JARANG-jarang kita merakamkan gambar dengan pemandangan yang sama meskipun mempunyai peluang untuk melakukannya berulang kali. Berbeza dengan gadis ini yang mencuri tumpuan di laman sosial kerana memiliki banyak gambar berlatar belakang Menara Berkembar Petronas (KLCC). "Saya fikir saya ada 100 gambar dengan KLCC. Nanti I buat list thread (senarai di bebenang) dekat mana I selalu lepak/makan malam/makan tengah hari dengan pemandangan KLCC," ujarnya menerusi perkongsian di Twitter. ARTIKEL BERKAITAN: Gadis berangan nak pikat kerabat diraja, ramai tampil beri cadangan, “Kalau tak ada rezeki, dengan pengawal jaga istana” ARTIKEL BERKAITAN: Hina tukang sapu busuk, wanita dikecam “BF berpangkat katanya, tak kan dating kat pondok tepi tasik je?” Gadis berkenaan, Nur Diyana Mohd Sabri mengakui amat kagum dengan salah satu mercu tanda Malaysia itu, yang juga rekaan arkitek tersohor mendiang Cesar Pelli. Baru berusia 20 tahun, Diyana yang membesar bersama-sama dengan menara itu memberitahu, kebanyakan aktivitinya dilakukan di lokasi yang mempunyai pemandangan KLCC. Perkongsian Diyana di Twitter mengenai senarai lokasi berlatar belakang KLCC untuk dikunjungi menjadi perhatian netizen. "Sebagai anak Malaysia, saya cukup bangga dengan KLCC. Malah, orang luar pun amat kagum dengan tarikan pada menara berkembar tu. "Setakat ini, saya ada lebih 100 gambar saya berlatar belakang KLCC yang dirakamkan di tempat saya kunjungi untuk makan, majlis, perjumpaan atau aktiviti santai," katanya kepada mStar. Ada juga tempat-tempat yang saya senaraikan itu tak perlu berbelanja besar untuk merasai pengalaman yang sama, cukup sekadar memesan segelas air yang berharga kira-kira RM25. NUR DIYANA MOHD SABRI Diyana yang merupakan pelajar di Universiti Antarabangsa Malaya-Wales (IUMW) berkata, dia turut mempunyai koleksi gambar KLCC sahaja yang dirakamkan di lokasi tertentu atau dalam perjalanan di sekitar ibu negara. "Sejak kecil lagi, saya suka pergi KLCC atau kebanyakan tempat yang ada pemandangan menara tu. Sayangnya, apabila dah besar baru rajin ambil gambar. "Bila nampak KLCC saya rasa cukup tenang. Bukan saja untuk bergembira dan bersantai, tapi juga membantu meredakan tekanan dan mengubati kesedihan," ujarnya. Disebabkan minatnya itu, gadis yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur itu digelar sebagai 'Gadis KLCC' sejak di bangku sekolah. Melihat KLCC mengubat kesedihan dan meredakan tekanan buat Diyana. "Secara peribadi, saya suka ke tempat-tempat yang tidak sesak dengan orang ramai, ada etika pemakaian dan pemeriksaan keselamatan sebelum masuk ke tempat tu. "Selain pemandangan KLCC yang cantik, saya bayar untuk keselamatan dan keselesaan," katanya sambil menambah lokasi untuk bergambar bersama KLCC baginya adalah Hotel Grand Hyatt dan Banyan Tree di Kuala Lumpur. Anak sulung daripada tiga beradik itu bagaimanapun menyangkal kritikan netizen yang menyifatkan pilihan lokasinya hanya untuk golongan kaya dan mementingkan kelas, seperti terma 'have-have' yang kini diguna pakai oleh anak-anak muda. "Lokasi yang saya senaraikan tu adalah pilihan peribadi saya mengikut bajet, kerana saya juga mempunyai pendapatan sampingan menerusi bisnes online. "Tapi ada juga tempat-tempat yang saya senaraikan itu tak perlu berbelanja besar untuk merasai pengalaman yang sama, cukup sekadar memesan segelas air yang berharga kira-kira RM25," katanya. Diyana juga suka melihat pemandangan KLCC dalam perjalanan di sekitar Kuala Lumpur. Tambah Diyana, sebarang pilihan terpulang kepada individu itu sendiri dan tidak perlu memaksa diri kerana sebaiknya ambil sikap ukur baju di badan sendiri. "Memang saya akui kebanyakan tempat-tempat yang saya pergi adalah hotel lima bintang dan restoran eksklusif, tapi saya bekerja sambil belajar. Jadi, ada duit poket sendiri. "Jangan fikir mahal saja sebab saya juga pernah pesan segelas air milo ais dan makan roti canai sekeping di restoran mamak di hadapan KLCC, dan makan nasi di restoran masakan Melayu di Kampung Baru, juga boleh nampak KLCC. "Selalu juga saya ambil gambar dari dalam kereta bila nampak KLCC, tu lagi tak pakai duit. Ikut cara masing-masing," katanya sambil menambah dia mengimpikan untuk bekerja di KLCC suatu hari nanti.