila dan di mana anda berada," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ragut, sogo, youtuber, Imran Hakim Lamin

Artikel Lain