suria

Kering air mata ibu lihat bayi derita kanser otot tahap 4, anggap ajaib jika sembuh... “Kalau sakit dia merengek, ketuk-ketuk muka”

Foto Daniel yang tular di Facebook ternyata mengundang simpati ramai.

"TIADA kata yang dapat menggambarkan perasaan saya," demikian kata seorang ibu mengenai nasib pilu yang menimpa anak kecilnya.

Baru berusia setahun sembilan bulan, Muhammad Shah Daniel kini menangggung derita akibat kanser otot tahap empat.

Bercerita kepada mStar, ibu Daniel iaitu Nurul Shahira Mat Zai Zait mengakui sedih memikirkan nasib dan masa depan anaknya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Elaina sama seperti kembarnya, cuma perlu diberi perhatian lebih” - Ibu bayi Hydrocephalus

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

"Saya tak boleh nak cakap. Rasa macam air mata dah kering. Kadang-kadang ada juga terasa, tapi susah nak cakap.

"Kalau orang luar tengok pun rasa sedih, apatah lagi saya yang tengok hari-hari.

"Tak boleh nak jelaskan perasaan saya. Saya nak dia sihat macam dulu, tapi kalau dia pergi pun, saya nak cakap apa?," kata wanita berusia 24 tahun itu sewaktu dihubungi.

Kalau dia sakit, dia tak duduk diam. Dia akan merengek, ketuk-ketuk muka. Saya kalau boleh nak dia sihat.

SHAHIRA

Bercerita mengenai penyakit anaknya, Shahira berkata bayi lelakinya disahkan menghidap kanser sewaktu berusia sembilan bulan.

Ia bermula apabila mata Daniel membengkak dan mengalami pendarahan hidung.

"Asalnya mata dia bengkak, lepas tu hidung pula berdarah. Masa pergi klinik kesihatan berlaku pendarahan hidung.

"Bila rujuk pakar dan buat imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) dapat tahu dia dah hidapi kanser tahap tiga.

"Makin lama makin besar. Hidung jadi senget, sekarang dah merebak ke mulut.

Komen pelayar Facebook mengenai Daniel.

"Saya hanya bagi dia makan bubur yang dikisar menggunakan picagari. Kena suap perlahan-lahan, air pun bagi pakai picagari," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai derita Daniel, Shahira mengakui sedih melihat bayi sekecil itu perlu menanggung kesakitan yang sukar untuk digambarkan.

"Kalau dia sakit, dia tak duduk diam. Dia akan merengek, ketuk-ketuk muka. Saya kalau boleh nak dia sihat.

"Sebelum ni dia tak ada sakit apa pun. Doktor nak operate, banyak risiko. Sekarang pun dia duduk di rumah. Kalau dia sembuh, memang satu keajaiban.

Menurut Shahira lagi, Daniel sebelum ini sudah menjalani sembilan fasa kemoterapi.

Posting tular mengenai Daniel di Facebook.

Biarpun mengecut sedikit, ia seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan buat bayi sulung pasangan Shahira dan suaminya, Muhammad Ali Azman, 26, itu.

Menetap di Mersing, Johor, Shahira merupakan seorang suri rumah, manakala Muhammad Ali bekerja sebagai nelayan.

Pasangan itu mempunyai seorang lagi cahaya mata yang kini berusia tiga bulan.

Sesiapa yang berhasrat menghulurkan bantuan, Shahira boleh dihubungi menerusi talian 011-27839050.

Terdahulu, kisah mengenai Daniel tular di laman Facebook. Malah, ramai netizen turut menzahirkan rasa sedih mereka dan mengharapkan anak kecil itu segera diberi kesembuhan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain