suria

Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak “Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin”

(kiri) Muhammad Hamqa bersama dua adik, Hamdan Amrin, 10, dan Hamdan Naimeen, 8. (kanan) Dua adiknya menerima kejutan hadiah. Foto ihsan Muhammad Hamqa Nazaruddin

VIDEO tular mengenai seorang abang membuat kejutan kepada dua adiknya dengan memberi hadiah permainan gasing moden ‘Beyblade’ menambat hati netizen.

Reaksi dua kanak-kanak itu bukan sahaja digambarkan sebagai comel terutama ungkapan terima kasih beberapa kali kerana menghargai pemberian abang.

“Bahagia betul dengar adik-adik yang pandai berterima kasih ni,” tulis seorang netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Berpantang maut sebelum ajal... budak 4 tahun jatuh dari tingkat 2 tak patah tulang, “Adik kata nak tidur dulu, saya takut dia tutup mata”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua mastermind buat kejutan untuk menantu... ini memang ‘rare’! “Kena tunggu berdiri di sebalik langsir... separuh kek juga dia habiskan”

“Sebaknya bila budak tu cakap terima kasih,” komen seorang lagi netizen.

“Terima kasih tu sangat bermakna bagi dia orang,” ujar netizen yang turut bersetuju.

Hamdan Amrin dan Hamdan Naimeen teruja dengan hadiah yang diterima.

Abang kepada dua kanak-kanak itu, Muhammad Hamqa Nazaruddin mengakui reaksi adik-adiknya, Hamdan Amrin, 10, dan Hamdan Naimeen, 8, yang menerima kejutan pada Jumaat lalu benar-benar membuatkan dirinya begitu sebak.

Remaja berusia 19 tahun itu berkata, dia sebenarnya terharu dengan sikap adik-adiknya yang tidak pernah meminta-minta, sama ada dengan ibu bapa mahupun dengan adik beradik lain.

“Adik-adik saya ni memang suka dengan permainan Beyblade, dah banyak mereka kumpul. Tapi yang saya respek sebab mereka tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka sebenarnya teringin.

“Mak pesan kalau nak sesuatu, kena belajar menabung. Jadi, mereka buat tabung dan kumpul duit. Memang bersunguh-sungguh mereka kumpul duit,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik, manakala Amrin anak keempat dan Naimeen anak bongsu.

Permainan Beyblade yang diidam-idamkan.

Di sebalik amalan menabung itu, Muhammad Hamqa yang berasal dari Johor Bahru, Johor berkongsi kisah yang menyentuh emosinya mengenai dua adiknya itu.

“Saya selalu bawa mereka pergi pusat beli-belah dan sering kali juga singgah ke kedai permainan tempat kesukaan mereka. Baik abang (Amrin) ataupun adik (Naimeen) akan pusing-pusing satu kedai.

Adik-adik kata kat saya ‘tak apa bang, nanti kita datang lagi, kot esok-esok dah ada barang tu, sebab duit dah cukup’. Mereka nampak tenang, tapi dalam hati siapa yang tahu

MUHAMMAD HAMQA

“Saya tertanya-tanya juga kenapalah sampai ke hulu ke hilir tu, rupa-rupanya mereka jumpa barang yang dihajati tapi duit yang dikumpul tak cukup pula.

“Mereka tak minta saya belikan, tapi daripada riak wajah mereka memang bersungguh dan teringin nakkan permainan tu. Aduhai, saya jadi sebak,” katanya.

Muhammad Hamqa mengambil berat terhadap adik-adiknya.

Pernah satu masa, Muhammad Hamqa yang masih belajar di Kolej Vokasional Kota Tinggi, Johor itu berkata, kedua-dua adiknya sudah mempunyai hasil tabungan yang mencukupi untuk membeli permainan yang mereka idam-idamkan.

“Sampai ke kedai permainan, barang yang nak dibeli tak ada. Memang kasihan tengok mereka, bila barang ada duit tak cukup. Bila duit dah cukup, barang habis stok pula.

“Adik-adik kata kat saya ‘tak apa bang, nanti kita datang lagi, kot esok-esok dah ada barang tu, sebab duit dah cukup’. Mereka nampak tenang, tapi dalam hati siapa yang tahu,” katanya sambil menambah  wang tabungan tersebut bukan sahaja digunakan untuk membeli permainan, tetapi juga barang-barang keperluan lain buat adik-adiknya itu.

Muhammad Hamqa bersama keluarganya.

Walaupun misi tabung untuk membeli permainan terbaharu masih belum selesai, Muhammad Hamqa mengambil pendekatan untuk menghadiahkannya dengan membuat kejutan.

“Alhamdulillah, saya ada rezeki lebih jadi saya hadiahkan mereka. Permainan yang mereka nak beli tu bukannya murah, kalau nak tunggu ambil masa.

“Hasil tabung tu boleh guna beli benda lain. Yang ni saya hadiahkan, bukan selalu beri hadiah tapi sebab nampak usaha mereka bersungguh-sungguh, jadi saya bagi ganjaran,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
abang, adik, Beyblade

Artikel Lain