suria

Cakap broken English, tapi pelajar sekolah Cina ini jadi kebanggaan guru BI... “Kadang-kadang dah siap berdiri sebab tahu buat salah”

SEDAR atau tidak zaman persekolahan merupakan saat yang paling indah untuk dikenang.

Sesiapa yang pernah bergelar pelajar, pasti akan ada perasaan 'takut' terhadap salah seorang guru di sekolah masing-masing.

Ada yang takut dengan guru disiplin, ada pula 'kecut perut' dengan cikgu Bahasa Inggeris (BI) dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar terhibur tengok cikgu 'handsome' berpeluh ajar Matematik

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah cikgu Hayati terus berceloteh ajar 'Add Math' di YouTube

Perkongsian seorang guru mengenai telatah anak muridnya yang dilarang bercakap bahasa Melayu atau Cina mengundang pelbagai reaksi pengguna Twitter.

Menurut guru muda berusia 26 tahun, Nurdini Qistina Mohd Noh, sejak dua tahun lalu, semua pelajar dalam kelasnya dilarang bercakap bahasa lain kecuali Inggeris.

Berkongsi pengalamannya, Nurdini Qistina atau lebih mesra digelar 'Miss Qistina' oleh pelajar-pelajarnya memberitahu, ragam anak muridnya di sekolah rendah memang memberi banyak kenangan sepanjang dua tahun bergelar guru.

Miss Qistina bangga dengan semua anak muridnya yang berusaha gigih bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Saya masih dikira sebagai guru baharu. Tahun pertama mengajar di sebuah sekolah Cina pada 2017 dan ketika itu saya ditugaskan untuk mengajar tiga kelas (darjah 3,4 dan 5), manakala tahun kedua saya ditugaskan untuk mengajar dua mata pelajaran iaitu BI dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).

"Awal-awal lagi ketika permulaan kelas, saya sudah ingatkan semua murid-murid yang mereka tidak dibenarkan bercakap bahasa lain kecuali Inggeris.

"Pada mulanya kelas agak sunyi kerana masing-masing takut didenda jika mereka bercakap Cina atau Melayu.

"Ada juga yang kena denda berdiri kalau saya terdengar mereka tak cakap Inggeris, malah kadang-kadang dah siap berdiri tanpa disuruh sebab tahu buat salah," kongsinya kepada mStar.

Ya, saya sangat bangga dengan mereka. Mereka memaksa diri sendiri untuk bercakap bahasa Inggeris.

NURDINI QISTINA MOHD NOH

Guru

Menurut Miss Qistina, denda yang dikenakan kepada murid-muridnya tidaklah mendatangkan sebarang kemudaratan, sekadar denda biasa yang dikenakan kepada pelajar-pelajar sekolah sebagai pengajaran.

"Saya gembira kerana rata-rata pelajar ini semakin menunjukkan perkembangan positif dalam penguasaan bahasa Inggeris walaupun antara sebab mereka lambat menguasai bahasa itu kerana tidak dipraktikkan selepas waktu sekolah.

"Tetapi sebagai guru, saya menggunakan pelbagai kaedah dalam sesi pembelajaran memandangkan sekolah ini mempunyai kemudahan yang agak baik seperti komputer, selain mewujudkan suasana lebih fun dan tidak terlalu serius ketika mengajar di kelas.

Sebahagian komen-komen positif netizen berkaitan perkongsian Miss Qistina.


"Dengan cara ini mereka tidak terlalu stress untuk belajar bahasa Inggeris," katanya yang mengajar di sebuah sekolah di Port Dickson.

Tambah Miss Qistina, dia tetap berbangga walaupun pelajar-pelajarnya bercakap broken English sesama mereka.

"Ya, saya sangat bangga dengan mereka. Mereka memaksa diri sendiri untuk bercakap bahasa Inggeris," tulisnya dalam satu status di Twitter.

Rata-rata netizen memuji tindakan Miss Qistina mengajar anak muridnya, malah ada juga yang turut berkongsi pengalaman lebih kurang sama ketika di alam persekolahan sebelum ini.



Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain