suria

Nikah pakai tudung RM15, kahwin bajet disamakan dengan kenduri arwah! Pengantin dedah kisah tragis “kenduri arwah bapa pun tak mampu buat”

SEBUT sahaja tentang kahwin pasti ramai mengimpikan majlis sempurna, lengkap dengan pelamin, meja makan beradab, hantaran berdulang-dulang dan juga photoshoot outdoor.

Pendek kata semuanya kena perfect memandangkan hari bahagia itu diraikan sekali seumur hidup.

Namun berbeza dengan Siti Rozyainie Rozine dan Mohd Hafiz Khodir apabila sepakat memilih mengadakan kenduri kahwin serba sederhana tanpa ada pelamin, crown, tengkolok, jurugambar profesional, kompang, orang bersilat, acara potong kek dan juga bridesmaid.

Paling mengejutkan kos keseluruhan majlis perkahwinan mereka hanya menelan belanja kurang RM1,000.

Posting Siti menjadi tular di media sosial.

Kedengaran pelik, tapi hakikatnya itulah keindahan cara perkahwinan mereka yang dilakukan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Meskipun ramai memuji cara perkahwinan pasangan ini tapi tidak kurang ada yang menyamakan majlis mereka seperti kenduri arwah.

Siti Rozyainie atau lebih mesra disapa Siti ketika dihubungi mStar mengakui kecewa dengan tanggapan negatif itu tetapi tidak pernah menyesali keputusan berkahwin dengan cara sederhana.

"Bila babitkan parents ni saya terasa sikit. Jangan samakan dengan kenduri arwah sebab arwah bapa kami pun kami tak mampu nak buat kenduri. Waktu tu baru tingkatan dua... nak handle family sorang-sorang dan masa tu mak pun tengah mengandung memang mencabar.

"Orang boleh kata apa sahaja sebab mereka tak tahu apa yang saya lalui dengan adik-beradik yang ramai dan ibu yang tiba-tiba hilang. Tapi saya tak kisah sebab saya dah lali dengan kata-kata lebih teruk dari itu.

"Sesungguhnya kerana Allah kami menerima semuanya. Tak ada istilah menyesal dan saya menerima suami saya kerana Allah. Dia banyak berkorban untuk saya dan juga adik-adik. Malah seluruh keluarganya turut menyayangi kami walaupun kami dari broken family," kata anak sulung daripada lapan beradik itu.

Siti dan suami bersama jiran yang banyak membantu mereka.

Bercerita mengenai majlis perkahwinan mereka, wanita berusia 26 tahun itu berkata mereka sebenarnya memang merancang untuk berkahwin secara sederhana.

"Saya kenal suami masa kami masih belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) tahun 2013. Saya dan suami memang plan nak berkahwin bila kami habis belajar tapi masa tu saya praktikal dekat Media Prima.

"Jadi planning nak kahwin ambil masa sikit sebab saya fikir banyak komitmen dan duit nak guna memandangkan saya memang jaga tujuh adik-adik saya yang lain. Saya balik Penang pada Mei 2017 lepas tolak tawaran kerja di syarikat sama.

"Alhamdulillah rezeki saya dapat kerja dalam industri pembinaan. Jadi saya ajak suami kahwin. Saya memang cakap kat suami nak buat majlis simple. Ia benar-benar jadi dan memang urusan kami dipermudahkan," katanya yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari USM.

Jelas Siti, dia dan suaminya 'berduit' tetapi enggan menghabiskan wang simpanan yang ada kerana memikirkan kehidupan selepas bergelar suami isteri.

"Pada asalnya saya letak tiada wang hantaran tapi suami nak bagi RM500. Dengan wang itu saya guna untuk kenduri doa selamat, beli baju dan tudung nikah berharga RM150 dan RM15.

Siti kini bekerja dalam industri pembinaan meskipun mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.

"Untuk mas kahwin pula suami beri sebentuk cincin berharga RM489. Jadi total kos kahwin kami sebenarnya bawah RM1,000 seperti yang kami rancang.

"Jadi bila ada yang cakap suami tak mampu itu memang tak betul walhal kami yang memang nak macam ni sedangkan suami saya sebenarnya mampu bagi lebih dari itu," katanya.

Gadis berasal dari Perlis itu tidak menduga posting berkenaan kisah perkahwinannya pada 8 Mac tahun lalu menjadi tular di Facebook.

"Saya kongsi sahaja untuk suka-suka. Tapi sebenarnya ada mesej yang ingin disampaikan kepada mereka yang pernah hina dan pandang rendah pada keluarga saya.

"Masa sebelum kenal suami, saya berkawan dengan seseorang tapi malangnya keluarga dia tak terima saya yang datang dari broken family.

"Sampai Allah temukan saya dengan suami yang mana keluarganya cukup meriah. Ada mak, ayah dan saudara yang ramai semua sayangkan kami. Memang saya terharu sangat-sangat," katanya.

Keluarga kecil Siti.

Dalam pada itu, Siti turut menasihati mereka yang merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan pasangan masing-masing supaya berbelanjalah mengikut kemampuan.

"Yang nak ikut cara kami sebenarnya ada ramai yang buat lebih kurang macam kami. Malah ada yang lebih sederhana daripada kami cuma mereka tak cerita.

"Jadi saya cuma nak beritahu kehidupan lepas kawin lagi banyak nak pakai duit. Tak salah nak pakai cantik-cantik di hari bahagia tapi ikut kemampuan anda.

"Lagi satu kalau nak hantaran berbelas ribu atau berpuluh ribu, kerjasamalah dengan bakal suami. Kumpul sama-sama secara tak langsung dapat belajar erti kerjasama dalam kehidupan berumah tangga," katanya.

Posting ibu kepada seorang anak itu sejak tengah hari Ahad dikongsi sebanyak 4,000 kali di Facebook dan mendapat 1,800 tanda suka.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kahwin, kos murah

Artikel Lain