suria

Bekas kekasih tak suka orang Kelantan, pemuda tawar cincin ‘free’ gara-gara bertunang tak jadi

Ayim menawarkan sebentuk cincin secara percuma di laman sosial gara-gara tidak jadi bertunang dengan gadis pilihan. Foto ihsan Muhammad Khairunnaim.

PUTUS tunang merupakan sesuatu yang menyakitkan, tetapi rancangan untuk mengikat tali pertunangan tidak menjadi kenyataan pun boleh tahan pedihnya.

Bercinta selama enam tahun dan merancang untuk bertunang pada Oktober ini, hasrat pemuda ini untuk memperisterikan gadis pilihannya bagaimanapun terputus di tengah jalan.

“Jadi, disebabkan bulan 10 ni aku tak jadi nak bertunang atas sebab orang cakap jodoh tidak berpanjangan, aku nak bagi jelah kat korang yang mana bertuah,” demikian perkongsian pemuda itu mengenai cincin tunang yang telah dibelinya lebih awal sehingga ia menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf sampai awak terima orang lain” - Duit dah simpan tapi empat kali tangguh kahwin, akhirnya penghidap kanser putus tunang

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis tergamam, tunang terima mesej ‘sayang’ daripada perempuan lain, “Pelanggan terpaksa dedah misteri ucapan romantik”

ARTIKEL BERKAITAN: Bakal mertua tak suka Kelantan alasan putus, bekas awek syak lain, “Mungkin itu alasan saja”

Pemuda berkenaan, Muhammad Khairunnaim Mohd Sobri, 27, memberitahu, hasratnya untuk bertunang dengan kekasihnya dari Selatan tanah air itu, telah disuarakan kepada keluarga di kedua-dua belah pihak pada bulan lalu.

Perkongsian di laman sosial mengenai rancangan untuk bertunang dibatalkan.

Jelasnya, majlis pertunangannya dirancang pada Oktober depan bagi memberi laluan kepada kenduri kahwin adik lelakinya terlebih dahulu yang bakal berlangsung pada September.

“Tapi jodoh kami tak panjang kerana rancangan untuk bertunang dibatalkan. Berlaku konflik antara kami sehingga membabitkan keluarga pada awal bulan ini.

“Biasalah kalau berlaku pergaduhan dalam perhubungan, dan bila babitkan keluarga tanpa dapat diselesaikan di pihak kami terlebih dahulu, ia akan memburukkan keadaan,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Ayim kepada mStar.

Mengenai cincin yang ditawarkannya secara percuma di laman sosial, Ayim memberitahu, dia menerima banyak komen dan pandangan daripada netizen yang memintanya supaya tidak membazir, sebaliknya menjual cincin itu semula.

“Banyak mesej termasuk DM (mesej secara terus) yang nasihatkan saya supaya jangan bagi percuma. Jadi, saya hormati pandangan mereka dan akan menjualnya semula apabila tiba masa," ujarnya.

Cincin yang sepatutnya disarungkan kepada bakal tunang.

Bercerita lanjut mengenai kisahnya, Ayim berkata, sejak mengenali gadis itu enam tahun lalu, banyak kenangan manis dan pahit yang mereka tempuhi bersama, seperti kelaziman pasangan bercinta lain.

“Bila ada gaduh, saya akan cuba mengalah sebab saya sayangkan dia. Memanglah makan hati, tapi bila hati dah sayang, kita cuba bertolak ansur.

“Selama ni kalau ada konflik memang kami berusaha menyelesaikannya di antara kami, tanpa campur tangan keluarga mana-mana pihak,” ujar anak sulung daripada lapan beradik yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu.

Dia kata perempuan dari Kelantan ni pengotor, lelaki pula gatal... itu pandangan dia berdasarkan pengalamannya. Dia tak boleh terima hakikat dan berdepan kalau ada orang Kelantan ada dalam keluarga kami.

AYIM

Selain didakwa tidak menghormati dirinya dan keluarga terutama ibu bapanya, serta berlaku campur tangan keluarga gadis tersebut, turut menjadi punca keretakan hubungan mereka berdua adalah negeri kelahiran bakal adik iparnya.

“Adik lelaki saya bakal berkahwin dengan gadis pilihannya dari Kelantan. Sejak awal perkenalan kami, bekas kekasih saya memang beritahu dia tak suka orang Kelantan.

“Dia kata perempuan dari Kelantan ni pengotor, lelaki pula gatal... itu pandangan dia berdasarkan pengalamannya. Dia tak boleh terima hakikat atau berdepan dengan orang Kelantan, lebih-lebih lagi kalau ada dalam keluarga kami.

“Tapi tunang adik saya tu bakal menjadi sebahagian keluarga kami, dan dia sepatutnya menghormati dan menerima seadanya,” katanya.

Perbualan daripada bekas kekasih yang tidak menyukai orang Kelantan.

Mengakui kecewa kerana hasratnya untuk bertunang dengan gadis yang dicintainya selama enam tahun tidak kesampaian, pemuda yang bertugas di bahagian kewangan di sebuah syarikat itu terpaksa akur dengan apa yang berlaku.

Namun dia berpandangan bahawa tempoh perkenalan selama bertahun-tahun tidak menjaminkan kebahagiaan yang sebenar untuk ke jenjang pelamin.

“Jangan letak harapan dan keyakinan terlalu tinggi dalam percintaan, kena ada 50-50. Dan apa yang amat penting adalah keserasian, bertolak ansur dan saling memahami.

“Kita hanya mampu merancang, tapi Yang Maha Esa yang berkuasa menentukan. Bercinta lama tak menjamin orang itu adalah jodoh kita,” katanya.

Ayim mahu memberi tumpuan kepada beberapa kerjanya.

Tidak mahu menoleh belakang, Ayim nekad menumpukan kerjayanya, termasuk kerja sambilan membuat video reviu makanan dan mengusahakan ladang kelapa sawit bersama ibunya di Sekinchan, Selangor.

“Saya tak mahu fikir pasal jodoh buat masa ini. Biar saya move on dengan memberi tumpuan kepada tiga kerja yang saya lakukan pada masa ini. 

“Namun apa yang saya harapkan jika suatu hari nanti saya dipertemukan jodoh, semoga jodoh itu seorang yang menghormati mak ayah dan diri saya,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
cincin, tunang, kahwin, Kelantan, jodoh

Artikel Lain