suria

Pelan awal tak menjadi, kereta ibu mentua buat hal lagi, “Mak jangan panggil pomen ya, tunggu kami datang”

Seorang ibu tidak dapat menahan sebak apabila kesemua anak dan menantu membuat kejutan hadiah hari ulang tahunnya. Foto ihsan Muhaszlina Sanip

APABILA kereta asyik meragam memang boleh buat pening kepala, nak baiki satu hal, itu belum lagi duit melayang dan kena tunggu hingga siap semuanya.

Memikirkan kereta yang rosak itu kepunyaan ibu membuatkan hati anak-anak semakin tidak keruan apabila mengenangkan nasib insan tersayang itu yang tentunya sukar untuk ke hulu ke hilir.

Memandangkan kereta ibu mengalami kerosakan bukan pertama kali, lima adik beradik lelaki ini bersama isteri masing-masing memikirkan penyelesaian terbaik buat permata hati mereka itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua mastermind buat kejutan untuk menantu... ini memang ‘rare’! “Kena tunggu berdiri di sebalik langsir... separuh kek juga dia habiskan”

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak “Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin”

Salah seorang menantu, Muhaszlina Sanip, 40, berkata, kesemua mereka merancang untuk menghadiahkan kereta baharu buat ibu, Haliza Ahmad sempena hari ulang tahun ke-64 pada 6 September depan.

Ibu mentua Lina bersama kereta baharu hadiah hari jadi.

Lebih mesra dengan panggilan Lina, rancangan itu dibuat sejak Hari Raya Aidiladha lalu, dan urusan untuk pembelian kereta baharu untuk ibu berjalan lancar.

“Rancangan asal nak bagi kereta masa cuti sempena Hari Kebangsaan hujung minggu ni, tapi buat sekian kalinya kereta mak buat hal pula.

“Mak nak panggil pomen (mekanik) untuk datang ke rumah dan baiki kereta. Kami apa lagi, terus cuak sebab rancangan tak menjadi. Kalau baiki, nak kena keluar duit pula kan,” katanya kepada mStar.

Lina (kiri) bersama ibu mentua (belakang tengah), suami (kanan) dan adik ipar selepas kejutan dibuat.

Lina berkata, suaminya terpaksa menghubungi ibunya di Temerloh, Pahang meminta supaya tidak membaiki kereta tersebut terlebih dahulu.

“Kami telefon mak beritahu ‘mak jangan panggil pomen ya. Nanti minggu ni kami balik tengok kereta mak tu’. Mujur mak percaya dan tunggu kami datang.

“Kami berdua bersama seorang adik suami pulang jumpa mak dengan dua kereta. Salah satu kereta tu sebenarnya kejutan hadiah untuk mak,” ujar penasihat kewangan itu.

Ibu mentua Lina bersama anak-anak lelakinya.

Walaupun rancangan asal terpaksa diubah pada saat akhir, namun kata Lina, hadiah kereta tersebut benar-benar menjadi kejutan buat ibu mentuanya.

“Mak memang terkejut sangat sebab mak ingat kami balik nak ambil kereta lama mak dan pergi hantar baiki, tapi sebenarnya kami hantar kereta baharu kat mak.

Mak memang terkejut sangat sebab mak ingat kami balik nak ambil kereta lama mak dan pergi hantar baiki, tapi sebenarnya kami hantar kereta baharu kat mak

LINA

“Bukan setakat kereta baharu, nombor pendaftaran kereta pun kami buat signifikan tarikh lahir mak,” kata Lina yang juga ibu kepada lima anak.

Lina bersama keluarga suaminya kini boleh menarik nafas lega tanpa perlu bimbang memikirkan keadaan ibu mereka setiap kali kereta mengalami kerosakan.

Haliza Ahmad bakal menyambut ulang tahun ke-64 pada 6 September ini.

“Kasihan kami tengok mak setiap kali dia mengadu kereta dia rosak. Kereta lama tu pun suami belikan yang second hand, tapi dah lima tahun jadi kereta tu buat perangai.

“Alhamdulillah, mak nampak gembira dengan kereta baharu. Sepanjang tempoh menunggu kami datang, mak asyik tumpang kawan-kawan dia saja,” katanya.

Lina berkata, dia mendoakan agar ibu mentuanya itu dikurniakan kesihatan, panjang umur dan dimurahkan rezeki yang melimpah ruah serta diberkati dunia dan akhirat. 

“Harap mak gembira dapat hadiah kereta daripada anak-anak dan menantu-menantu. Harta dunia boleh dicari, tapi mak hanya seorang. Semoga mak lebih selesa dan selamat semasa memandu,” katanya sambil menyifatkan ibu mentuanya seorang yang ceria, penyayang dan kelakar.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kereta, ibu, mentua, menantu

Artikel Lain