suria

Gadis solat atas rumput tepi jalan, uncle Cina bawa Grab sanggup tunggu, “Kereta dia bersih, wangi... macam hatinya sebab respek kami”

Seorang gadis bertindak solat jamak di atas rumput di tepi jalan, sementara seorang pemandu Grab berbangsa Cina menunggu gadis itu selesai solat.

GAMBAR seorang gadis menunaikan solat di atas rumput di tepi jalan menjadi tular dan hangat diperkatakan netizen, gara-gara ia dimuat naik di laman sosial.

Menerusi perkongsian seorang gadis, tindakan solat di situ kerana tidak mahu terlewat solat jamak kerana waktu Maghrib semakin hampir.

Gadis berkenaan, Nur Ainul Jannah Mohamed Alijan, 25, berkata, gambar wanita bersolat itu adalah sepupunya, Noor Aliyah Ibrahim Ali Choon, 26, yang sama-sama tiba di Kuala Lumpur dari Jitra, Kedah pada Isnin lalu atas urusan kerja.

Perkongsian Nur Ainul di laman sosial menjadi tular.

Ketika itu, katanya, mereka berada di Sri Petaling dan sudah lewat petang selepas selesai urusan dan mahu mencari masjid atau surau untuk menunaikan solat Jamak.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak mau ada yang mati” - Uncle Cina gigih angkut tar, disangka buang tabiat cangkung tengah jalan

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia agih sampai habis semua” - Feri rosak, coklat mahal penumpang Cina jadi 'korban' iftar, lelaki ini buktikan rasis sikap individu!

“Bukan kami tak cari, tapi kami bukan orang KL dan tidak biasa dengan kawasan tu. Waktu pula semakin suntuk, jadi sepupu saya ambil keputusan cari kawasan yang lapang dan bersih untuk bersolat.

“Sebelum itu, kami dah buat tempahan Grab dengan harapan dapat solat di Stesen LRT (Transit Aliran Ringan) terdekat, tapi disebabkan kesesakan lalu lintas ketika itu dan sementara menunggu tu, sepupu pun solat dulu,” katanya kepada mStar.


Sepupu Nur Ainul mengambil keputusan untuk bersolat di atas rumput tepi jalan kerana kesuntukan masa dan tidak menjumpai masjid atau surau berdekatan.

Nur Ainul yang bekerja sebagai pengurus berkata, pemandu Grab itu kemudian tiba semasa sepupunya sedang bersolat dan dia meminta pemandu menunggu mereka. 

“Pemandu tu Cina, usia dalam 40an. Saya seberang jalan ke kereta uncle tu dan beritahu dia yang sepupu saya sedang solat, sambil tunjuk ke arah sepupu di seberang jalan.

“Tanpa mengeluh, uncle tu dengan pantas membalas 'It’s okay, boleh tunggu’. Uncle tu beritahu yang sepupu saya tu boleh meneruskan solatnya,” katanya.

Walaupun bukan Muslim, Uncle tu langsung tak ada masalah dengan kami. Dia masih peramah walaupun kena tunggu. Bagi kami, kesanggupan dia menunggu tunjuk dia respek dengan agama lain.

NUR AINUL

Dia kemudian kembali ke kawasan rumput tempat sepupunya solat dan dapat melihat pemandu Cina memerhatikannya daripada jauh.

“Saya terkejut apabila uncle tu kata boleh teruskan solat. Dia perhatikan kami dari kereta sambil tengok keadaan sekeliling, tak nampak macam terpaksa tunggu,” katanya sambil menambah bahawa pemandu Cina itu menunggu kira-kira enam minit sebelum mereka kembali ke kereta pemandu itu.

Nur Ainul (kanan) dan Noor Aliyah berkongsi pengalaman menaiki Grab. Foto ihsan Nur Ainul Jannah Mohamed Alijan

Sepanjang perjalanan ke Stesen LRT Sri Petaling, tidak banyak yang dibualkan tetapi pemandu itu seakan memahami mereka bukan menetap di sekitar ibu negara.

“Uncle tu boleh agak kami bukan orang sini. Dia juga boleh agak kami mengalami kesukaran untuk mencari masjid atau surau untuk bersolat.

“Kami ada tanya uncle tu berapa kena bayar sebab tunggu, tapi dia kata hanya bayar ikut tambang yang sudah ditetapkan. Kereta dia pun bersih dan wangi, hati uncle tu pun sama bersih sebab menghormati kami,” katanya.

Kisah Nur Ainul mendapat maklum balas daripada Grab Malaysia.

Menurut Nur Ainul, dia amat terharu dan bersyukur kerana menemukan pemandu Grab yang menghormati kepentingan dan kewajipan bagi penganut agama lain.

“Walaupun bukan Muslim, uncle tu langsung tak ada masalah dengan kami. Dia masih peramah walaupun kena tunggu. Bagi kami, kesanggupan dia menunggu tunjuk dia respek dengan agama lain.

“Secara kebetulan kami ada beli air minuman yang belum diminum sebab kalut cari tempat solat, jadi kami beri kat uncle sebagai tanda penghargaan selain ucap terima kasih. Uncle tu terima dengan baik sambil senyum dan ucap terima kasih,” katanya.

Sementara itu, penyedia perkhidmatan Grab Malaysia turut memberi maklum balas berhubung kisah Nur Ainul dan sepupunya yang menjadi tular.

“Anda sememangnya seorang gadis yang bertuah kerana mendapat pemandu yang baik hati. Inilah contoh yang tepat bagi 1 Malaysia. Menghormati kepercayaan masing-masing. Kami berharap semua pemandu kami juga seperti dia,” menurut tulisan di akaun Twitter rasmi Grab Malaysia @GrabMy.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Grab, solat, jamak

Artikel Lain