suria

Graduan ini 'kebal' diperli, tak kisah jadi Mr Piky, biaya duit sekolah adik di kampung tetap cukup... janji kerja halal!

Azmil (MIckey Mouse dan gambar kecil) bersama kawan baiknya Azril (Minnie Mouse).

PERUMPAMAAN ‘kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih’ dipegang kemas seorang pemuda yang kini lebih selesa digelar ‘Mr Piky’.

Mr Piky atau nama sebenarnya Azmil Bajir yang berusia 24 tahun boleh dianggap sebagai pemuda serba boleh dalam mengharungi kehidupan di ibu kota ini.

Pemuda yang berasal dari Sabah ini merupakan 'fresh graduate' daripada sebuah universiti tempatan dan masih mencari pekerjaan tetap.

ARTIKEL BERKAITAN: Jasa ibu jual nasi lemak dihargai, anak ubah suai rumah RM100,000 jadi mahligai "Kalau ayah ada, dia mesti gembira"

ARTIKEL BERKAITAN: Bro ni beri berjela pesanan 'win' kalau nak buat full time rider Grab... Apa kes cikgu, ex awek masuk senarai?

Sehingga itu, Azmil tidak megharapkan rezeki datang bergolek, sebaliknya dia lebih suka mengisi masanya dengan pelbagai pekerjaan.

“Sejak zaman belajar lagi habis sahaja kuliah saya memang bekerja sambilan di Shah Alam. Apa sahaja pekerjaan saya buat, asalkan halal.

Azmil (kanan) bersama-sama kanak-kanak dalam salah satu acara yang dihadirinya.

“Walaupun ketika itu tidak banyak yang saya dapat, sekurang-kurangnya saya boleh menampung perbelanjaan diri sendiri.

“Kalau tidak ada duit sangat, barulah minta dengan keluarga,” ujarnya memulakan bicara bersama mStar.

Jelas anak ketiga daripada sembilan beradik ini, sebaik  tamat pengajian, dia mula bekerja secara sambilan di sebuah hotel.

“Tetapi nasib saya tidak baik dihalau balik kerana tersalah pakai seluar (slack), nasib sama juga dialami seorang kawan saya.

“Tanpa diduga kami ditawarkan kerja yang tidak pernah saya fikir akan lakukan iaitu menjadi badut, saya dan sahabat baik, Khairul Azril Sobri bersetuju untuk menerima tugas itu,” katanya.

Azmil menjalankan tugasnya melayan kanak-kanak.

Kata Azmil, susulan itu mereka diperkenalkan dengan pemilik Clownbadut.com, Rosle Nadzari.

“Pada awal pekerjaan ini saya agak tidak yakin dapat melakukannya, tetapi selepas beberapa kali, minat menjadi badut semakin menebal.

“Saya banyak belajar dan memahami tugas ini dan bos juga banyak memberi tunjuk ajar,” katanya.

Menurut Azmil, sebagai badut baharu, setiap kali ada tugas di mana-mana acara, dia akan ditemani oleh seroang lagi badut senior.

“Dari situ saya banyak belajar cara-cara melayan kanak-kanak, mengawal situasi dan cuba menggembirakan mereka.

Bekerja tidak terlalu memilih dan jangan pernah kata 'tidak ada pekerjaan' kerana pelbagai kerja boleh dilakukan. Semuanya terpulang kepada diri sendiri.

AZMIL BAJIR

Mr Pikky, Clownbadut.com

“Saya pernah minta dengan bos untuk pergi ke tempat ‘event’ sendiri dan bos benarkan bila yakin dengan saya.

“Sejak itu saya semakin minat dengan kerjaya ini. Satu kepuasan bagi seorang badut apabila berjaya menggembirakan hati kanak-kanak.

“Apabila mereka gelak, ia membuat kami lebih yakin untuk melayan mereka dengan lebih baik,” ujarnya.

Tambah Azmil, walaupun ada beberapa rakan lain yang perli dan terkejut dengan kerjayanya , ia tidak mematahkan semangat Azmil dan Azril.

“Memang sesetengah orang memandang rendah dengan kerjaya ini.  Saya tak kisah pun, janji dapat cari rezeki.

Azmil bersama sahabat baiknya sejak kecil, Azril (kiri).

“Dengan kerjaya ini jugalah saya mampu membayar segala komitmen di sini dan dapat membantu keluarga.

“Walaupun tidak banyak bukan seperti kerja tetap, tetapi ia cukup untuk saya beri duit sekolah untuk adik-adik di Kota Kinabalu.

“Saya memang dari dulu tidak kisah kerja apa. Saya pernah jadi maskot ‘Hello Kitty’, Mickey Mouse, jual  bertih jagung di pasar raya dan sebagainya.

“Bagi saya, kerjaya badut ini satu kerja yang mulia kerana walaupun hati anda sedih, anda akan tetap tersenyum untuk menggembirakan orang lain.

“Sekiranya selepas ini ada karier lain, saya tetap akan menjadi badut sebagai kerja kedua (part time),” ujarnya.

Pasukan Clownbadut.com.

Dalam pada itu, pemilik Clownbadut.com, Rosle atau dikenali dengan Mr Papa memberitahu setakat ini dia mempunyai lapan orang badut.

“Tugas mereka hanya hujung minggu sahaja, iaitu Sabtu dan Ahad. Selebihnya hari biasa, mereka menjalani latihan.

"Tempoh sibuk pasukan kami bermula pada bulan September hingga Disember.

“Tiga daripada mereka adalah pekerja bank dan menjadi badut sebagai kerja sambilan selama lapan hari dengan gaji sekitar RM1,500 sebulan,” katanya yang membuka syarikat menyediakan badut sejak lapan tahun lalu.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Badut, kerjaya

Artikel Lain