suria

Pelanggan sakit tak sangka rider sudi layan dirinya, ‘Bubur Ayam McD-Panadol’ jadi penawar, “Dapat juga pergi kerja walau separuh hari”

Seorang pelanggan meminta bantuan seorang penghantar makanan untuk membelikannya ubat sebelum menghantar makanan. Foto hype.my/twitter amirulizarin

APABILA badan rasa tidak sihat, ada tanda-tanda nak demam panas, yang ada dalam fikiran hanyalah mahu baring sahaja.

Tapi kalau dibiarkan saja keadaan bertambah melarat, perut pun tidak boleh dibiarkan kosong dan perlu makan ubat untuk segera sembuh.

Mujur ada penghantar makanan yang membantu, demikian luahan seorang pemuda ketika sakit dan terlantar di rumah.

“Moga dimurahkan rezeki bro McDelivery,” menurut perkongsiannya yang turut dimuat naik gambar bubur yang dipesannya bersama ubat panadol, di laman sosial Twitter dengan lebih 26,000 kali diulang kicau.

ARTIKEL BERKAITAN: Motor rosak tengah jalan tak sempat ambil pesanan roti canai… “Mujur ada abang ni walaupun tak kenal tapi macam adik-beradik”

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Exco KLFA tersadai tepi MRR2, mujur abang Foodpanda bagi servis 5 bintang, “Bukan sebab makanan tapi...”

Pelanggan yang membuat pesanan itu, Wan Amirul Izarin Wan Izwan Shah berkata, dia mengalami demam panas sejak petang Isnin dan keseorangan di rumah berikutan keluarganya pulang ke kampung di Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha.

Perkongsian Wan Amirul mengenai seorang penghantar makanan yang sudi membantu membelikan ubat.

Pemuda berusia 23 tahun itu menjelaskan dia tidak ikut serta pulang ke kampung kerana mempunyai komitmen kerja.

“Demam sejak petang Isnin dan saya buat pesanan malam tu. Tak adalah sampai menggigil demam tu, tapi memang badan lesu dan tak larat nak keluar rumah.

“Saya buat pesanan penghantaran terus ke rumah sebab tak sihat. Tak ada minta tolong sesiapa sebab masa dah sakit sangat tu hampir tengah malam,” katanya kepada mStar.

Wan Amirul yang menetap di Subang Jaya, Selangor berkata, dia ada membuat permintaan khas melalui pesanan, meminta budak penghantar membantu membelikannya panadol sekiranya tidak keberatan sebelum menghantar makanan.

“Bila rider (penghantar makanan) tu sampai ke rumah, tiba-tiba dia kata dia beli sepapan ubat panadol. Memang tak sangka pun dia beli.

“Saya hanya mampu cakap terima kasih. Tapi terharu sebab dia sanggup singgah beli ubat kat kedai dahulu sebelum hantar makanan kat saya,” ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Wan Amirul membuat permintaan khas ketika memesan makanan.

Walaupun apa yang dilakukan penghantar makanan itu mungkin dianggap kecil bagi segelintir orang, tapi ia sebenarnya begitu besar buat Wan Amirul.

“Syukur Alhamdulillah, memang tak sangka dia sanggup belikan. Suara dia memang serius mungkin sebab dah penat tengah malam,” katanya sambil menambah penghantar makanan itu berusia dalam lingkungan 20an.

Saya masih tak sihat sepenuhnya esoknya, tapi beransur pulih dan dapat juga pergi kerja walaupun separuh hari

WAN AMIRUL

Wan Amirul yang bekerja sebagai jurutera rangkaian itu turut bersyukur selama ini mendapat layanan dan perkhidmatan yang baik daripada penghantar makanan.

“Sebelum ni pun rider yang saya dapat semua OK. Tak ada attitude (sikap) yang negatif. Terima kasih kepada bro McDelivery tu.

“Saya masih tak sihat sepenuhnya esoknya (Selasa), tapi beransur pulih dan dapat juga pergi kerja walaupun separuh hari,” katanya.

Wan Amirul terharu dengan pertolongan seorang penghantar makanan.

Sementara itu, rata-rata netizen turut menghargai keikhlasan penghantar makanan segera kerana sudi membantu seorang pelanggan yang kurang sihat.

“Sepapan dia bagi kau. Semoga cepat sembuh,” tulis seorang netizen.

“Jenis ikhlas buat kerja untuk pelanggan. Esok lusa ping melonjak naik mana tahu. Amin,” puji seorang netizen.

Sebahagian komen netizen yang memuji tindakan penghantar makanan itu.

“Semoga cepat sembuh, Amin. Semoga diberi kemurahan rezeki rider tu. Semua orang doakan dia. InsyaAllah murah nanti rezeki dia,” kata yang lain.

“Dia ada common sense yang sangat tinggi ye, bagusnya,” komen netizen.

“Bukan senang nak jumpa orang boleh tolong orang yang kita tak kenal. Sungguhlah abang McD ni baik betul,” ujar yang lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
McD, rider, penghantar makanan, panadol

Artikel Lain