suria

Lambat lagi nak jadi doktor, budak ini caj 50 sen lukis luka tapi dia menangis wartawan nak interview... “Ada yang menyamar, terus dia frust”

Servis melukis luka dilakukan Iman dan dua rakannya, Qaseh dan Sakinah.

KREATIF! Itulah yang dapat digambarkan gelagat sekumpulan kanak-kanak yang bijak menjalankan servis melukis luka, malah hasilnya juga nampak real.

Baru-baru ini, perkongsian salah seorang pengguna Twitter yang teruja dengan hasil lukisan kesan luka anak saudaranya bersama rakan-rakan mencuri perhatian netizen.

"Anak sedara aku, Iman buat servis lukis luka dekat sekolah. Pandai budak ni cari duit, jumlah terkumpul RM3," status yang dimuat naik di akaun Twitter @Atifahhhhhh sehingga diulang kicau sebanyak 17,400 dan 11,200 tanda suka.

Rata-rata netizen memberi komen positif terhadap posting milik @Atifahhhhhh.


Bertanya mengenai hasil karya anaknya, Norasarina Abdul Razak, ibu kepada Nurul Iman Syuhadah mengakui dia terhibur dengan kemampuan anaknya bersama dua rakannya.

Katanya, mereka kreatif melukis dan bijak serta berani berjinak-jinak untuk berniaga  di peringkat umur masih 'setahun jagung'.

"Saya dapat tahu Iman buat servis lukis luka pada Khamis lepas selepas terjumpa satu kertas di atas lantai rumah tulis servis melukis luka yang dia buat bersama dua kawannya, Qaseh dan  Sakinah.

"Perasan juga minggu lepas dia lukis luka di tangan adiknya sebelum saya dapat tahu dia buat servis tersebut di sekolah secara senyap-senyap," ujarnya kepada mStar mengenai usaha anaknya selepas belajar melukis luka daripada rancangan 5 minute craft di Facebook.

Nurul Iman Syuhada (tudung biru) bersama salah seorang rakannya, Qaseh yang juga pandai melukis lukisan luka.

Alat mewarna seperti pensil warna dan magic colour menjadi pilihan sekumpulan kanak-kanak berusia 10 tahun itu untuk servis melukis luka.

Selain itu, pelbagai jenis luka yang dilukis seperti luka lebam, jatuh motor dan kesan dirotan ditawar serendah 50 sen sahaja.

Setakat ini, tiga sekawan itu berjaya memperolehi RM3 hasil jualan melalui servis tersebut.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, Nurul Iman Syuhadah serta dua rakannya berbesar hati jika orang ramai tahu kemampuan dan bakat yang mereka miliki.

"Iman bagitahu saya, dia nak hasilkan sesuatu melalui bakatnya, jadi dia cuba untuk cari duit melalui servis itu.

"Memandangkan sekolah ada peraturan, dia terpaksa buat secara senyap-senyap dan dia sangat berbesar hati kalau orang luar tahu bakat yang mereka ada.

"Pada awalnya selepas dia dapat tahu ada wartawan nak interview, dia menangis gembira dan tak tunjuk pada saya.. Saya dapat tahu pun selepas tengok perbualannya dengan Qaseh dan Sakinah melalui Whatsapp memberitahu dia menangis terharu orang luar dah dapat tahu bakat mereka.

"Tetapi rupa-rupanya ada orang menyamar jadi wartawan aje... terus dia frust," kata Norasarina yang kini menetap di Shah Alam.

Sejak kes berkenaan, Norasarina mengambil langkah berjaga-jaga supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas anaknya.

Iman (kiri) bersama Sakinah (tengah) dan Qaseh (kanan).

Tambah Norasarina, anak perempuannya itu bercita-cita ingin menjadi doktor, namun kemampuannya dilihat cenderung ke bidang seni.

"Iman sebenarnya bercita-cita nak jadi doktor tapi saya tengok dia macam minat kepada seni.

"Kami sekeluarga menceburi bidang perniagaan memandangkan saya berniaga secara online, manakala suami buat bisnes PA sistem.

"Kalau Iman nak buat bisnes, kami tak menghalang minat dia memandangkan kami sekeluarga pun jenis berniaga juga," katanya.

Menerusi posting yang dimuat naik di akaun Twitter @Atifahhhhhh, rata-rata netizen terhibur dengan kemampuan unik Iman dan dua orang rakannya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Iman, luka

Artikel Lain