suria

Macam kembar hilang adik, sahabat dilanggar lori depan mata... Dia sempat pesan, “kalau aku tak ada tolong tengokkan mak ayah”

(kiri) Allahyarham Izzat. (kanan) Afiq menziarahi kubur sahabat baiknya. Foto ihsan Mohammad Afiq Khairuzan

SAHABAT pada masa senang memang ramai dan boleh dicari, tapi teman karib sampai hujung nyawa hanya ada satu dalam 1,000, semuanya ketentuan Tuhan.

Begitulah nasib yang dialami seorang remaja ini apabila sahabat karibnya yang dikenali sejak kecil maut dalam kemalangan jalan raya.

Lebih menyayat hati, kejadian mangsa dirempuh sebuah lori pada petang Jumaat lalu, disaksikan sendiri remaja itu, sehingga kisah tragis tersebut menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya

Remaja berkenaan, Mohammad Afiq Khairuzan berkata, ketika kejadian dia bersama rakan karibnya, Allahyarham Muhammad Afiq Izzat Mohamad Redzuan, kedua-duanya berusia 15 tahun pergi membeli air minuman di Bukit Beruntung di Rawang, Selangor, selepas solat Jumaat.

Afiq dan Izzat bersahabat baik sejak kecil.

Menurut Afiq, dia pergi membeli minuman sementara rakannya itu duduk menunggu pada motosikal di tepi jalan, sebelum sebuah lori yang dipandu secara berbahaya merempuh rakannya sehingga tercampak ke tengah jalan.

“Arwah dibawa ke Hospital Sungai Buloh sebelum disahkan meninggal dunia. Bunyi dentuman arwah kena rempuh dengan lori masih terngiang-ngiang di telinga saya.

“Saya memang rapat dengan arwah sejak tadika, tinggal pun berdekatan. Bukan setakat rakan baik, tapi dah macam adik-beradik,” katanya dalam nada sebak kepada mStar.

Kawasan berdekatan lokasi kejadian sahabat Afiq dirempuh sebuah lori.

Kedua-dua sahabat yang begitu rapat macam belangkas itu dianggap sebagai pasangan kembar kerana sering dilihat menghabiskan masa bersama.

“Siapa tak sedih bila sahabat baik yang kenal sejak tadika dah tak ada. Pemergian Izzat (panggilan buat arwah) merupakan satu kehilangan besar buat saya.

“Dulu kami selalu ke sana sini bersama. Sekarang ni macam kembar hilang adik, sebab semasa hayatnya, saya macam abang kepada dia,” tambahnya.

Kenangan... kedua-duanya ibarat pasangan kembar.

Mengakui masih bersedih dengan pemergian sahabatnya itu, Afiq tidak menyangka sikap pelik arwah sejak kebelakangan ini menjadi satu petanda.

Anak kedua daripada empat beradik itu menjelaskan bahawa rakan karibnya menjadi lebih pemurah daripada kebiasaan.

Arwah seorang yang pemurah dan suka tolong orang, tapi sejak akhir-akhir ini dia semakin pemurah. Ada saja yang dia nak tolong atau kongsikan sesuatu

AFIQ

“Arwah seorang yang pemurah dan suka tolong orang, tapi sejak akhir-akhir ini dia semakin pemurah. Ada saja yang dia nak tolong atau kongsikan sesuatu,” ujarnya. 

Namun apa yang menyentuh emosi Afiq adalah beberapa pesanan dan nasihat buatnya seolah-olah rakannya itu dapat merasai akan pergi buat selama-lamanya.

Allahyarham Muhammad Afiq Izzat disifatkan sebagai pemurah dan suka menolong orang.

“Sebelum ini, arwah berpesan... dia kata ‘Afiq, kalau aku dah tak ada nanti, tolong tengok-tengokkan mak ayah aku’. Arwah cakap macam tu setiap kali dia dapat tahu ada orang meninggal dunia.

“Kami ke mana-mana memang bersama, tapi arwah pernah kata nak pergi jauh tapi dia pergi seorang. Dan pada hari kejadian tu, arwah lebih banyak mendiamkan diri. 

“Tak sangka arwah pergi seorang meninggalkan saya sahabatnya. Semoga arwah tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain