suria

“Saya sanggup lakukan apa saja demi Ain” - Siswa UKM tolak tuduhan sebar kisah mangsa dera sebab nak popular

Adik Ain tidur di luar rumahnya.

NIAT seorang lelaki yang pulang ke rumah kakaknya di Perlis untuk menjaga ibu sakit dikejutkan dengan pengalaman menyentuh hati apabila melihat seorang remaja berusia 14 tahun menjadi mangsa dera.

Jurais Abdullah, 22, pelajar tahun dua di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Sains Politik kini merupakan saksi utama siasatan kes dera melibatkan remaja perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Gial, Arau, Perlis.

Menurut Jurais dia pergi ke rumah kakaknya untuk menjaga ibunya yang sakit diserang strok.

ARTIKEL BERKAITAN: Jiran dakwa semasa mengandung, ibu tak mahu Ain, pernah nak gugur

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu ditahan dera anak hingga retak tulang rusuk

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, abang kandung dipercayai dera remaja OKU direman

“Jumaat lalu lebih kurang pukul 6 hingga 6.30 pagi selepas solat Subuh saya terdengar bunyi ketuk-ketuk di luar rumah.

“Sebelum tu saya dengar seperti bunyi kenderaan. Saya terus jenguk keluar dan melihat seorang remaja sedang main-main di luar rumah.

“Saya tanya dia kenapa tak duduk dalam rumah? Dan dia jawab mak tak bagi masuk rumah.

Jurais sempat memberi roti kepada adik Ain.

“Saya tengok  rumah tu berkunci. Dia ada cakap mak ‘buat’ dia. Hari-hari duduk kat luar, kadang-kadang waktu malam pun ada.

“Saya merakam keadaan adik itu dan post kat Twitter. Memang niat saya untuk menolong adik ini.

“Saya tak sangka video itu terus jadi viral dan sampai ke pihak berkuasa. Saya memang mahu membuat laporan polis cuma tak sangka polis sampai dulu di rumah adik ini,” ujarnya kepada mStar.

Jelas Jurais, gara-gara video itu dia juga dipanggil ke balai polis dan memberi keterangan yang sepatutnya.

Dia juga mengakui telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis kerana kasihankan remaja itu dan mahu membantunya.

Susulan itu, katanya, banyak pihak mencarinya untuk mendapatkan maklumat.

Malahan, dia bersyukur kerana pihak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), timbalan perdana menteri menerusi pegawai khasnya Syed Syah, Marina Chin Abdullah yang pantas memberi perhatian.


Bagi saya sebagai masyarakat yang hidup dalam sebuah komuniti kita perlu mengambil tanggungjawab ini, bukan hanya sekadar pejam mata, pekakkan telinga.

JURAIS ABDULLAH

Penyelamat adik Ain

“Andai kata saya perlu naik mahkamah untuk menjadi saksi kes ini pun saya sanggup, demi adik Ain.

“Bagi saya sebagai masyarakat yang hidup dalam sebuah komuniti kita perlu mengambil  tanggungjawab ini, bukan hanya sekadar ‘pejam mata, pekakkan telinga’.

“Warga netizen juga turut banyak membantu dalam menyebarkan kes ini dan memberi jalan bagaimana ia perlu diambil tindakan.

“Apa yang saya lihat ini hanya kebetulan saya berada di situ,” katanya.

Jelas pemuda kelahiran Kedah ini, sejak minggu lalu dia berada di rumah kakaknya menjaga ibu Rohayah Zakaria, 60.

“Alhamdullilah emak sedikit pulih. Sudah boleh bergerak sendiri. Sebelum ini keadaannya tidak boleh bergerak.

“Saya bersyukur kerana dapat menjaga mak, memandikan emak dan sebagainya. Saya mengambil peluang ini sebaik-baiknya menjaga syurga saya.

“Sebelum ini saya rasa bersalah kerana pada awal mak jatuh sakit saya agak sibuk denga tugasan dan tidak terus pulang ke rumah kakak.

“Sepanjang berada di Arau ada juga saudara mara dari jauh datang melawat ibu. Dan mereka juga menyedari ada yang tidak kena dengan keadaan adik Ain.

“Dan mereka menyokong apa yang saya buat dekat adik Ain ini,” jelas anak bongsu daripada tiga orang adik beradik ini.

Jurais gembira kerana berpeluang menjaga ibunya yang sakit.

Tambah Pengerusi Majlis Pengakap Kelana Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia ini, apa yang dilakukan bukan untuk mendapat nama atau jadi 'cari glamor'.

“Sudah tentu bukan itu niat saya. Cuma mungkin saya terlambat untuk laporkan ke pihak berkuasa sebelum saya muat naik video itu.

“Ketika itu saya tidak tahu nak buat apa. Ada juga yang salah anggap tindakan saya ini, tetapi yang penting niat saya untuk membantu sudah terlaksana. 

“Saya harap adik Ain terjaga,” katanya.

Tambah Jurais,  Ain sekarang berada di Hospital Tuanku Fauziah dan berada di bawah jagaan JKM.

“Ibu dan abang kandung direman sehingga 24 julai ini.

“Maklumat dari pegawai khas TPM juga menyatakan bahawa kes ini dalam pemerhatian Pejabat TPM dan Kementerian Wanita,” jelasnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
budak OKU, dera

Artikel Lain