“SAYA tak rasa dia hilang diculik sebab kadang-kala terdengar suaranya sayup-sayup di kawasan rumah,” luah bapa kepada Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi yang sejak April lalu masih belum ditemui. Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada 15 April lalu, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar,45 memberitahu sebenarnya anak kelima daripada enam orang adik beradik itu bukan meninggalkan rumah seperti yang dilaporkan sesetengah media. Katanya, anaknya itu hilang ketika bermain di kawasan berdekatan rumah hampir ke waktu Maghrib. ARTIKEL BERKAITAN: Disangka hilang, pelajar MTD rupa-rupanya dirompak “Tiba-tiba ada orang tak dikenali tarik saya masuk dalam kereta” ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 24 hari Acap hilang, abang kata "ikut cara orang kampung pula, tapi clear orang awam dulu" “Ketika itu dua abangnya dah panggil suruh masuk ke rumah, tetapi dia cakap nak main dan selepas itu kelibatnya tidak kelihatan sampailah sekarang. “Saya dah pun buat laporan polis mengenai kehilangannya, namun pihak berkuasa juga masih buntu,” jelasnya kepada mStar. Zahir (dua kanan) bersama keluarganya. Menurut Mohd Fauzi, pelbagai usaha dan ikhtiar telah dilakukan oleh keluarganya. “Saya ada cetak ‘flyer’ gambar Zahir untuk diedarkan di sekitar Nilai, Bandar Seri Putra dan kawasan-kawasan sekitarnya, juga kepada kawan-kawan di seluruh tanah air. “Selain itu, kami termasuk ibunya, Sainih Sunding juga ikhtiar dengan perubatan Islam, namun sudah genap 100 hari minggu ini, Zahir masih belum ditemui. “Kami yakin dia masih ada dan saya tidak akan berhenti mencarinya,” katanya. Berkongsi perangai anaknya yang berusia lapan tahun itu, Mohd Fauzi memberitahu dua tiga minggu sebelum kehilangannya, perangai Zahir agak pelik sedikit. Kalau orang tengok saya mungkin tenang saja, tetapi bila berseorangan hanya Tuhan yang tahu. MOHD FAUZI ABDUL GHAFFAR Bapa kepada Muhammad Zahiruddin Putra “Dia asyik panggil “abah, orang cakap abah bukan abah Zahir”. Saya anggap dia sahaja cakap macam tu. “Selepas itu, dia ada panggil saya lagi, “abah, abah”, bila ditanya kenapa dia jawab “saja panggil abah sebab rindu”. “Dia ni jenis yang suka tersenyum, bila panggil je saya, lepas tu dia senyum dah gelak. “Apabila tengok ayam goreng memang teringatkan dia sebab itulah yang Zahir suka,” ujar Mohd Fauzi. Zahir hilang sejak 15 April lalu. Jelas Mohd Fauzi, sejak kehilangan Zahir, tidak dinafikan seluruh keluarga amat sedih. “Kalau orang tengok saya, mungkin kelihatan tenang sahaja, tetapi kalau berseorangan hanya Tuhan sahaja yang tahu. “Memang selalu terbayangkan wajahnya. Kadang-kadang menjelang Maghrib saya ada dengar suaranya sayup-sayup. “Sebab itu saya yakin dia masih ada di kawasan perumahan ini. “Selebihnya saya tidak pasti,” ujarnya yang kedengaran pilu dihujung bicara. Mohd Fauzi tetap menaruh harapan suatu hari nanti anaknya ini akan kembali ke pangkuan keluarga. “Anak sendiri sudah tentu saya akan terus dan terus mencari. Selagi belum menemuinya, selagi itulah harapan disandarkan untuk bertemu Zahir semula,” katanya. Sebelum ini, Muhammad Zahiruddin dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra, Bangi untuk bermain bersama rakannya.