KEJAYAAN seorang pemuda dari Kelantan yang menamatkan pengajian di sebuah universiti di United Kingdom dengan kelas pertama berjaya menangkis persepsi tidak baik terhadap mereka yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Berasal dari Kampung Mengkebang, Kuala Krai, Muhammad Afiq Ismail, graduan University of Essex, London, mengakui kurang senang dengan stigma masyarakat yang sering mengaitkan anak jati negeri itu dengan perkara negatif. "Bagi saya semua tempat ada orang baik dan ada orang jahat. Ramai orang ada persepsi negatif tentang Kelantan tapi saya kurang bersetuju. ARTIKEL BERKAITAN: “Tak baik dan tak adil pukul rata macam tu” - KelantanKindness trending di Twitter ARTIKEL BERKAITAN: Bakal mertua tak suka Kelantan alasan putus, bekas awek syak lain, “Mungkin itu alasan saja” "Sebab itu saya letak diri saya untuk buktikan orang Kelantan ni tak pemalas dan boleh berjaya. Dan ramai lagi orang Kelantan yang dah berjaya. "Ada je orang malas, bukan dari Kelantan saja tapi semua tempat. Jadi jangan nilai seseorang berdasarkan asal usul dia. Afiq sudah mendapat pekerjaan di sebuah syarikat firma audit terkemuka di ibu negara. "Dan kalau orang tu buat salah jangan salahkan negeri, salahkan individu dah cukup," kata pemuda berusia 23 tahun itu kepada mStar. Kisah Muhammad Afiq atau lebih mesra disapa Afiq ditularkan rakan universitinya, Khairul Aiman Hamdan di Facebook kerana berbangga melihat kejayaan dan pengorbanan dilakukannya biarpun bukan dari keluarga senang. Graduan jurusan perakaunan dan kewangan itu menggenggam segulung ijazah dengan disaksikan kedua ibu bapanya, Ismail Abas, 56, dan Norma Abdullah, 52. Namun apa yang lebih membanggakan, kedua-dua ibu bapanya itu diterbangkan khas dari Kuala Lumpur menggunakan duit poketnya sendiri hasil kerja sambilan sebagai tukang cuci sepanjang belajar di luar negara. "Saya nak bagi mak dan ayah saya rasa pengalaman tengok anak naik pentas terima ijazah. Lagipun mak ayah saya juga tak pernah naik flight. "Jadi saya sponsor mereka untuk rasa pengalaman naik kapal terbang. Walaupun dah sponsor mereka, saya masih ada lagi simpanan untuk masa depan mamandangkan saya kerja dah lama," katanya. Impiannya itu tercapai kerana pemuda ini tanpa segan bekerja sebagai tukang cuci di universiti di mana dia menimba ilmu sejak tahun pertamanya. Afiq tidak malu bekerja sebagai tukang cuci di universitinya. "Saya kerja bersih restoran, pejabat dan kedai-kedai di dalam universiti tiga hari seminggu kiranya 15-20 jam seminggu. Bayaran sejam 7 pound jadi seminggu boleh dapat 100 pound (RM500). "Saya bangun pukul 4 pagi setiap hari dan mula kerja pukul 5 pagi sampai pukul 9.30 pagi. Lepas tu pergi kelas pukul 10 pagi dan akan pastikan tidur pukul 10 malam setiap hari untuk bangun pukul 4 pagi keesokkan harinya. "Itulah rutin harian saya hinggalah tahun ketiga pengajian. Penat jugalah tapi Alhamdulillah result ok. Duit gaji tu saya buat belanja sikit dan selebihnya saya simpan," katanya. Bila mak ayah kita reda dengan kita, Allah pun reda dengan kita sebab reda Allah terletak pada reda mak ayah. Jadi semua urusan kita Allah permudahkan. MUHAMMAD AFIQ ISMAIL. Graduan University of Essex, London. Jelas anak bongsu dua beradik itu, dia juga terpaksa menggorbankan dua sambutan Aidilfitri bersama keluarga di kampung demi mengumpul wang untuk perbelanjaan tiket kapal terbang kedua ibu bapanya ke London. "Masa tahun pertama saya balik tapi lepas tu dua tahun beraya di perantauan sebab nak jimat duit. Waktu tu saya buat kerja sambilan juga. "Memang rindu keluarga tapi rindu tu hilang bila dapat Skype dengan mereka. Rumah saya tak ada Wifi, jadi masa tahun pertama saya balik kampung tu saya masukkan Internet. "Saya fikir senang nak video call dengan mak ayah. Saya yang bayarkan bil setiap bulan dan ajar mereka dari A-Z cara-cara nak guna Skype," katanya. Afiq membawa ibu bapanya ke London dengan wang poketnya sendiri. Pada masa sama, Afiq berkata dia tidak pernah rasa malu untuk berkerja sebagai tukang cuci sepanjang bergelar pelajar di universiti tersebut. "Kenapa saya nak malu, saya dah biasa kerja kampung. Jaga kambing dan berkebun, lagipun saya dapat duit yang halal. "Apa yang penting jangan lupa asal usul kita dan sentiasa ingat Allah. Saya memang niat nak ubah nasib keluarga dan nak buktikan orang kampung macam saya pun boleh berjaya," katanya. Ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Afiq mengakui segala yang dikecapi hari ini tidak mungkin berlaku tanpa doa dan keredaan kedua orang tuanya. "Bila mak ayah kita reda dengan kita, Allah pun reda dengan kita sebab reda Allah terletak pada reda mak ayah. Jadi semua urusan kita Allah permudahkan. "Saya juga suka bantu kawan-kawan ketika belajar. Bila kita tolong orang, maka kefahaman kita akan bertambah. Saya juga amalkan belajar waktu pagi sebab senang masuk. "Tapi sebelum belajar pagi tu solat sunat dulu. Minta doa dengan Allah. Insya-Allah akan senang urusan kita," katanya. Afiq bijak membahagikan masa antara belajar dan bekerja. Mengenai perasaannya semasa majlis konvokesyennya tempoh hari, Afiq mengakui dia gembira apabila berjaya membawa kedua ibu bapanya meraikan kejayaan itu bersama-sama. "Mak ayah happy sangat-sangat sebab dapat tengok anak konvo dekat luar negara. Saya lagilah happy sebab mak ayah tengok saya naik pentas dapat keputusan cemerlang. "Dalam dewan tu saya rasa macam nak nangis je. Air mata selalu keluar sebab happy. Tengok kawan-kawan, rupa-rupanya saya seorang je yang tak gelak sebab tengah tahan air mata. "Mak ayah pun sama menangis. Ingat lagi masa dapat result tu saya tengok mata mak ayah saya bengkak. Saya tak tanya sebab saya tahu mereka menangis kegembiraan," katanya yang turut membawa ibu bapanya mengelilingi UK sebelum mereka balik ke Malaysia pada 16 Julai lalu. Buat masa ini, Afiq yang sudah mendapat tawaran bekerja di sebuah firma audit terkemuka di Kuala Lumpur masih lagi berada di UK dan akan pulang ke Malaysia hujung bulan ini. Gambar kenangan Afiq bersama kambing peliharaannya. "Saya masih lagi bekerja sambilan sebagai tukang cuci di sini dan pulang ke Malaysia 31 Julai sebelum mula bekerja pada 1 Oktober depan. "Saya akan stay sebulan di Kelantan sebab ayah saya ada beritahu tempoh hari kebun dah rindu dekat saya. Sebulan kemudian barulah saya ke KL untuk cari rumah sewa dan buat persediaan apa yang patut," katanya. Mengimbau kembali zaman remajanya, Afiq berkata dia sentiasa teringat kenangan membantu ayahnya di kebun mereka. "Hanya saya yang ada untuk bantu ayah kerana abang, Muhammad Isyraff, 26, orang kelainan upaya (OKU) yang ada masalah kaki dan tak boleh berjalan lama. "Dari tarik kelapa sawit, jaga kambing hinggalah bawa lori itulah rutin masa cuti sekolah. Tapi paling saya takkan lupa pengalaman tidur sekali dengan kambing," katanya dalam nada berseloroh.